SOALAN PERCUBAAN 2010 KEDAH-BM STPM 910/2

Isnin, 4 Oktober 2010

http://www.scribd.com/doc/38246268/BM2STPMKedah2010

SOALAN PERCUBAAN 2010 PAHANG-BM STPM 910/2

http://www.scribd.com/doc/38402986/SoalanBM2STPMPahang2010

SOALAN PERCUBAAN 2010 PAHANG-BM STPM 910/1

http://www.scribd.com/doc/38537656/SoalanBM1STPMPahang2010

Panduan Menjawab Alih Bentuk Teks STPM

Sabtu, 24 Julai 2010

Bagi calon-calon STPM, soalan Alih Teks ini menawarkan pilihan iaitu sama ada Soalan 6 atau Soalan 7. Anda perlu memilih satu soalan sahaja iaitu setelah membuat keputusan tentang teks yang anda rasakan dapat dijawab dengan baik. Walaupun jumlah markah bagi soalan ini cuma 15 markah, tetapi calon-calon perlu memberikan perhatian juga terhadap soalan ini kerana soalan ini berupaya untuk meningkatkan markah anda untuk Kertas 2. Jadi, janganlah anda membuat tanggapan bahawa soalan ini tidak penting, sebaliknya anda perlulah membuat latihan yang sistematik dan berterusan berdasarkan jenis teks yang telah dipilih dan pernah digunakan dalam peperiksaan STPM. Selain itu, anda juga perlu mencuba jenis-jenis teks yang lain sekiranya ada dan belum pernah ditanya dan digunakan dalam peperiksaan STPM sebelum ini. Oleh itu, berbincanglah dengan rakan-rakan dan guru anda tentang jenis-jenis teks tersebut. Jenis-jenis teks yang pernah digunakan dalam soalan STPM sebelum ini ialah teks iklan, undang-undang, prosa klasik, sajak, dialog drama dan cerpen.
Selepas meneliti jenis-jenis teks yang pernah digunakan dalam STPM itu, saya mendapati teks puisi tradisional tidak pernah digunakan lagi. Oleh itu, calon-calon STPM tahun ini perlulah memberikan perhatian yang lebih terhadap jenis teks puisi tradisional ini. Puisi tradisional ini pula terbahagi kepada beberapa jenis, seperti pantun, syair, gurindam, dan seloka.
Panduan umum untuk menjawab soalan Alih Teks adalah seperti yang berikut:
1. Baca teks asal itu sepintas lalu dan fahami maksudnya. Cuba fahami maksudnya dengan membaca teks tersebut dengan teliti agar anda mendapat gambaran awal untuk mengalih bahasa teks seperti syair kepada bentuk prosa bahasa Melayu Moden.
2. Alih teks tersebut kepada bentuk prosa biasa (ayat penyata) iaitu dengan menggunakan bahasa Melayu yang betul (baku) dalam bentuk prosa bahasa Melayu moden. Jangan terpengaruh oleh struktur bahasa Melayu klasik dan elakkan penggunaan struktur ayat pasif.
3. Tulis semua isi atau fakta yang terdapat dalam teks asal tersebut. Jika ada isi atau fakta yang tertinggal atau terpesong, sudah pasti anda akan memperoleh markah yang kurang. Pastikan isi atau fakta tersebut menepati isi teks yang asal.
4. Kekalkan penggunaan nama khas dan juga perkataan yang tidak perlu diubah seperti perkataan daripada bahasa istana.
5. Jangan buat ulasan atau memberikan pendapat semasa mengalih teks asal tersebut. Ingatlah bahawa bahawa anda cuma memindahkan bahasa teks tersebut sahaja, bukannya memberikan pendapat atau ulasan. Elakkan ayat yang berbentuk ulasan seperti ini, Petikan tersebut menerangkan...., kerana ayat tersebut dianggap sebagai ulasan.
6. Jangan salin keseluruhan teks asal kerana perkara itu tidak menunjukkan anda telah mengalih teks asal tersebut. Sekiranya anda melakukan perkara itu sudah pasti anda akan memperoleh markah yang minimum.
7. Tulislah ayat-ayat yang telah anda alihkan bahasanya itu dalam beberapa perenggan, mengikut kesesuaian kandungannya (biasanya tidak melebihi 3 perenggan).

8. Elakkan kesalahan bahasa yang lazimnya dilakukan oleh calon-calon STPM. Sekiranya calon melakukan kesalahan bahasa yang banyak, sudah tentu markah persembahan akan terjejas.
9. Selain markah bahasa, calon-calon juga perlu menitikberatkan aspek jalinan ayat yang telah dibina itu agar persembahannya menjadi lebih kemas, jelas dan mudah difahami oleh pemeriksa.

PENGUTUH HUJAH (siri 2)

Khamis, 22 Julai 2010

2. ANEKDOT


• Anekdot atau cerita dapat diguna bagi melukiskan contoh yang ingin dikemukakan.
• Anekdot jarang digunakan oleh pelajar kerana kurang didedahkan.
• Andai pelajar ingin menggunakannya, dalam penulisan karangan pastikan cerita yang
dipaparkan menjurus kepada matlamat isi.
• Contoh:

“ Budi bahasa budaya kita” cukup hamper dengan halwa telinga kita. Apatah lagi lagu temanya dinyanyikan oleh Dato’ Siti Nurhaliza. Mengapakah kempen budi bahasa diperlukan sedangkan masyarakat kita sudah sinonim dengan kesopanan dalam berbahasa ? Dengan menjengah sudut gelap masyarakat kota, sememangnya nilai demikian sudah dibawa laju oleh arus keegoan masing-masing. Baru-baru ini saya berada di Kuala Lumpur, Diseberang jalan, kelihatan seorang insan tua yang buta. Akan tetapi orang tua yang teraba-raba tersebut ditertawakan oleh sekumpulan anak muda.Adakah kejadian itu amalan budi bahasa Adakah kejadian itu amalan budi bahasa yang akan diwariskan kepada anak kita ?

Contoh frasa analogi :
-internet dicipta untuk kebaikan. Namun sikap segelintir pengguna yang kurang bertanggungjawab menyebabkan internet menjadi penyumbang kes jenayah siber. Analoginya, pisau dicipta untuk memudahkan suri rumah melakukan kerja, jika tangannya luka, adakah pisau yang harus dipersalahkan ?


(akan bersambung )

Pelajar cemerlang tak sertai kokurikulum sukar ke IPTA: Saifuddin

Isnin, 5 Julai 2010

2010/07/05
GEORGETOWN: Pelajar cemerlang mungkin berdepan masalah untuk diterima masuk ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA) di negara ini jika mereka tidak membabitkan diri dalam sebarang aktiviti kokurikulum di sekolah.

Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah, berkata kecemerlangan akademik semata-mata tidak menjamin pelajar mendapat tempat di IPTA. "Walaupun mendapat 90 peratus markah akademik tetapi aktiviti kokurikulum tidak ada langsung, pelajar mungkin menghadapi masalah untuk masuk ke universiti," katanya kepada pemberita selepas majlis sambutan pelajar baru di Universiti Sains Malaysia (USM) di sini hari ini.
Saifuddin berkata, langkah kementerian menekankan aspek kokurikulum kerana ingin melahirkan graduan yang bukan sahaja cemerlang daripada segi akademik sebaliknya turut mempunyai nilai insaniah.

Katanya, langkah itu juga sebagai persediaan untuk graduan memasuki alam pekerjaan kelak.

"Kalau nak kerja pun, kecemerlangan akademik itu hanya laluan awal untuk dipanggil temuduga. Tetapi ketika temuduga, aspek insaniah yang akan diambil kira," katanya.

Kementerian Pelajaran dan Kementerian Pengajian Tinggi mula melaksanakan dasar pengambilan dan pemilihan berasaskan prinsip meritokrasi dengan mengguna pakai 90 peratus markah akademik dan 10 peratus markah kokurikulum bagi kemasukan ke IPTA untuk pengambilan pelajar sesi 2007/2008.
Empat aspek utama diberi penekanan dalam pengiraan markah 10 peratus pencapaian kokurikulum iaitu kehadiran (50 peratus), peringkat pembabitan (20 peratus), pencapaian (20 peratus) dan jawatan disandang (10 peratus). - BERNAMA

MENULIS PERENGGAN PENUTUP-KHPK

Khamis, 1 Julai 2010

Menulis Perenggan Penutup dengan Menggunakan Teknik KHPK dan KHH



i. KHPK – (Kesimpulan, Huraian, Peribahasa, Kepentingan)

Perenggan Penutup Contoh 1

Oleh hal yang demikian, masalah rasuah perlulah ditangani oleh pihak berkuasa dengan kerjasama anggota masyarakat. (Kesimpulan) Pihak berkuasa hendaklah mengadakan kempen secara besar-besaran tentang keburukan dan kesan rasuah kepada masyarakat. (Huraian – Apa yang perlu dibuat) Hal ini demikian kerana, jika masalah rasuah tidak diatasi sudah tentu perkara ini akan merosakkan jentera pentadbiran negara. (Huraian – Apa kesannya) Jadi, sebelum nasi menjadi bubur, kita berharap agar masalah ini dapat ditangani dengan berkesan sebelum menjadi lebih serius. (Peribahasa) Sekiranya hal ini dapat direalisasikan, sudah pastilah masyarakat dan negara kita akan bebas daripada belenggu rasuah. (Kepentingan)

Perenggan Penutup Contoh 2

Oleh hal yang demikian, pelaburan asing memang penting untuk menjana ekonomi sesebuah negara. (Kesimpulan) Usaha-usaha yang serius hendaklah dipertingkat untuk menarik pelaburan asing agar hal ini akan menambahkan pelaburan ke dalam negara kita. (Huraian – Apa yang perlu dibuat) Sekiranya pelabur asing kurang membuat pelaburan di sesebuah negara sudah pastinya ekonomi negara tersebut sukar untuk berkembang. (Huraian – Apa kesannya) Hal ini demikian kerana, negara-negara tersebut mengalami masalah kekurangan modal untuk membangunkan negara mereka. (Huraian – Apa kesannya) Jadi, pihak yang bertanggungjawab dalam bidang pelaburan ini hendaklah mencari jalan (Peribahasa) bagi menarik lebih banyak pelabur asing untuk membuat pelaburan. (Kepentingan)


ii. KHH (Kesimpulan, Huraian, Harapan)

Perenggan Penutup Contoh 3

Kesimpulannya, semua pihak perlulah bekerjasama untuk membanteras masalah jenayah yang berlaku di negara kita. (K) Dengan kata lain, anggota masyarakat perlulah berganding bahu dengan pihak berkuasa iaitu melaporkan kejadian jenayah yang berlaku itu dengan segera. (H) Dengan cara itu, masalah jenayah ini sudah pasti dapat dikurangkan dan dibanteras daripada terus berleluasa di negara kita. (H)

Mengajar + penerima, Mengajarkan + perkara

Selasa, 29 Jun 2010

Salah: mengajar puisi
betul: mengajarkan puisi (perkara)

Salah : mengajar karangan
Betul : mengajarkan karangan (perkara)

Salah : Cikgu Fuad mengajar bahasa Melayu
Betul : Cikgu Fuad mengajar kami (penerima) bahasa Melayu.

Salah : Cikgu Ana akan mengajar karangan esok.
Betul : Cikgu Ana akan mengajar kami (penerima) karangan esok.

Sumber : Pelita bahasa

Berdasar pada atau berdasar kepada

Penggunaan yang betul: berdasar pada (bergantung pada)

-Penggunaan kata sendi nama pada pula digunakan untuk menunjukkan maksud sandaran, seperti bergantung pada, atau berdasar pada.

-manakala kata sendi nama kepada membawa maksud sasaran, seperti "mengirim surat kepada..... " atau "surat ini ditujukan kepada..."

PANDUAN MENJAWAB BAHAGIAN D

Isnin, 14 Jun 2010

Bagi pelajar-pelajar prauniversiti yang berada di Tingkatan 6 Atas, soalan ini sudah biasa anda jawab, tetapi bagi pelajar-pelajar prauniversiti yang baru memulakan pengajian di Tingatan 6 Bawah, soalan ini sudah tentu agak asing bagi anda. Bagi pelajar-pelajar praunversiti yang baru, soalan ini tiada pilihan dan mesti dijawab iaitu Soalan 8. Walaupun jumlah markah bagi soalan ini cuma 15, tetapi calon-calon perlu memberikan perhatian juga terhadap soalan ini kerana boleh membantu calon untuk meningkatkan markah Kertas 2. Selain itu, soalan ini juga kebiasaannya agak mudah dan tidaklah terlalu sukar untuk dijawab. Jadi, para pelajar perlulah membuat latihan yang bersistematik dan berterusan terutamanya berdasarkan soalan yang pernah ditanya dalam peperiksaan STPM. Antara jenis kesalahan bahasa yang popular dan biasa ditanya dalam soalan STPM ialah kesalahan dalam aspek morfologi dan sintaksis iaitu:

• Pengimbuhan, termasuklah imbuhan pinjaman seperti pra, dwi, dan anti
• Kata Ganti Nama Diri Pertama, Kedua dan Ketiga, Kata Ganti Tunjuk, Kata Ganti Tak Tentu, pemilihan kata yang sesuai (Diksi), Kata Hubung, Kata kerja Transitif dan Tak Transitif, Kata Sendi, Kata Penguat, dan Kata Pemeri
• Kata Majmuk, Kata Ganda, Hukum D-M, dan penjodoh bilangan.
• Frasa Sendi, Frasa Kerja Pasif, dan ayat tiada subjek (ayat tergantung).

Panduan umum untuk menjawab soalan Analisis Kesalahan Bahasa adalah seperti yang berikut:

1. Baca ayat-ayat dalam petikan itu sepintas lalu dan kenal pasti kesalahan bahasanya. Tandakan kesalahan-kesaslahan bahasa yang telah anda kenal pasti itu. Kenal pasti kesalahan kata, frasa, dan ayatnya. Kesalahan yang popular ialah kesalahan kata.
2. Biasanya terdapat sekurang-kurangnya 5 kesalahan bahasa dalam ayat-ayat tersebut dan kadang-kadang terdapat 6 hingga 7 kesalahan. Walau bagaimanapun markah yang diperuntukkan cuma untuk 5 kesalahan sahaja.
3. Selepas kesalahan bahasa tersebut anda kenal pasti, buatlah jadual iaitu tiga ruangan atau lajur, iaitu untuk ruangan Kesalahan, Sebab Kesalahan, dan Pembetulan.
4. Untuk lajur Kesalahan, nyatakan kesalahan tersebut. Kemudian tulislah alasan kesalahan tersebut dalam lajur Sebab Kesalahan dan tulis pula pembetulannya dalam lajur Pembetulan.

Kesalahan Umum yang Biasa Dilakukan oleh Pelajar

- Jawapan tidak mengikut format, iaitu tidak ditulis di dalam jadual.
• Terlalu banyak sebab diberikan pada ruang Sebab Kesalahan menyebabkan pemeriksa sukar memahaminya.
• Ada juga Sebab Kesalahan yang diberikan itu secara umum dan tidak jelas atau kurang tepat.
• Gagal menggunakan peluang untuk mencari kesalahan ayat yang lebih daripada 5 kesalahan yang diminta.
• Terlalu banyak kesalahan bahasa yang disenaraikan. Sebenarnya yang betulpun dikatakan salah.

Kekeliruan tentang Rumusan Karangan STPM

Bagi pelajar Tingkatan 6 Bawah atau Prauniversiti Bawah, soalan rumusan mungkin masih mengelirukan mereka. Hal ini demikian kerana, murid-murid masih terpengaruh oleh soalan Rumusan SPM. Mereka lebih cenderung untuk mencari isi tersurat dan tersirat. Namun , nota ini juga mesti dibaca oleh pelajar Tingkatan 6 atas sebagai mengukuhkan pengetahuan.

Oleh itu, murid-murid perlulah membiasakan diri dengan soalan Rumusan STPM dan menyesuaikan format soalan Rumusan Karangan STPM.

Murid-murid hendaklah melupakan soalan Rumusan SPM dan memberikan fokus atau tumpuan terhadap Rumusan Karangan STPM. Dalam soalan Rumusan STPM, murid-murid perlu mencari Isi Utama, Isi Sokongan, dan Kesimpulan. Dalam soalan Rumusan SPM. murid-murid sudah diberikan fokus isi tersurat dan tersiratnya. Murid-murid juga perlu menulis pendahuluannya di samping kesimpulan yang perlu difikirkan sendiri oleh pelajar.

Bagi soalan Rumusan Karangan STPM pula, murid-murid tidak perlu memikirkan isi-isi tersiratnya. Semua isi, iaitu sama ada Isi Utama, Isi Sokongan atau Kesimpulan perlu dicari dan diambil daripada petikan yang disediakan. Perkara penting yang perlu diberikan penekanan oleh murid-murid ialah mencari Isi Utama yang tidak dinyatakan dalam soalan. Isi Utama mestilah dicari daripada perenggan pertama petikan. Selain itu, Isi Utama itu juga perlu penerangan dan penjelasan ringkas berdasarkan huraian dalam petikan.

Isi Sokongan pula perlu dicari dan diambil daripada perenggan-perenggan lain dalam petikan tersebut. Setiap Isi Sokongan juga memerlukan huraian atau penerangan ringkas. Kebiasaannya, terdapat 5 hingga 6 Isi Sokongan daripada setiap petikan Rumusan Karangan. Isi Sokongan merupakan isi-isi lain yang menyokong Isi Utama.

Setelah mendapat 5 atau 6 Isi Sokongan, murid-murid perlu mencari Isi Kesimpulannya pula yang terdapat dalam perenggan akhir petikan. Isi Kesimpulan juga memerlukan huraian atau penerangan ringkas yang perlu diambil daripada petikan.

Perbandingan antara Rumusan Karangan STPM dengan Rumusan SPM

1. STPM - Tiada fokus soalan
SPM - Ada fokus soalan
2. STPM - Tiada isi tersirat – semua isi ada dalam petikan
SPM - Ada isi tersirat
3. STPM - Ada isi Utama
SPM - Ada pendahuluan
4. STPM - Ada isi Sokongan
SPM - Ada isi tersurat dan tersirat
5. STPM - Ada isi Kesimpulan
SPM - Ada kesimpulan
6. STPM - Setiap isi perlu disokong dengan hujah atau bukti berdasarkan petikan
SPM - Isi perlu ringkas dan padat
7. STPM - Jumlah perkataan 180 – 190 perkataan
SPM - Jumlah perkataan tidak melebihi 120 perkataan
8. STPM - Perlu ditulis dalam 3 perenggan
SPM - Tiada format khusus tentang perenggan

CORETAN CUTI

Ahad, 6 Jun 2010

Cuti penggal pada tahun ini terlalulah panjang tempohnya. Menghitung hari untuk menghabiskan cuti dan menyemak kertas ujian. Merisik khabar pelajar nun disana, LaMaCu apa khabarnya ? Jawablah latihan tersebut seperti anda menjawab kertas STPM sebenar.

HURUF VOKAL

Jumaat, 16 April 2010

SISTEM EJAAN BAHASA MELAYU

2.1 Penyelarasan dan Perlaksanaan Ejaan Rumi

Sistem ejaan bahasa Melayu telah bermula pada tahun 1904 dan diisytiharkan penggunaannya secara rasmi pada 16 Ogos 1972. Ini adalah hasil kesepakatan bersama Majlis Bahasa Indonesia-Malaysia. Sistem ejaan tersebut adalah seperti berikut:
(i) Huruf vokal: a, e, i, o, u
(ii) Huruf diftong: ai, au, oi
(iii) Huruf konsonan: huruf selain huruf vokal
(iv) Huruf konsonan gabungan: gh, kh, ny, ng, sy


2.1.1 Huruf Vokal

Dalam bahasa Melayu ada enam fonem atau bunyi vokal standard. Huruf-huruf yang melambangkan fonem-fonem tersebut ialah a, e, i, o, u seperti dalam rajah di bawah.

TEKNIK MERUMUSKAN KARANGAN

Selasa, 13 April 2010

LANGKAH PERTAMA: MEMBACA PETIKAN KARANGAN

Langkah pertama ialah membaca petikan karangan yang diberi dan memahami kandungannya. Bagaimanakah caranya membaca petikan karangan yang diberi?
Bagaimana pula cara untuk memahami petikan itu?

a. Mengenal erti perkataan-perkataan

b. Mengenal organisasi dalam karangan atau bagaimana idea-idea disusun oleh penulisnya


d. Keupayaan berfikir secara logik

1. Sebelum memulakan bacaan sesebuah petikan karangan, antara soalan yang mungkin ditanya ialah:

a. Adakah pembacaan itu untuk mengetahui sama ada bahan itu menarik atau tidak, patut dibaca dengan teliti atau tidak atau perlukah ditolak sahaja bahan bacaan itu kerana tidak perlu ketika itu?

b. Adakah pembacaan ketika itu semata-mata untuk mencari dan mendapatkan maklumat tertentu dengan secepat mungkin?

c. Adakah pembacaan untuk kefahaman yang seluruhnya supaya bahan yang dibaca dapat diingat dengan baik?

d. Adakah pembacaan itu dibuat untuk mengesan binaan-binaan karangan untuk kemudiannya dirumuskan?

e. Apakah tujuan pembacaan itu dibuat? Untuk mendapat maklumat, untuk menelaah, untuk membuat rumusan, untuk peperiksaan dan sebagainya?


2. Semasa membacanya pula, antara soalan yang mungkin ditanya ialah:

a. Apakah agaknya yang dihuraikan oleh penulis dalam karangannya?

b. Adakah penulis menghuraikan sesuatu seperti yang telah disangka oleh pembaca?

c. Adakah penulis mengajak pembaca berfikir secara mendalam tentang sesuatu hal atau adakah dia menghuraikan sesuatu tentang apa yang sudah pun diketahui oleh pembaca?

d. Bagaimanakah penulis mengorganisasikan tulisannya? Bagaimanakah pemerengganannya? Bagaimanakah isi utama dan isi-isi sampingan ditampilkan?
Bagaimana pula kesimpulannya?

e. Adakah penulis membuat kesimpulan yang muktamad, memberi suatu tafsiran
yang sempit atau sebaliknya, adakah dia memberi peluang kepada pembaca
membuat tafsiran sendiri?

3. Selepas membaca teks ,soalan-soalan yang mungkin ditanya ialah:

a. Dapatkah diceritakan semula atau dihuraikan semula kepada diri sendiri atau kepada orang lain tentang apa yang dibaca.

b. Dapatkah diberi satu tajuk bagi satu perenggan, bagi keseluruhan teks ataupun bagi sesuatu berita yang telah dibaca?

c. Dapatkah diingati isi-isi sampingan dan juga detail-detail, jika dirasakan perlu?

d. Jelaskan bagaimana idea-idea dalam teks itu terjalin hingga menjadi satu kesatuan?

e. Dapatkah isi yang telah dibaca itu disusun semula?

f. Dapatkah dirumuskan apa yang telah dibaca?


LANGKAH KEDUA: MENGANALISIS BINAAN KARANGAN

Telah dinyatakan sebelum ini bahawa sesebuah karangan akan terbina daripada tiga bahagian, iaitu bahagian pendahuluan, bahagian tubuh, dan bahagian penutup atau kesimpulan.

Biasanya para pelajar tidak menghadapi masalah untuk mengenal pasti isi utama
dan kesimpulan sesebuah karangan yang diberi. Masalah utama para pelajar ialah untuk menentukan isi-isi sampingan karangan itu. Antara bentuk isi-isi sampingan ialah;

a. Fakta
b. Pendapat
c. Perbandingan
d. Contoh atau kes
e. Pendapat penulis
f. Definisi

g. Pengalaman peribadi
h, Huraian mendalam
i. peribahasa



Panduan untuk memilih isi sampingan yang dikemukakan oleh Abdullah Hassan (1993) boleh digunakan oleh para pelajar.

i. Ambil satu contoh atau kes sahaja (yang dianggap paling penting) jika
terdapat lebih daripada satu contoh atau kes dalam karangan.

ii. Ayat-ayat yang memberi penjelasan lanjut terhadap sesuatu pendapat tidak
perlu diambil isinya.

iii Jenis-jenis isi sampingan yang perlu dikekalkan ialah:

a. Fakta-fakta utama
b. Contoh atau kes utama
c. Pendapat
d. Perbandingan

iv. Jika petikan karangan yang diberi tidak mengandungi banyak isi sampingan yang penting, barulah isi-isi sampingan yang kurang penting dimasukkan. Pemasukan isi-isi sampingan yang kurang penting itu perlulah dibuat berdasarkan keutamaan peranannya dalam karangan.

v. Apabila teks asal mengandungi banyak isi, cara mengeluarkan isi ialah
dengan mengekalkan isi-isi yang amat penting dan diikuti isi-isi penting,
dan diikuti kurang penting jika ada ruang.



LANGKAH KETIGA: MENULIS RUMUSAN KARANGAN

Ayat pertama yang perlu ditulis ialah isi utama karangan

Para pelajar perlu menggunakan perkataan atau ayat-ayat sendiri sewaktu menulis rumusan

Seelok- eloknya isi utama itu hendaklah ditulis dengan bahasa yang mudah supaya mudah difahami oleh pembaca.

Selepas menuliskan isi utama, barulah anda beralih kepada isi-isi sampingan.

Daripada pelbagai isi sampingan yang ada, pilihlah isi sampingan yang paling penting, diikuti yang penting, dan seterusnya jika ada ruang, isi yang kurang penting.

sebaik-baiknya isi-isi sampingan itu ditulis dalam sebuah perenggan.

Terdapat petikan karangan yang tidak mempunyai kesimpulan. Jika demikian para pelajar hendaklah menulis kesimpulan sendiri berdasarkan persoalan-persoalan yang dikemukakan dalam karangan tersebut.

LANGKAH KEEMPAT: MENYEMAK RUMUSAN KARANGAN

Langkah menyemak semula karangan amat penting, terutamanya untuk mengelakkan markah bahasa rumusan menjadi terlalu rendah.

Kesilapan ejaan perkataan, penggunaan ayat, tanda bacaan, imbuhan, dan segala aspek kebahasaan akan dapat diperbetulkan dengan membuat semakan ini.

Tanpa semakan, kesilapan itu akan menyebabkan markah bahasa rumusan para pelajar menjadi kurang.

Selain itu, para pelajar juga dapat memastikan panjang rumusan karangan itu menepati jumlah perkataan yang dikehendaki.

Seandainya jumlahnya lebih, maka dalam semakan ini pemotongan rangkai kata atau perkataan yang tidak perlu boleh dilakukan.

Sebaliknya jika jumlahnya terlalu kurang daripada batasan yang diberi, maka masa menyemak ini dapat digunakan untuk menambah isi-isi sampingan yang tertinggal.










Antara bentuk isi-isi sampingan ialah;

a. Fakta
b. Pendapat
c. Perbandingan
d. Contoh atau kes
e. Pendapat penulis
f. Definisi
g. Pengalaman peribadi
h, Huraian mendalam
i. Petikan
j. Perumpamaan, kata-kata hikmat, peribahasa.


Namun jenis-jenis isi sampingan yang boleh dikekalkan sebagai isi sokongan ialah :

a. Fakta-fakta utama
b. Contoh atau kes utama
c. Pendapat
d. Perbandingan
SOALAN RUMUSAN-STPM 2006

Iklan memainkan peranan yang penting dalam mempengaruhi pengguna(IU=inti1) selain memujuk penguna supaya membeli barang atau perkhidmatan(IU=inti2), iklan juga berperanan memberikan maklumat berkenaan dengan sesuatu produk. Iklan mempunyai pengaruh yang besar dalam membentuk kepercayaan pengguna terhadap sesuatu produk bahawa apa-apa yang diiklankan itu ialah sesuatu yang penting. Berbagai-bagai cara digunakan untuk memujuk dan menarik perhatian para pengguna. Antara caranya ialah penggunaan media, seperti surat khabar, majalah, radio, televisyen, papan iklan dan risalah.
Industri pengiklanan berkembang dengan begitu pesat di seluruh dunia dengan dan melibatkan perbelanjaan yang amat besar setiap tahun. Di Malaysia, pengiklanan merupakan bidang komersial yang menguntungkan dan cepat berkembang. Pada tahun 1985, perbelanjaan untuk tujuan pengiklanan berjumlah RM 419 juta. Jumlah itu meningkat kepada beberapa billion ringgit dalam jangka masa tidak dampai 20 tahun. Agensi pengiklanan sentiasa mencari kaedah terbaik untuk menarik perhatian para pengguna terhadap imej dan jenama sesuatu barang atau perkhidmatan yang ditonjolkan. Mereka menggunakan strategi psikologi dan psikoanalitik untuk mempengaruhi pengguna supaya membeli produk yang diiklankan.
Pihak pengeluar dan pengiklan juga telah menambah fungsi sesuatu barang. Imej yang selalu diketengahkan oleh beberapa iklan ialah golongan remaja yang segak apabila menggunakan sesuatu produk biarpun harganya mahal dan tidak mampu dibeli oleh mereka. Bagi iklan syampu dan produk kecantikan, para pengiklan biasanya mengetengahkan model yang cantik untuk memperdayakan pengguna bahawa dengan menggunakan produk keluaran mereka, pengguna juga akan kelihatan menawan seperti model tersebut. Hal ini membuktikan bahawa terdapat iklan tertentu yang gagal memenuhi ciri yang dikehendaki dalam sesuatu iklan komersial.
Satu lagi taktik yang sering digunakan oleh pengiklan adalah dengan mengusik perasaan pengguna. Pengiklan mewujudkan keadaan bimbang kepada pengguna dengan pelbagai cara termasuklah memperlihatkan individu yang diketepikan oleh rakan atau pasangannya apabila mukanya berjerawat, rambutnya berkelimumur, kulitnya gelap, badannya berbau, badannya gemuk dan sebagainya. Iklan sebegini sengaja menimbulkan keraguan dan rasa bersalah pengguna jika mereka tidak menggunakan produk yang dikeluarkan oleh pengiklan.
Iklan seharusnya mengingatkan pengguna tentang barang atau perkhidmatan dan memberikan keyakinan kepada para pembeli bahawa mereka telah membuat pilihan yang tepat. Iklan yang baik seharusnya mempunyai daya tarikan yang menyentuh keinginan pengguna dengan menunjukkan bahawa barang yang diiklankan itu menepati fungsi yang dikehendaki. Kegagalan iklan melaksanakan peranannya itu lambat laun akan menyebabkan hilangnya kepercayaan dalam kalangan pengguna.
Sehubungan dengan itu, sudah tiba masanya Kod Amalan Pengiklanan Malaysia diperketat untuk mengelakkan pengiklan daripada terus membuat dakwaan yang tidak berasas dan mengelirukan. Tindakan yang lebih tegas perlu diambil terhadap pengiklan yang menipu pengguna dengan menyelitkan unsur lucah dan menjadikan unsur seks sebagai daya tarikannya. Pengeksploitan wanita dan kanak-kanak melalui iklan perlu dihentikan dengan memastikan bahawa model yang digunakan bersesuaian dengan produk yang diiklankan.

JAWAPAN RUMUSAN

SYARAT SAYEMBARA / DEKLAMASI SAJAK

5.1 Deklamasi sajak yang dimaksudkan adalah pembacaan SAJAK (bukan menyanyikan sajak).

5.2 Puisi yang dideklamasikan dalam pertandingan ini adalah sajak hasil ciptaan bebas bertemakan Pendidikan Pencegahan Dadah. Peserta boleh mencipta sendiri sajak untuk dideklamasi atau mendeklamasikan sajak ciptaan orang lain.Peserta dinasihatkan mendapat kebenaran / memaklumkan terlebih dahulu kepada penciptanya. Skrip sajak yang dihantar kepada Urusetia juga dikehendaki dinyatakan penciptanya.

5.1 Panjang sajak yang akan dideklamasikan hendaklah antara 20 hingga 30 baris bagi Sekolah Rendah dan 30 hingga 40 baris bagi Sekolah Menengah. Setiap baris tidak kurang daripada 3 patah perkataan. Bagaimanapun, pencipta bebas menentukan jumlah perkataan dalam satu baris tetapi baris yang kurang daripada 3 patah perkataan tidak dikira sebagai sebaris.

5.2 Penilaian hanya dibuat terhadap deklamasi sahaja, bukan pada sajak.


5.3 Penyelaras di peringkat negeri / peserta hendaklah mengemukakan sajak yang akan dideklamasikan kepada Urusetia selewat-lewatnya seminggu sebelum tarikh persembahan. Maklumat pada butiran 4.3 di atas hendaklah disertakan.

5.4 Sajak hendaklah dideklamasikan dalam Bahasa Melayu sahaja.

5.5 Urusetia Sayembara akan memilih tiga (3) hingga lima (5) panel penilai bebas. Aspek yang akan dinilai ke atas setiap peserta merangkumi aspek TEKNIK, GAYA, NADA dan SUARA (masing-masing membawa 25 markah).

5.6 Keputusan menentukan kedudukan tempat peserta (Johan, Naib Johan dan seterusnya) akan berdasarkan kiraan AGREGAT daripada kedudukan yang telah diberikan oleh semua panel. Keputusan panel penilai adalah MUKTAMAD.

5.7 Perincian setiap aspek yang dinilai adalah sebagaimana berikut :-



5.9.1 TEKNIK

a) Teknik ialah gerakan kreatif deklamator. Gerakan ini mungkin sedikit sahaja tetapi ketara.


b) Penilai terhadap aspek teknik tertumpu kepada keberkesanan gerakan kreatif ini.

c) Sebagai contohnya, ada pendeklamator yang melangkah setapak ke hadapan, kemudian berundur setapak juga pada tempat yang sesuai. Terdapat pula pendeklamator yang bermula dengan duduk dan kemudian bangun. Gerakan-gerakan begini, jika sesuai (khususnya bersesuaian dengan puisi yang dideklamasikan), membantu menjadikan persembahan berkesan.


d) Alat bantu (prop) tidak dibenarkan dibawa semasa pertandingan. Selain itu, peserta juga tidak dibenarkan mendeklamasikan dengan bantuan teman. Ertinya, manusia tidak boleh dijadikan “alat bantu” dalam sayembara deklamasi ini.


e)Muzik juga teknik. Muzik latar adalah dibenarkan, tetapi hanya dalam bentuk rakaman sahaja. Iringan muzik secara terus (live) sama ada dimainkan oleh peserta sendiri atau dibantu oleh orang lain TIDAK dibenarkan.



5.9.2 GAYA

a)Gaya berkait rapat dengan keyakinan deklamator. Terdapat tiga alasan yang menjadikan deklamator kurang bergaya. Yang pertama, deklamator itu memang tidak cukup berani berhadapan dengan khalayak. Kedua, walaupun dia berani berhadapan dengan khalayak, namun dia tidak tahu tentang seni pentas dan ketiga, tingkat hafalannya tidak cukup. Ini membawa kepada deklamasi yang tidak menyakinkan.

b)Gaya termasuklah olahan/bahasa tubuh (body language), gerak tangan dan sebagainya yang bersesuaian dengan sajak yang dideklamasikan.

c)Mimik muka juga adalah gaya. mimik muka hendaklah sesuai dengan tema dan isi sajak yang dideklamasikan.

d)Selain itu, pergerakan mata deklamator juga diambil kira sebagai gaya mata orang pentas. Yang yakin/berani ditumpukan kepada penonton, manakala yang tidak yakin akan lari ke atas atau lantai pentas.


5.9.3 NADA

a)Nada yang dimaksudkan ialah nada yang ada dalam sajak. Terdapat beberapa nada yang popular seperti patriotik, marah, sinis, sedih, romantis dan sebagainya.

b)Setelah nada sajak dikenali dengan betul, pengucapannya pula perlu digandingkan dengan intonasi yang tepat iaitu turun naik dan tinggi rendah suara untuk dipadankan dengan maksud sajak. Jeda (tempat berhenti) juga perlu difahami betul-betul oleh pendeklamator untuk menjelaskan lagi maksud sajak.


5.9.4 SUARA

a)Suara adalah pemberian Tuhan yang sukar diubah. Walaupun demikian Deklamator yang bersemangat tinggi akan berusaha menerbitkan suara yang sesuai dengan sajak dapat dipaparkan melalui permainan kualiti suara. Deklamator hendaklah sedar bahawa suara boleh direndahkan, disederhanakan dan ditinggikan pada tempat-tempat yang sesuai. Yang dimaksudkan dengan kualiti suara ialah penerbitan suara yang berbeza-beza itu, yang dalam bidang muzik disebut bas, tenor dan soparno.

b)Penerbitan suara yang terasa dibuat-buat akan menyebabkan deklamasi kurang bermutu.



5.9.5 PENILAIAN ASPEK LAIN SECARA UMUM
(Termasuk markah bonus dan pemotongan markah)

a) Konsep Penghayatan

Kejayaan deklamator mengemukakan teknik, gaya, nada dan suara yang bersesuaian dengan sajak yang dideklamasikan adalah kejayaannya dalam penghayatan sajak itu.

b) Kelemahan dan Pemotongan Markah

Markah yang diberikan untuk aspek-aspek yang dinyatakan di atas akan muktamad jika tiada kelemahan dalam deklamasi. Markah akan dipotong jika terdapat kelemahan-kelemahan seperti yang akan dinyatakan di bawah ini. Jumlah markah yang akan dipotong tertakluk pada seriusnya kelemahan itu.





i) Salah atau Lemah Sebutan

Jika kata “payung” disebut “payon”, “keramat” disebut “keramak”, “cinta” disebut “cinte” dan seumpamanya, markah akan dipotong tidak lebih daripada tiga. Sebutan yang salah itu mungkin berulangkali, tetapi pemotongan hanya sekali.


ii) Ketersasulan

Apabila perkataan tertentu tersalah sebut dan disebut sekali lagi dengan tujuan pembetulan, markah akan dipotong juga kerana ketersasulan itu merosakkan kelancaran deklamasi. Pemotongan untuk sekali tersasul ialah tidak kurang daripada tiga markah.


iii) Tersalah Perkataan

Tersalah perkataan berbeza daripada tersasul, kerana dalam hal tersalah perkataan, tiada pembetulan dibuat. Deklamator mungkin tidak menyedari kesalahan itu dan mungkin juga membiarkannya demi menjaga kelancaran. Pemotongan untuk kesalahan begini tertakluk pada kesannya. Jika perkataan “telah” disebut “tidak” makna keseluruhan sajak berubah. Ini menyebabkan pemotongan mungkin sehingga 10 markah. Jika perkataan “tidak” disebut “tiada”, makna keseluruhan sajak tidak berubah. Markah yang dipotong hanyalah satu.



iv) Tertinggal Bahagian Tertentu

Deklamator yang kurang menghafal atau yang gentar di hadapan khalayak mungkin tertinggal baris tertentu, malah mungkin juga tertinggal rangkap tertentu. Ada yang tertinggal terus dan ada teringat kemudian lalu disebutkan semula. Hal ini menyebabkan bentuk, struktur dan mungkin maksud itu berubah. Oleh sebab kesannya besar, maka markah yang dipotong boleh mencecah angka 10, tertakluk kepada jumlah baris tertinggal atau serius tidaknya kesan.


v)Perlakuan Negatif Di Pentas

Perbuatan mengetuk mikrofon, membunyikan “emh” dan sebagainya kerana ada gangguan di kerongkong dan perbuatan-perbuatan lain yang menunjukkan sikap tidak profesional di pentas akan menyebabkan markah dipotong. Jumlah yang dipotong tidak kurang daripada tiga.


c)Pakaian deklamator adalah bebas tetapi hendaklah bersopan dan sesuai.


5.9.6 Semua perkara yang tidak dinyatakan dalam syarat-syarat ini adalah menjadi hak penganjur dan Urusetia Sayembara menentukannya dari semasa ke semasa.

NADA SAJAK

NADA SAJAK
Memahami nada sajak.
Nada
• berkaitan sikap dan semangat si penyajak ketika mengungkap isi sajak.
• Dalam satu sajak boleh terdapat lebih daripada satu nada.

A. Nada protes
• Nada suara keras, penentangan terhadap sesuatu yang berlaku.
• Ungkapan terhadap pengalaman atau pemeerhatian penyajak.
B. Nada kecewa dan hampa
• Diksi yang dipilih bernada lembut dan rendah.
• Mengimbangi emosi kecewa dan hampa.
• Perasaan yang benar-benar wujud mampu menghasilkan suara yang bertenaga.
C. Nada semangat dan harapan
• Menggunakan diksi yang keras.
• Memperjuangkan fenomena sosial yang berlaku.
• Juga berkaitan nasionalisme dan kecintaan kepada tuhan.
D. Nada simpati
• Memperlihatkan sikap penyajak terhadap sesuatu kejadian atau kehidupan.
E. Nada sinis
• Sindiran terhadap Sesuatu keadaan yang berlaku.
F. Nada romantis
• Lahir daripada jiwa yang mahu melepaskan diri dari alam kenyataan kepada alam fantasi atau khayalan.
• Lafaz mendayu, lembut, menusuk perasaan khalayak.
KESIMPULAN:
• Sebagai pembaca, kita perlu betul-betul melihat bagaimana emosi penyajak dipantulkan melalui pemilihan diksi.
• Setiap penyajak mengalirkan emosi melalui pemilihan diksi ketika mengahsilkan sajak.

SAYEMBARA DEKLAMASI PUISI

PANDUAN MENGANJURKAN SAYEMBARA DEKLAMASI PUISI


PENDAHULUAN

Deklamasi sajak sudah mendapat tempat di negara kita. Oleh sebab kedudukannya baik tetapi keseniannya tidak dikenali, maka kita berada dalam keadaan tidak menentu. Kebanyakan orang yang mengikuti deklamasi sajak secara sepintas lalu memperoleh kesan bahawa deklamasi ialah penyampaian sajak dengan suara yang kuat dan garang. Ini ditambah dengan aksi yang berlebih-lebihan, misalnya berdiri terkangkang, tangan diangkat tinggi, muka dikerut-kerutkan, dan lain-lain seumpamanya. Kita tidak menolak sebarang tekanan suara dan sebarang aksi, dengan syarat apa-apa yang dilakukan itu bersesuaian dengan karya yang dipersembahkan.

Guru memerlukan pedoman, sama ada untuk memantapkan deklamasi masing-masing, ataupun menjadi hakim yang mempunyai pegangan semasa bertugas. Anggapan sesetengah orang bahawa panel hakim bebas memberikan penilaian tanpa sandaran adalah anggapan yang meleset dan tidak dapat dipertanggungjawabkan. Anggapan demikian menyebabkan peserta sayembara berada dalam keadaan tidak menentu, dan seratus peratus berserah kepada nasib.

PEMBAHAGIAN MARKAH

Seperti kebanyakan sayembara, markah penuh untuk sesuatu persembahan deklamasi ialah 100 yang dibahagikan kepada beberapa bahagian dan panel pusat GAPENA telah memperoleh pembahagian yang dianggap ideal dan tidak mudah dicabar. Pembahagian ini mungkin kelihatan masih umum di dalam kotak-kotak markah itu, tetapi menjadi jelas (walaupun tidak mungkin objektif sepenuhnya) apabila setiap bahagian didefinisikan serta dikemukakan contoh-contoh.

Yang di bawah ini ialah pembahagian markah seperti yang disebutkan.

Teknik ¦ 25 markah
Gaya ¦ 25 markah
Nada ¦ 25 markah
Suara ¦ 25 markah

Teknik
Teknik ialah cara menyampaikan isi. Definisi ini terlalu umum, dan jika kita membataskan lingkungannya, kita akan menganggap segala hal yang berkaitan dengan cara persembahan sebagai teknik. Untuk menentukan bahawa markah 25 itu wajar dengan lingkungan teknik, Maka panel penilai hendaklah menganggap perkara-perkara ini ialah teknik:

(a) Cara deklamator melangkah ke tempat yang ditentukan untuk dia mendeklamasikan sajak. Jika dia berlenggang secara hendak tak hendak, atau jika dia tersenyum tidak menentu dan melambaikan tangan kepada kawan-kawannya, atau berbuat sesuatu yang bertentangan dengan mood deklamasi, markah akan dipotong.


(b) Cara deklamator memulakan deklamasi. Jika permulaan itu terlalu asing berbanding keadaan sebelum ayat pertama diucapkan, markah akan dipotong.

(c) Gerakan tubuh badan hendaklah bersesuaian. Gerakan tangan, kepala, bahu dan lain-lain yang sesuai hendaklah berpadanan dengan deklamasi yang mantap.
(d) Gerakan bebas dibenarkan di atas pentas sahaja dan boleh menggunakan alat bantu yang bersesuaian dan tidak membahayakan.

Gaya
Gaya ialah penampilan keindahan yang matang. Definisi ini juga umum seperti definisi teknik, dan lingkungannya hendaklah ditentukan untuk mendapatkan keselarasan dalam penilaian. Sesiapa yang biasa dengan deklamasi akan mudah memahami maksud gaya, kerana dia dapat mengenal keindahan penyampaian karya. Deklamator yang mantap memperlihatkan keyakinan di atas pentas. Gaya berkaitan dengan keyakinan, kerana deklamator yang tidak yakin mungkin tidak berjaya memaparkan keindahan.

Untuk menentukan had gaya itu sesuai dengan 25 markah yang diperuntukkan, hal-hal ini hendaklah diberi perhatian:

(a) Keyakinan yang terbayang pada wajah deklamator.
(b) Mimik muka yang berubah-ubah, sesuai dengan maksud bahagian-bahagian sajak.
(c) Keberanian menatap penonton untuk memperoleh kesan perhubungan antara deklamator dengan audiens.


Nada
Nada ialah istilah yang dipinjam dari bidang muzik. Seperti yang dapat kita fahami dalam muzik, nada hendaklah sejajar dengan maksud sesebuah karya. Dalam sajak, nada merupakan hasilan motivasi. Ini bermakna, alasan terciptanya sesebuah karya menentukan nada karya itu.

Dalam deklamasi, deklamator hendaklah mengenal pasti nada karya yang akan dipersembahkannya. Dia hendaklah mempersembahkan karya yang bernada protes dengan intonasi yang sesuai dengan protes. Demikian jugalah nada-nada yang lain.

Seseorang deklamator tidak semestinya menggunakan suara yang tinggi dalam deklamasi. Ini disebutkan kerana sudah menjadi kebiasaan di mana-mana, sajak disampaikan dengan cara menekankan setiap kata. Deklamasi mungkin menepati deklamasi yang baik jika sajak yang dideklamasikan itu memuatkan kemarahan yang tidak terhingga.

Deklamator hendaklah mempelajari nada setiap sajak, dan nada itu hendaklah diterjemah ke intonasi dan tekanan ketika karya itu dipersembahkan. Panel hakim tentulah telah membaca karya-karya yang digunakan dalam sayembara, kerana tanpa berbuat demikian, panel hakim tidak dapat mengesan nada.

Sebutan dan Suara
Pada dasarnya, suara adalah anugerah Tuhan yang turut menentukan identiti seseorang. Kita mengenal suara seseorang seperti mana kita mengenal rupanya juga. Oleh sebab itu, ada kemungkinan muncul kebertuahan, iaitu suara yang baik akan "menghadiahkan" markah yang agak banyak.

Walau bagaimanapun, seseorang masih boleh berlatih untuk memperbaik suaranya. Dia boleh berlatih bersuara serak, bersuara dari dalam dan seumpamanya, untuk menimbulkan kesedapan orang mendengarnya.


Dalam penghakiman, panel hakim hendaklah mengambil perhatian terhadap penerbitan suara untuk disesuaikan dengan isi, gaya dan nada sajak. Perlu disebutkan, suara yang diada-adakan secara ketara (misalnya deklamator membesarkan ruang mulut untuk menerbitkan suara yang besar), tidak dapat dianggap suara yang baik. Oleh itu, jika didapati seseorang menerbitkan suara yang mengada-ngada, dan bertentangan dengan kematangan deklamasi, markah bahagian suaranya hendaklah dipotong.

Yang berkaitan dengan suara ialah sebutan. Deklamator hendaklah menggunakan
sebutan baku. Sebutan baku pun mungkin menimbulkan masalah kerana ada anggapan bahawa sebutan baku itu bermaksud sebutan yang mengikut ejaan seratus-peratus.

Sebenarnya, sebutan baku bahasa Melayu dikenal melalui tinjauan terhadap fonetik bahasa Melayu, di samping mengikut ejaan. Tidaklah betul anggapan bahawa bunyi hujung kata yang berakhir dengan huruf k dan t itu mesti ditebalkan. Sebenarnya, jika bunyi itu ditebalkan, timbul keadaan yang asing, kerana orang Melayu menyebut duduk, jebak, surut dan laut seadanya, tanpa menebalkan huruf k dan t yang mengakhirkan ejaan kata-kata itu. Dalam Sayembara Deklamasi Puisi Kebangsaan, sebutan yang menebalkan bunyi tertentu iaitu yang bertentangan dengan peraturan atau kebiasaan fonetik Melayu akan dianggap satu kelemahan. Markah bahagian tersebut akan dipotong.

Kelancaran
Kelancaran (termasuk kefasihan) amat dituntut dalam menentukan deklamasi yang baik. Oleh sebab deklamator telah menghafal puisi yang akan disampaikannya, (atau dia membawa teks, kerana ini diizinkan, walaupun tidak digalakkan), maka markah tidak diberikan untuk bahagian ini, sebaliknya jika berlaku kesilapan, markah akan dipotong. Maksud di sini, setelah markah diperoleh hasil penilai aspek-aspek yang telah dikemukakan di atas, jika terdapat kesilapan menyebutkan sepatah kata atau sejumlah kata (misalnya perkataan "telah" disebut "tidak", perkataan "jangan" disebut "jarang" dan seumpamanya), atau meninggalkan kata yang terdapat dalam teks asal, maka markah akan dipotong. Markah akan dipotong dengan banyaknya jika kesilapan itu (walaupun sepatah kata sahaja) menyebabkan keseluruhan maksud sajak berubah.

Perlu ditegas, bahawa markah juga akan dipotong jika deklamator menyebutkan sepatah atau sejumlah kata, kemudian disedari bahawa kata itu silap lalu disebutkan kata lain pula. Kelancaran terganggu kerana kesilapan demikian.

Untuk menentukan sajak dideklamasikan oleh deklamator itu tepat seperti yang terdapat dalam teks, panel penilai hendaklah menatap teks ketika deklamasi berlangsung. Jika terdapat kesilapan panel hendaklah memutuskan pemotongan markah dengan bijak sana, kerana terdapat jenis kesilapan yang tidak dapat dimaafkan.

Diubahsuai daripada "Pedoman Deklamasi Puisi untuk Sayembara Deklamasi Puisi Hari Kebangsaan 1996" oleh Rahman Shaari

ANTARA IALAH & ADALAH

Isnin, 5 April 2010

Perbezaan antara ‘ialah’ dengan ‘adalah’


Kata pemeri ‘ialah’ digunakan secara persamaan dan hadir di hadapan frasa nama seperti dalam ayat berikut:
“Itu ialah suara Edah”.


‘Ialah’ dalam ayat ini merupakan persamaan antara subjek ayat ‘itu’ dan predikat ayat ‘suara Edah’ yang merupakan frasa nama. ‘Adalah’ pula, digunakan secara huraian dan hadir di hadapan frasa adjektif dan frasa sendi nama, seperti dalam ayat berikut:
“Vitamin C adalah baik untuk kesihatan badan”.

‘Adalah’ dalam ayat ini menghuraikan ‘vitamin C’ yang hadir sebelum frasa adjektif ‘baik untuk kesihatan badan’.

Kata sendi nama ‘untuk’ dan ‘bagi’ digunakan di hadapan kata nama atau frasa nama dengan fungsi tertentu. Dalam konteks penggunaan yang menunjukkan kegunaan untuk sesuatu, kata sendi nama ‘untuk’ boleh bertukar ganti dengan kata sendi ‘bagi’. Contoh:

“Asrama untuk/bagi pelajar wanita sedang dibina.”

Dalam penggunaan yang menyatakan maksud bahagian yang diperuntukkan, ‘untuk’ tidak boleh bertukar ganti dengan 'bagi'. Contoh: “Hadiah itu untuk ibu” dan bukannya “Hadiah itu bagi ibu.”

Rujukan : DBP

ANTARA JUSTERU & JUSTERU ITU

Justeru atau justeru itu?



Adakah perkataan "justeru" boleh dikategorikan sebagai penanda wacana? Mengapakah frasa "justeru itu" tidak boleh digunakan dalam wacana penulisan?


"Justeru" yang bermaksud kebetulan, , tepat, malahan, atau bahkan ialah Kata Tugas dan boleh hadir dalam ayat, klausa, frasa untuk mendukung tugas tertentu. "Justeru" juga merupakan penanda wacana yang sering digunakan oleh penulis dalam wacana tulisan, malah sering juga kita dengar dalam syarahan, ceramah umum dan ucapan pemimpin negara.

"Justeru" sebagai penanda wacana berfungsi untuk menceritakan sebab dan kesan sesuatu idea, hujah dan pandangan yang dikemukakan bagi menunjukkan pertalian antara wacana sebelum dan selepasnya.

Frasa "justeru itu" tidak wujud dalam penanda wacana ataupun frasa kerana perkataan "justeru" tidak membawa makna oleh, yang boleh dirangkaikan menjadi oleh itu.

Sumber: DBP

ANTARA DATUK & DATO'

PERBEZAAN ANTARA DATO' & DATUK

Dato' ialah gelaran kehormat bagi penerima Anugerah Darjah Kebesaran yang dianugerahkan oleh Kerajaan Negeri yang diketuai oleh Sultan atau Raja.

Datuk ialah gelaran kehormat bagi penerima Anugerah Darjah Kebesaran yang dianugerahkan oleh Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri yang diketuai oleh Yang Dipertua, seperti Melaka, Sarawak, dan Sabah.

Rujukan:
Buku Protokol di Malaysia Tradisi dan Amalan, terbitan DBP

ANTARA BOLEH & DAPAT

Kata ‘boleh’ dan ‘dapat’ kedua-duanya tergolong sebagai kata bantu yang hadir sebelum frasa, yang bertugas membantu frasa kerja dan frasa sendi nama. Kata ‘boleh’ membawa unsur keizinan atau kebenaran dan tidak menyalahi peraturan. Manakala kata dapat membawa unsur upaya. Contoh penggunaan bagi kedua-dua kata tersebut adalah seperti yang berikut:

a. Kamu boleh pergi ke konsert itu kalau diizinkan ibu.
b. Lesen yang diberi boleh ditarik balik.
c. Sue begitu gembira dapat melakonkan watak Mahsuri.
d. Zamri masih belum dapat melelapkan matanya.

Kata ‘dapat’ sering disalahgunakan dengan ‘boleh’.

Contoh:
Pantun boleh dibahagikan kepada beberapa jenis (salah).
Pantun dapat dibahagikan kepada beberapa jenis (betul).

Kadang-kadang kata ‘boleh’ itu sebenarnya bermaksud ‘mungkin’.

Contoh:
Perkara ini boleh berlaku apabila hilang minat (salah).
Perkara ini mungkin berlaku apabila hilang minat (betul).


Rujukan: DBP

ANTARA BARU & BAHARU

Perbezaan'Antara ‘Baru’ dengan ‘Baharu’

Baru' ialah kata bantu manakala 'baharu' ialah kata adjektif. 'Baru' kalau diterjemahkan ke bahasa Inggeris membawa maksud "just", manakala 'baharu' pula membawa maksud "new" . Dalam erti kata lain, 'baru' berkaitan dengan tempoh masa yang belum lama berlalu seperti dalam contoh berikut:

i. Mereka baru sahaja berkenalan.
ii. Dia baru tiba dari Pulau Pinang.
iii. Mesyuarat itu baru sahaja selesai.

Manakala 'baharu' (new ) pula merupakan kata adjektif yang menerangkan keadaan sesuatu yang berlawanan sifatnya dengan 'lama' atau 'buruk' seperti yang terdapat dalam contoh berikut: kereta baharu, baju baharu, majalah baharu, pelajar baharu, guru baharu, kaedah baharu, teknologi baharu dan sebagainya.

Dari segi morfologi, kata 'baru' tidak boleh menerima imbuhan tetapi boleh menerima bentuk gandaan, iaitu 'baru-baru' seperti dalam ayat: Baru-baru ini dia memenangi Hadiah Sastera Remaja. Manakala kata 'baharu' boleh menerima awalan teR- menjadi 'terbaharu', awalan mempeR- menjadi 'memperbaharu' dan apitan meN-...-i menjadi 'membaharui'.

Dari segi semantik, baharu juga boleh bermaksud moden. Kadang-kadang 'baharu' juga dipendekkan menjadi 'baru' dalam pengunaan harian. Bagaimanapun, ini tidak digalakkan.

FENOMENA SKEPTIKAL

Ahad, 4 April 2010

Fenomena skeptikal= keadaan meragukan

ISU/TOPIK KARANGAN TINGKATAN 6 2010

Rabu, 31 Mac 2010

Seperti biasa, isu karangan sentiasa berubah setiap tahun. Walau bagaimanapun, ada juga isu yang dibincangkan pada tahun-tahun lepas masih belum disoal dalam peperiksaan STPM. Oleh hal yang demikian, isu tersebut masih relevan dengan keadaan semasa dan masih boleh dibincangkan dan dijadikan latihan untuk menulis karangan oleh pelajar-pelajar Tingkatan 6 pada tahun ini.

Kebiasaannya, soalan-soalan yang pernah keluar dalam peperiksaan STPM akan berfokus kepada isu nasional atau negara, masyarakat serta remaja atau pelajar berdasarkan bidang-bidang tertentu seperti ekonomi, pendidikan, sukan, bahasa, seni atau budaya, sains dan teknologi, kemanusiaan dan kemasyarakatan, sastera, sejarah, geografi, hal ehwal wanita, dan sebagainya. Oleh hal yang demikian, saya telah menyediakan isu-isu yang boleh digunakan oleh pelajar dan guru untuk dibincangkan dalam pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas pada tahun ini. Pelajar-pelajar bolehlah mengumpulkan maklumat yang berkaitan dengan isu tersebut sebagai persediaan untuk menghadapi peperiksaan STPM pada tahun ini. Pelajar-pelajar perlu bersedia lebih awal dan perlu berlatih untuk mencari isi penting dan mengolah isi karangan, agar menjadi karangan yang mantap. Yang berikut disenaraikan isu-isu karangan tersebut.

1. Pemanasan Global – Faktor, kesan dan langkah untuk mengatasinya.
2. Penganjuran Sukan Peringkat Antarabangsa – Kepentingannya
3. Bangunan atau Tempat Bersejarah – Kepentingan dan usaha untuk mengekalkannya
4. Masalah Bencana Alam – Kesan dan usaha untuk membantu mangsa
5. Meningkatkan Kecemerlangan Pendidikan – Kepentingan dan usaha yang dijalankan
6. Perniagaan Internet – Kepentingannya
7. Jenayah Ragut - Langkah untuk menanganinya
8. Penggunaan Kad Kredit – Kepentingan dan langkah untuk mengawal penggunaannya.
9. Masalah Perumahan – Kesan dan langkah untuk mengatasinya
10. Penyakit kanser – Kesan dan usaha-usaha untuk menanganinya
11. Sekolah Kluster – Kepentingannya
12. Masalah Keracunan Makanan dalam Kalangan Murid Sekolah – Punca dan usaha untuk menanganinya
13. Pelaburan Asing – Kepentingan dan usaha untuk menarik pelaburan asing
14. Pengangkutan Awam – Kelebihan dan usaha untuk menggalakkan penggunaannya
15. Perubatan Alternatif – Kepentingannya
16. Kes Penculikan Kanak-kanak – Langkah-langkah untuk menanganinya
17. Adat Resam – Kepentingan dan usaha untuk mengekalkannya
18. Orang Gaji Asing – Masalah dan usaha untuk mengatasinya
19. Pertanian Moden – Kepentingan dan usaha untuk memajukannya
20. Kebanjiran Drama Bersiri Asing – Kesan dan usaha untuk mengawalnya

Pelajar-pelajar harus sedar bahawa menulis karangan ialah satu kemahiran yang perlu digilap melalui latihan yang berterusan. Hal ini demikian kerana kemahiran mengarang melibatkan kemahiran maklumat, kemahiran berfikir, kemahiran memindahkan idea daripada fikiran ke dalam bentuk tulisan dan ayat di atas kertas. Sekiranya murid-murid tidak membiasakan diri dengan latihan menulis karangan sudah pasti murid-murid akan menghadapi masalah dan berasa kekok untuk menulis karangan di dalam dewan peperiksaan nanti. Oleh hal yang demikian, murid-murid perlulah mendisiplinkan diri dengan sekurang-kurangnya menulis satu perenggan karangan setiap hari. Murid-murid perlulah memperuntukkan masa sekurang-kurangnya sepuluh hingga lima belas minit untuk menulis satu perenggan karangan setiap hari. Pelajar-pelajar hendaklah menjadikan perkara tersebut sebagai amalan harian yang perlu dilakukan seperti amalan makan dan minum atau amalan menunaikan solat lima waktu setiap hari.

Kebiasaannya juga, saya akan menekankan aspek penulisan karangan ini kerana banyak murid yang menghadapi masalah untuk menulis karangan dan mereka menganggap penulisan karangan sebagai suatu perkara yang amat berat atau sukar untuk dilakukan dan ada juga yang tidak mahu membuat latihan secara sistematik dan konsisten. Oleh itu, pelajar-pelajar hendaklah mengubah persepsi tersebut dan menjadikan amalan menulis satu perenggan karangan sekurang-kurangnya setiap hari sebagai satu budaya atau amalan hidup hinggalah menjelang hari peperiksaan. Pelajar-pelajar harus ingat bahawa dengan membuat latihan secara konsisten, sudah pasti murid-murid akan terbiasa dengan budaya itu dan dapat menulis karangan yang mantap dan cemerlang dalam peperiksaan nanti. Insya-Allah.

Kredit: Cikgu Mohd Khir

ISU/TOPIK KARANGAN TINGKATAN 6 2010

Seperti biasa, isu karangan sentiasa berubah setiap tahun. Walau bagaimanapun, ada juga isu yang dibincangkan pada tahun-tahun lepas masih belum disoal dalam peperiksaan STPM. Oleh hal yang demikian, isu tersebut masih relevan dengan keadaan semasa dan masih boleh dibincangkan dan dijadikan latihan untuk menulis karangan oleh pelajar-pelajar Tingkatan 6 pada tahun ini.

Kebiasaannya, soalan-soalan yang pernah keluar dalam peperiksaan STPM akan berfokus kepada isu nasional atau negara, masyarakat serta remaja atau pelajar berdasarkan bidang-bidang tertentu seperti ekonomi, pendidikan, sukan, bahasa, seni atau budaya, sains dan teknologi, kemanusiaan dan kemasyarakatan, sastera, sejarah, geografi, hal ehwal wanita, dan sebagainya. Oleh hal yang demikian, saya telah menyediakan isu-isu yang boleh digunakan oleh pelajar dan guru untuk dibincangkan dalam pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas pada tahun ini. Pelajar-pelajar bolehlah mengumpulkan maklumat yang berkaitan dengan isu tersebut sebagai persediaan untuk menghadapi peperiksaan STPM pada tahun ini. Pelajar-pelajar perlu bersedia lebih awal dan perlu berlatih untuk mencari isi penting dan mengolah isi karangan, agar menjadi karangan yang mantap. Yang berikut disenaraikan isu-isu karangan tersebut.

1. Pemanasan Global – Faktor, kesan dan langkah untuk mengatasinya.
2. Penganjuran Sukan Peringkat Antarabangsa – Kepentingannya
3. Bangunan atau Tempat Bersejarah – Kepentingan dan usaha untuk mengekalkannya
4. Masalah Bencana Alam – Kesan dan usaha untuk membantu mangsa
5. Meningkatkan Kecemerlangan Pendidikan – Kepentingan dan usaha yang dijalankan
6. Perniagaan Internet – Kepentingannya
7. Jenayah Ragut - Langkah untuk menanganinya
8. Penggunaan Kad Kredit – Kepentingan dan langkah untuk mengawal penggunaannya.
9. Masalah Perumahan – Kesan dan langkah untuk mengatasinya
10. Penyakit kanser – Kesan dan usaha-usaha untuk menanganinya
11. Sekolah Kluster – Kepentingannya
12. Masalah Keracunan Makanan dalam Kalangan Murid Sekolah – Punca dan usaha untuk menanganinya
13. Pelaburan Asing – Kepentingan dan usaha untuk menarik pelaburan asing
14. Pengangkutan Awam – Kelebihan dan usaha untuk menggalakkan penggunaannya
15. Perubatan Alternatif – Kepentingannya
16. Kes Penculikan Kanak-kanak – Langkah-langkah untuk menanganinya
17. Adat Resam – Kepentingan dan usaha untuk mengekalkannya
18. Orang Gaji Asing – Masalah dan usaha untuk mengatasinya
19. Pertanian Moden – Kepentingan dan usaha untuk memajukannya
20. Kebanjiran Drama Bersiri Asing – Kesan dan usaha untuk mengawalnya

Pelajar-pelajar harus sedar bahawa menulis karangan ialah satu kemahiran yang perlu digilap melalui latihan yang berterusan. Hal ini demikian kerana kemahiran mengarang melibatkan kemahiran maklumat, kemahiran berfikir, kemahiran memindahkan idea daripada fikiran ke dalam bentuk tulisan dan ayat di atas kertas. Sekiranya murid-murid tidak membiasakan diri dengan latihan menulis karangan sudah pasti murid-murid akan menghadapi masalah dan berasa kekok untuk menulis karangan di dalam dewan peperiksaan nanti. Oleh hal yang demikian, murid-murid perlulah mendisiplinkan diri dengan sekurang-kurangnya menulis satu perenggan karangan setiap hari. Murid-murid perlulah memperuntukkan masa sekurang-kurangnya sepuluh hingga lima belas minit untuk menulis satu perenggan karangan setiap hari. Pelajar-pelajar hendaklah menjadikan perkara tersebut sebagai amalan harian yang perlu dilakukan seperti amalan makan dan minum atau amalan menunaikan solat lima waktu setiap hari.

Kebiasaannya juga, saya akan menekankan aspek penulisan karangan ini kerana banyak murid yang menghadapi masalah untuk menulis karangan dan mereka menganggap penulisan karangan sebagai suatu perkara yang amat berat atau sukar untuk dilakukan dan ada juga yang tidak mahu membuat latihan secara sistematik dan konsisten. Oleh itu, pelajar-pelajar hendaklah mengubah persepsi tersebut dan menjadikan amalan menulis satu perenggan karangan sekurang-kurangnya setiap hari sebagai satu budaya atau amalan hidup hinggalah menjelang hari peperiksaan. Pelajar-pelajar harus ingat bahawa dengan membuat latihan secara konsisten, sudah pasti murid-murid akan terbiasa dengan budaya itu dan dapat menulis karangan yang mantap dan cemerlang dalam peperiksaan nanti. Insya-Allah.

Kredit: Cikgu Mohd Khir

DALAM & DI DALAM

Dalam : untuk konsep abstrak dan konkrit yang tiada ruang.
contoh :....dalam kenyataan akhbar...

Di dalam : untuk konkrit yang ada ruang.
Contoh :...di dalam hati (dalam hati ada ruang walaupun berbentuk pepejal)

BANYAK & RAMAI

Konteks penggunaan yg lebih tepat:
1.Banyak : digunakan utk maksud bilangan jamak. cth: Banyak murid ponteng sekolah pada hari ini.

2. Ramai : digunakan utk maksud suasana. Cth: ramai org membeli belah di Pasar raya Jasmin

DALAM, DI DALAM, KE DALAM

Jumaat, 26 Februari 2010

Contoh kesalahan pengunaan dalam dan di dalam

1. Kenangan manis itu sentiasa terbayang di dalam fikirannya. (X)
2. Pekerja dari Bangladesh itu fasih bertutur di dalam bahasa Melayu. (X)

Huraian:
Dalam boleh berfungsi sebagai kata adjektif, kata arah, dan kata sendi nama.

Sebagai kata adjektif, dalam menunjukkan tahap atau peringkat. Lazimnya kata penguat seperti 'amat, sangat, paling' dan sebagainya boleh diletakkan sebelum atau sesudah kata dalam, sebagai contoh:
a. Pengetahuannya tentang spesies katak sangat dalam.
b. Lubang yang baru digalinya dalam sangat.

Sebagai kata arah pula, dalam digunakan sesudah kata sendi nama di atau ke yang menunjukkan kedudukan, lokasi, arah, atau hala, sebagai contoh:
a. Aiman menyimpan permainannya di dalam sebuah kotak.
b. Penjahat itu masuk ke dalam sebuah rumah yang terbiar.


Sebagai kata sendi nama pula dalam digunakan di hadapan frasa nama yang membawa maksud 'lingkungan yang tidak mempunyai jarak atau ruang' seperti perkara, peristiwa, keadaan, hal, dan sebagainya, sebagai contoh:

a. Kes itu masih dalam penyiasatan pihak polis.
b. Kertas cadangan itu hendaklah ditulis dalam bahasa Melayu.

Berdasarkan huraian di atas, jelaslah bahawa terdapat perbezaan dan cara penggunaan antara dalam, di dalam, dan ke dalam. Oleh itu, dua ayat yang salah penggunaan dalam perlu dibetulkan menjadi:

1. Kenangan manis itu sentiasa terbayang dalam fikirannya.
2. Pekerja dari Bangladesh itu fasih bertutur dalam bahasa Melayu.

ANTARA SESETENGAH ORANG DENGAN SETENGAH ORANG

Kata bilangan ialah kata yang digunakan untuk menghitung benda, misalnya satu, dua, dan seterusnya, beberapa, semua, dan sebagainya. Banyak kesalahan penggunaan kata bilangan yang dapat kita temukan dalam pelbagai bentuk penulisan kerana penutur atau penulis tidak memahami penggunaannya yang betul.


Kata bilangan tak tentu setengah-setengah, kata bilangan pisahan tiap-tiap, dan kata bilangan himpunan kedua-dua, dan sebagainya tidak boleh disingkatkan sewenang-wenangnya. Contoh kesalahan penggunaan kata bilangan yang disingkatkan;

Setengah orang tidak suka akan durian. (X)
Setengah-setengah orang tidak suka akan durian. (/)
Sesetengah orang tidak suka akan durian. (/)


Catatan:
Kata bilangan setengah orang membawa maksud bahawa separuh badan manusia manakala separuh badan lagi bukan manusia antaranya ialah ikan duyung seperti foto berikut.




Oleh itu, para pembaca diharap lebih berhati-hati apabila menggunakan kata bilangan setengah dan diikuti dengan kata nama yang merujuk kepada manusia kerana dibimbangi akan membawa maksud sebagaimana yang telah dinyatakan di atas.

Tiap pelajar harus mematuhi peraturan sekolah. (X)
Tiap-tiap pelajar harus mematuhi peraturan sekolah. (/)

Kedua orang itu rakannya. (X)
Kedua-dua orang itu rakannya. (/)

Catatan:
Kedua menunjukkan kedudukan

Berbagai rancangan diatur untuk menyambut kepulanngannya. (X)
Berbagai-bagai rancangan diatur untuk menyambut kepulangannya.(/)
Pelbagai rancangan diatur untuk menyambut kepulangannya. (/)

Catatan:
Berbagai bermaksud berbanding

Kata bilangan tak tentu para pula tidak boleh diulang menjadi para-para. Contoh kesalahan dan pembetulan yang berikut:
Para-para penerima anugerah sedang berbaris.(X)
Para penerima anugerah sedang berbaris. (/)

Catatan:
Para-para bermaksud rak tempat meletakkan barang.


Kata bilangan tentu seperti satu, dua, tiga, dan seterusnya tidak boleh didekatkan sekali gus dengan kata bilangan pecahan. Lihatlah contoh kesalahan dan pembetulan yang berikut:
Sudah tiga setengah jam dia menunggu. (X)
Sudah tiga jam suku dia menunggu. (/)

Harga pen itu tiga setengah ringgit. (X)
Harga pen itu tiga ringgit setengah. (/)


Kesimpulannya, kata bilangan perlu di gunakan dengan cara yang betul supaya tepat maksudnya dan tidak tidak membawa maksud yang lain.

SEHUBUNGAN DENGAN ITU

sehubungan dengan hal itu,
sehubungan dengan itu,
sehubungan itu,

Antara ungkapan di atas, ungkapan yang manakah yang dianggap menepati sistem bahasa Melayu? Ketiga-tiganya seolah-olah tiada kesalahan, justeru dianggap betul semuanya. Walau bagaimanapun, ungkapan sehubungan itu dianggap tidak gramatis kerana dari segi makna, sehubungan itu bermaksud sama hubungan itu. Ungkapan ini tidak gramatis kerana tidak mempunyai kata sendi nama dengan sebagai unsur yang menentukan wujudnya perbandingan.


Ungkapan yang betul ialah sama hubungan dengan itu atau sehubungan dengan itu, kerana awalan se-... membawa maksud 'sama' Kata ganti nama tunjuk itu pula berfungsi sebagai penanda kata nama yang boleh digugurkan. Oleh itu, ungkapan sehubungan dengan hal itu juga boleh digunakan.

ANTARA UNTUK DAN BAGI

Untuk dan bagi ialah kata sendi nama yang digunakan di hadapan kata nama atau frasa nama, dengan fungsi yang tertentu. Kata sendi untuk dan bagi boleh bervariasi atau bertukar ganti jika digunakan di hadapan frasa nama atau kata nama yang berfungsi untuk menunjukkan kegunaan sesuatu. Contohnya;


Sebuah dewan untuk kegiatan penduduk Taman Rasa Sayang sedang dalam pembinaan.
Sebuah dewan bagi kegiatan penduduk Taman Rasa Sayang sedang dalam pembinaan.


Aktiviti untuk peningkatan akademik tahun hadapan telah siap disusun.
Aktiviti bagi peningkatan akademik tahun hadapan telah siap disusun.


Peralatan itu ditempah untuk pengajaran dan pembelajaran.
Peralatan itu ditempah bagi pengajaran dan pembelajaran.


Untuk mengatasi masalah tersebut, beberapa cadangan sedang dipertimbangkan.
Bagi mengatasi masalah tersebut, beberapa cadangan sedang dipertimbangkan.


Sebaliknya, kata untuk dan bagi tidak boleh bertukar ganti apabila digunakan untuk menyatakan maksud bahagian yang ditentukan atau diperuntukkan. Contohnya;


Bagi siapakah hadiah ini. (X)
Untuk siapakah hadiah ini. (/)


Hadiah ini bagimu. (X)
Hadiah ini untukmu. (/)


Jam tangan ini bagi Fahmi. (X)
Jam tangan ini untuk Fahmi. (/)


Bagi siapakah kiriman itu? (X)
Untuk siapakah kiriman itu? (/)


Berdasarkan huraian di atas jelaslah bahawa penggunaan untuk dan bagi hanya dapat dibezakan jika penggunaanya bermaksud sesuatu yang telah ditentukan atau ditetapkan untuk seseorang.

ANTARA DAN DI ANTARA

1. Rumah Salahuddin terletak antara dua buah kondominium di ibu kota.



2. Di antara kondominium mewah di ibu kota ialah Kondominium Atiria.



Penggunaan antara dan di antara dalam kedua-dua ayat di atas adalah salah. Kata antara dapat berfungsi sebagai kata sendi nama dan kata arah.


Sebagai kata arah, antara digunakan di belakang kata sendi nama di membentuk di antara, yang menunjukkan tempat atau kedudukan fizikal yang mempunyai jarak. Contohnya;
1. Pejabat ayahnya terletak di antara sebuah bank dan pasar raya.
2. Di antara kedua-dua buah kereta itu terdapat sebuah motosikal.

Sebagai kata sendi nama, antara hadir di hadapan kata nama atau frasa nama yang membawa pengertian “lingkungan yang tidak mempunyai jarak.” Selain itu, kata antara sebagai kata sendi nama boleh digunakan dalam ayat yang menunjukkan unsur perbandingan. Dalam hal ini, kata sendi nama yang berpasangan dengan antara ialah “dengan”. Contohnya;
1. Saya tidak dapat membuat keputusan jika diminta memilih antara bulan dengan bintang.
2. Pertelingkahan antara abang dengan kakaknya tidak berpanjangan.

Kata sendi nama antara juga boleh berpasangan dengan hingga bagi menunjukkan masa atau lingkungan yang idak menunjukkan jarak. Contohnya;
1. Pertunjukan itu dibuka kepada orang ramai antara pukul 8.00 pagi hingga 10.00 malam.
2. Diskaun antara 20 peratus hingga 25 peratus ditawarkan kepada pembeli rumah yang
berminat.


Kesimpulannya, terdapat perbezaan yang jelas antara kata sendi nama antara dengan kata arah di antara, sama ada dari segi golongan kata mahupun penggunaanya. Oleh itu, sebagai pengguna bahasa yang peka kepada perbezaan tersebut, sewajarnyalah kita memastikan penggunaan kata yang tepat antara kedua-dua perkataan.

ANTARA PERLANTIKAN DENGAN PELANTIKAN

Apa beza pelantikan dengan perlantikan?


Untuk membezakan ejaan perlantikan dengan pelantikan perkara pertama yang perlu ditentukan ialah imbuhan yang boleh digunakan pada kata dasar yang bermula dengan huruf ‘l’ seperti lucut, letak, lancar, lanjut, dan lain-lain Permasalahan ini tidak akan timbul pada perkataan yang bermula dengan huruf lain daripada l.


Jika perkataan tersebut boleh ditambah imbuhan meN-…-kan, perkataan tersebut dieja dengan peN-…-an iaitu tanpa huruf ‘r’. Sebagai contoh, perkataan lucut, letak, lancar, lanjut, lepas, laksana boleh ditambah apitan meN-…-kan (me-…-kan) menjadi; melucutkan, meletakkan, melancarkan, melanjutkan, melepaskan, melaksanakan perkataan tersebt dieja sebagai; pelucutan, peletakan, pelancaran, pelanjutan, pelepasan, pelaksanaan.


Sebaliknya, jika sesuatu perkataan yang bermula dengan huruf ‘l’ boleh menerima apitan beR-…, seperti berlumba, berlawan, berlaga, perkataan tersebut dieja dengan peR-…-an iaitu dengan huruf r (per-…-an) menjadi; perlumbaan, perlawanan, perlagaan.



Kaedah ini tidak melibatkan perkataan yang bermula dengan huruf lain, selain huruf l seperti gaduh, tambah, damai, tetap dieja sebagai pergaduhan, pertambahan, perdamaian, dan bukan dieja pegaduhan, petambahan, pedekatan, pedamaian.



Sebagai kesimpulannya, keraguan tentang ejaan perkataan yang menggunakan pe-…-an atau per-…-an dapat diatasi dengan menentukan imbuhan yang dapat digunakan dengan kata dasarnya.

KEPUTUSAN STPM (2009) KEBANGSAAN DAN NEGERI

SMK St Paul kekal rekod





KUALA LUMPUR: Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) St Paul, Seremban terus mencatatkan keputusan cemerlang dalam keputusan peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) apabila lima pelajarnya mendapat Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) 4.0

Pengetuanya, Yap See Moi, berkata kejayaan lima pelajar itu membolehkan sekolah menerima anugerah daripada Jabatan Pelajaran Negeri Sembilan (JPNS) setiap tahun kerana berjaya mengekalkan rekod pencapaian cemerlang.

Katanya, beliau gembira dengan pencapaian sekolah yang diterajuinya dan berterima kasih terhadap semua guru dan pelajar yang berdedikasi dalam menunaikan tanggungjawab mereka.

Di IPOH, seramai 4,212 atau 95.75 peratus daripada keseluruhan 4,399 calon sekolah kerajaan di Perak mencatatkan keputusan lulus penuh.

Pengarah Pelajaran negeri, Mohd Radzi Abd Jabar, berkata 292 calon berjaya memperoleh 5P, 2,003 (4P), 866 (3P), 597 (2P) dan 454 (1P).

“Bilangan calon yang mendapat PNGK 4.0 pula berjumlah 48 orang, manakala 1,189 calon memperoleh PNGK antara 3.0 hingga 4.0 iaitu sebanyak 27.03 peratus daripada jumlah calon keseluruhan,” katanya.

Di KOTA BHARU, seramai 1,802 atau 27.52 peratus daripada 6,596 calon di Kelantan berjaya memperoleh keputusan 5P dalam keputusan peperiksaan STPM, berbanding 1,208 atau 20.51 peratus pada 2008.

Pengarah Pelajaran Kelantan, Mohd Ghazali Ab Rahman, berkata 20 daripada 56 sekolah bantuan kerajaan di negeri ini berjaya memperoleh kelulusan 100 peratus dalam STPM 2009, berbanding hanya 15 sekolah pada 2008.

Di KUCHING, keputusan peperiksaan STPM di Sarawak tahun lalu mengalami penurunan 0.16 peratus dengan seramai 5,228 calon atau 91.56 peratus lulus.

Pengarah Jabatan Pelajaran Sarawak, Datuk Dr Julaihi Bujang, berkata 16 calon mendapat A dalam semua mata pelajaran yang diambil dengan dua dari mereka dianugerahkan sebagai pelajar cemerlang Majlis Peperiksaan Malaysia.

Daripada jumlah mereka yang lulus, 77 calon mendapat keputusan lulus penuh 5P, 2,227 (4P), 1,202 (3P), 910 (2P) manakala 812 calon (1P).


Di KOTA KINABALU, Keputusan STPM di Sabah meningkat 1.68 peratus dengan 90.13 peratus calon atau 5,188 mendapat lulus penuh pada tahun lalu berbanding 88.45 peratus pada 2008.

Pengarah Pelajaran Sabah, Dr Muhyiddin Yusin, berkata daripada jumlah itu, 292 calon mendapat kelulusan penuh 5P, 1,898 orang (4P), 1,187 (3P), 968 (2P) dan 843 (1P).

Di KEDAH, 94.87 peratus daripada 3,506 calon yang menduduki STPM tahun lalu mendapat keputusan lulus penuh.

Pengarah Pelajaran Negeri, Shahidan Abd Rahman, dalam kenyataannya berkata, daripada keseluruhan keputusan itu, 18 calon berjaya memperoleh purata nilai gred keseluruhan (PNGK) 4.00.

“Pada tahun lalu, 14 sekolah mencapai kelulusan penuh 100 peratus dan sembilan daripadanya berjaya mencapai minimum PNGK 2.67 ke atas,” katanya.

Di KUANTAN, Pengarah Jabatan Pelajaran Pahang, Datuk Abdul Aziz Abdul Latiff, berkata 2,573 daripada 2,684 calon STPM 2009 di negeri ini mendapat kelulusan penuh sekurang-kurangnya satu mata pelajaran.

Beliau berkata, daripada jumlah itu, 401 calon atau 14.94 peratus lulus penuh 5P, meningkat sebanyak 4.7 peratus berbanding 256 calon (10.24 peratus) pada 2008.

Di KANGAR, seramai 547 daripada 598 calon yang menduduki STPM di Perlis tahun lalu, mencatat kelulusan penuh sekurang-kurangnya satu prinsipal.

Pengarah Pelajaran negeri, Mansor Lat, berkata jumlah itu yang mewakili 96.64 peratus daripada keseluruhan calon bukan saja meningkat 1.4 peratus, berbanding 2008, malah turut mengatasi pencapaian pe-ringkat kebangsaan iaitu 92.55 peratus.

Di JOHOR BAHRU, pencapaian pelajar dalam peperiksaan STPM 2009 di negeri ini yang mencapai keputusan cemerlang dengan PNGK 4.0 meningkat kepada 37 calon berbanding 34 orang pada tahun sebelumnya.

Pengarah Pelajaran Johor, Sufaat Tumin, berkata daripada 37 calon berkenaan, 24 daripada aliran sains manakala bakinya pelajar aliran sastera dan mereka adalah 5,221 calon yang lulus penuh atau sekurang-kurangnya mencapai satu prinsipal bagi mata pelajaran yang diambil atau 95.5 peratus.

SYABAS

Tahniah kepada pelajar yang mencapai keputusan cemerlang dalam STPM 2009.
Kepada pelajar yang lain, perjalanan masih jauh, perjuangan belum lagi selesai.

Kajian Tindakan: Panduan Asas

Rabu, 24 Februari 2010

3.0 Dalam Bahagian ini dicadangkan beberapa panduan asas untuk menjalankan Kajian Tindakan. Panduan ini disusun mengikut empat langkah yang perlu dilaksanakan apabila seseorang menjalankan Kajian Tindakan iaitu merancang, bertindak, memerhati dan merenung. Panduan ini adalah sebagai asas sahaja. Pihak yang ingin menjalankan Kajian Tindakan bolehlah mengubahsuai panduan mengikut keperluan kajian masing-masing.

3.1 Merancang
Sebelum menjalankan kajian, perancangan yang teliti perlulah dibuat terlebih dahulu supaya penyelidik dapat memahami apa yang akan dilaksanakan. Melalui perancangan yang teliti dan dengan langkah yang terancang, kajian dapat dijalankan dengan teratur dan tepat ke arah mencapai matlamat kajian. Berikut dicadangkan beberapa langkah yang boleh dijadikan panduan untuk merancang pelaksanaan kajian. Langkah-langkah tersebut disenarai mengikut urutan keempat-empat langkah yang perlu dilaksanakan dalam Kajian Tindakan.

3.1.1 Mencari Masalah / Isu
Perancangan kajian bermula dengan mencari atau mengenalpasti masalah yang wujud dalam bilik darjah atau di sekolah yang berkaitan dengan P&P. Sebarang isu yang berkaitan dengan pendidikan khususnya yang melibatkan P&P di bilik darjahjuga boleh dijadikan asas untuk memulakan kajian. Satu lagi asas untuk memulakan kajian ialah keprihatinan penyelidik terhadap pelajar seperti yang berkaitan dengan masa depan mereka.

Bagi mencapai kecemerlangan dalam prestasi akademik, panduan ini menyarankan pelaksanaan Kajian Tindakan bagi satu jangka waktu yang panjang iaitu untuk satu sesi persekolahan atau untuk beberapa tahun persekolahan. Dalam jangka waktu yang panjang itu berbagai masalah P&P boleh ditangani menggunakan pendekatan Kajian Tindakan. Manakala guru pula terlibat secara berterusan untuk meningkatkan keberkesanan amalan mengajar melalui pembudayaan Kajian Tindakan.

Bagi pelaksanaan kajian dalam jangka waktu yang panjang, masalah yang umum yang dihadapi oleh ramai pelajar sesuai dijadikan tumpuan kajian. Contoh masalah seperti "pencapaian rendah dalam mata pelajaran Bahasa Inggeris di kalangan murid" adalah umum dan memberi gambaran bahawa ramai pelajar menghadapi masalah dalam mata pelajaran itu. Bagi i memudahkan langkah mencari masalah, mulakan dengan bertanya "apaj yang berlaku?" Jawapan kepada soalan itu mungkin seperti contoh berikut:

• Wujud masalah P&P dalam bilik darjah - guru telah berusaha untuk mempertingkatkan pencapaian pelajar dalam penguasaan Bahasa Inggeris tetapi masih tidak berkesan.

• Sekumpulan murid berprestasi tinggi dalam semua mata pelajaran kecuali sains. Keadaan ini akan menyukarkan mereka untuk mendapat peluang menceburi bidang sains selepas persekolahan. Guru yang prihatin terhadap keadaan ini berhasrat untuk membantu murid tersebut meningkatkan pencapaian mereka dalam mata pelajaran tersebut.

• Isu dera kanak-kanak rancak diperkatakan di media masa. Guru berasa bertanggungjawab untuk turut serta membina sifat-sifat penyayang di kalangan pelajar melalui P&P di bilik darjah.


.1.2 Memahami Masalah Dengan Lebih Mendalam
Setelah sesuatu masalah dikenalpasti, langkah berikutnya ialah untuk memahami dengan lebih mendalam tentang masalah itu. Dalam proses pembelajaran lazimnya kemahiran yang dipelajari adalah saling berkait. Murid akan mengalami kesukaran untuk memahami dan menguasai kemahiran yang lebih tinggi sekiranya kemahiran yang lebih rendah atau awal tidak dikuasai dengan baik. Seseorang guru perlu memahami masalah yang dihadapi oleh murid dengan terperinci sebelum merancang langkah-langkah pembaikan. Contoh, apabila dikatakan pecapaian Bahasa Inggeris murid rendah, apakah sebenarnya yang dimaksudkan dengan pencapaian rendah itu. Adakah dengan mengetahui markah murid sahaja sudah dapat membantu guru untuk memahami dan menangani masalah pembelajaran. Apabila murid dikatakan tidak memahami konsep tenses, apakah sebenamya yang tidak difahami murid itu. Terdapat berbagai komponen dalam tenses. Adakah murid menghadapi masalah dalam semua aspek atau sebahagian kecil daripada aspek-aspek tersebut. Semasa membuat sumbang saran untuk memahami masalah, dicadangakan supaya sumbang saran tersebut dikaitkan dengan aspek-aspek seperti keberkesanan amalan pengajaran guru, kemahiran yang menimbulkan masalah di kalangan murid atau lain-lain aspek yang relevan. Di peringkat awal kajian, usaha untuk memahami sesuatu masalah yang telah dikenalpasti dengan lebih mendalam memerlukan guru mengutip data.

3.1.3 Tujuan Kajian Untuk Mencapai Kecemerlangan
Penyelidik perlu jelas tentang tujuan kajian supaya langkah-langkah untuk mencapai tujuan itu dapat ditentukan dan dirancang dengan teliti. Dalam konteks untuk mencapai kecemerlangan pendidikan, tujuan kajian yang diarahkan untuk menangani berbagai masalah pembelajaran adalah lebih tepat. Perhatikan contoh-contoh ini. "Meningkatkan keberkesanan amalan mengajar guru", atau "Meningkatkan pencapaian murid melalui pembelajaran terancang". K-edua-dua contoh tersebut menunjukkan bahawa masa atau skop kajian tidak terhad. Tujuan itu boleh digunakan oleh seorang pengkaji, beberapa orang pengkaji dan untuk satu atau semua mata pelajaran.

3.1.4 Mengutip data
Jawapan kepada sebarang soalan dalam penyelidikan adalah berasaskan data. Kajian Tindakan memerlukan data daripada beberapa sumber untuk mengukuh dan memantapkan dapatan kajian. Selain itu penggunaan data daripada pelbagai sumber atau pandangan turut memantapkan kefahaman penyelidik tentang masalah/isu yang ditangani. Berikut dicadangkan beberapa perkara yang wajar diberi perhatian sebelum mengutip data.

• Fikirkan dan senaraikan semua aspek yang berkaitan dengan masalah/isu yang hendak ditangani. Lazimnya, dari segi P&P aspek tersebut merangkumi amalan guru di bilik darjah pada masa lalu dan kesan amalan itu kepada murid.

• Penyelidik boleh mengutip seberapa banyak data yang diperlukan. Persediaan untuk mengutip dan menganalisis data memerlukan guru meluangkan sejumlah masa. Bagi mengelakkan pembaziran masa manfaatkanlah data yang telah sedia terkumpul di sekolah atau dalam bilik darjah. Dengan memanfaatkan data tersebut guru tidak perlu membina alat. Alat hariya perlu disediakan untuk mengutip data tambahan sekiranya data yang ada belum mencukupi untuk guru memahami sesuatu masalah atau keadaan. Mungkin timbul anggapan bahawa semua data adalah penting atau relevan tetapi setelah dianalisis didapati hanya sebahagian sahaja daripada data berkenaan boleh membantu guru merancang tindakan. Sudah tentulah pengutipan data yang tidak membantu itu membazirkan masa.

• Dalam sesuatu kitaran kajian tindakan, pengutipan data berlaku pada dua peringkat. Peringkat pertama ialah untuk memahami dengan lebih mendalam tentang masalah yang dikenalpasti supaya aktiviti P&P dapat dirancang. Peringkat kedua pula ialah untuk mengesan keberkesanan aktiviti yang dirancang melalui proses pemerhatian. Catatan terperinci harus dilakukan semasa membuat pemerhatian.

• Bagaimana data diperolehi? Pengutipan data memerlukan alat. Lazimnya dalam penyelidikan tradisi, alat yang sering digunakan ialah soal selidik atau temu bual. Dalam Kajian Tindakan alat mengutip data tidak dihadkan kepada satu-satu alat tertentu. Berbagai alat boleh diguna seperti senarai semak, komen bertulis oleh murid tentang amalan guru, catatan harian murid/guru tentang pengalaman di bilik darjah, dairi murid/guru, jurnal, kertas ujian, buku latihan murid dan sebagainya.

• Alat boleh dibina sendiri oleh guru. Membina alat melibatkan sejumlah masa. K-eupayaan penyelidik dari segi masa, dan beban tugas perlu diberi perhatian apabila membina alat. Fikirkan alat yang praktikal dilaksanakan di bilik darjah. Pengalaman menyediakan alat-alat untuk menilai murid-murid boleh membantu guru membina alat untuk mengutip data.

• Di mana data boleh diperolehi? Data untuk memahami masalah di peringkat awal kajian mungkin sudah sedia ada di sekolah dalam bentuk minit mesyuarat, laporan sekolah, rekod pencapaian, buku latihan murid, kertas ujian dan sebagainya. Langkah yang perlu dilakukan ialah menyemak dokumen-dokumen tersebut dan mengeluarkan data-data yang relevan yang boleh menjawab soalan apa, mengapa dan bagaimana berhubung dengan masalah yang hendak ditangani.

• Apabila membuat permerhatian, data yang dicatat hendaklah seperti yang dilihat bukan penilaian terhadap apa yang dilihat. Catatlah apa yang sebenarnya berlaku di bilik darjah semasa guru mengajar dan murid belajar. Perhatikan beberapa contoh data mengikut catatan pihak yang terlibat dalam kajian.


Guru

a. Tidak semua murid turut serta dalam perbincangan.

b. Murid tidak mengikut arahan guru bila membuat aktiviti kumpulan.

Rakan

a. Guru lebih banyak bercakap daripada murid.

b. Murid yang duduk di barisan belakang menguap dan kedengaran mengeluh beberapa kali semasa guru mengajar.

Data Berbentuk Penilaian

a. Murid berbual-bual semasa guru memberi arahan sebab mereka memang tidak minat belajar Bahasa Inggeris.

b. Penyampaian guru lemah.

Data berbentuk statistik bukanlah satu kemestian dalam Kajian Tindakan. Jika berlaku keadaan di mana data berbentuk statistikdiperlukan seperti untuk menunjukkan jumlah murid yang terlibat dalam sesuatu aktiviti, markah ujian dan sebagainya, data ini tidak perlu dianalisis mengikut program analisis statistik yang telah ditentukan tetapi memadai dianalisis dalam bentuk peratus, kekerapan atau jumlah sebenar mengikut perkiraaan biasa. Perhatikan contoh berikut:

a. 8 orang murid belum menguasai kemahiran mendarab.

b. 3 daripada murid masih belum menguasai kemahiran mendarab.

c. Hanya 5 daripada 30 orang murid turut serta dalam perbincangan.

d. 5 orang pelajar mendapat markah 60 daripada 100.

Sekiranya data yang dikutip itu tidak membantu atau tidak mencukupi untuk membuat rumusan atau keputusan tentang sesuatu keadaan, langkah yang perlu dilakukan ialah mendapatkan maklumat lebih lanjut tentang perkara itu. Dapatkan data daripada murid atau pihak yang berkaitan dalam bentuk komen, penjelasan atau sebagainya sama ada melalui catatan, temu bual senarai semak atau lain-lain. Dengan cara ini guru boleh mengesan dengan lebih terperinci mengapa sesuatu keadaan berlaku.

Sebelum mendapatkan maklumat lanjut, fikirkan perkara-perkara yang berkaitan dengan data yang tidak lengkap itu supaya maklumat tambahan yang diperolehi boleh membantu menjelaskan dengan lebih mendalam tentang sesuatu keadaan dan rumusan boleh dibuat tentang perkara itu. Gurujuga boleh meminta murid memberi cadangan untuk memperbaiki aktiviti P&P.


3.1.5 Menganalisis Data
Data yang dianalisis memberikan gambaran yangjelas tentang perkara atau situasi yang dikaji. Analisis itu juga menjadi asas kepada guru untuk .merancang aktiviti P&P seterusnya atau mengubahsuai aktiviti yang telah dijalankan.

Terdapat beberapa cara untuk menganalisis data. Antaranya ialah dengan mengelompokkan data daripada catatan guru, murid dan rakan guru mengikut tajuk, kemahiran, kategori atau sebagainya. Setelah data dikelompok cuba buat perbandingan antara kelompok itu untuk melihat perkaitan. Rumusan, kenyataan atau keputusan boleh dibuat berdasarkan perkaitan antara data guru, rakan dan murid di bawah tajuk yang sama atau tajuk yang berbeza. Contoh menganalisis dan merumus data terdapat dalam Bahagian Keempat - Menulis Laporan Kajian.

3.1.6 Merancang Aktiviti
Apabila merancang aktiviti eloklah dilakukan sumbang saran terhadap langkah-langkah yang akan dilaksanakan melalui pertanyaan apa, mengapa dan bagaimana. Contoh di bawah boleh dijadikan panduan.

• Apa aktiviti yang boleh dilaksanakan?

• Mengapa menggunakan aktiviti itu?

• Bagaimana aktiviti dijalankan?

Dalam proses merancang aktiviti, sumbang saran wajar dilakukan terhadap jenis aktiviti P&P, alat bantu mengajar, persediaan guru, strategi pelaksanaan, peraturan pelaksanaan, latihan yang disediakan, langkah-langkah pemerhatian dan alat mengutip data. Jawapan kepada pertanyaan yang dikemukan semasa sumbang saran hendaklah dikaitkan dengan analisis data. Sumbang saran membantu guru memahami mengapa sesuatu keputusan dibuat. Antara perkara yang boleh diberi perhatian apabila merancang aktiviti P&P ialah:

• Aktiviti boleh dilaksanakan oleh guru dan murid di bilik darjah.

• Penyelidik mempunyai otoriti atau bidang kuasa untuk melaksanakan aktiviti-aktiviti tersebut.

• Elak aktiviti yang bertujuan untuk mengubah amalan pihak lain yang berada di luar bilik darjah.

• Rancang aktiviti yang boleh melibatkan murid sepenuhnya.


3.2 Bertindak
Setelah aktiviti P&P dirancang dengan teliti, langkah seterusnya ialah bertindak iaitu melaksanakan aktiviti di bilik darjah. Walaupun aktiviti dirancang berdasarkan analisis data yang telah dikutip, keberkesanan aktiviti belum dapat dipastikan. Aktiviti dijalankan melalui proses 'cuba-cuba' (trial and error). Ini bermakna bahawa masih terdapat ruang yang boleh diperbaiki. Sekiranya pelaksanaan peringkat pertama tidak berjaya, aktiviti yang dirancang itu perlu diperbaiki atau diubahsuai dan dilaksanakan dalam pelajaran seterusnya. Proses cuba-cuba dilaksanakan berterusan sehingga berla-ku perubahan iaitu pencapaian murid meningkat ke tahap yang lebih baik daripada masa lepas.

Murid adalah pihak yang turut terlibat secara aktif dalam kajian. Mereka bukan sahaja melaksanakan aktiviti tetapi juga membantu guru mengutip data tentang perkembangan proses P&P berkaitan dengan aktiviti yang dilaksanakan. Dalam konteks ini adalah wajar bagi guru memaklumkan kepada murid tentang kajian itu supaya mereka dapat memainkan peranan untuk bersama-sama menjayakan penyelidikan itu.

3.3 Pemerhatian
Apakah yang dimaksudkan dengan pemerhatian dan apa pula perkara-perkara yang diperhati? Pada peringkat pemerhatian penyelidik sebenarnya mengutip data. Data adalah sangat penting dalam mana-mana kajian kerana sesuatu rumusan atau kenyataan tentang sesuatu situasi berhubung dengan kajian hanya boleh dibuat dengan berlandaskan data. Penyelidikan dilakukan untuk mencari kebenaran. Data adalah bukti kepada kebenaran tentang sesuatu kajian. Sesuatu rumusan atau kenyataan yang dibuat tanpa berlandaskan data adalah merupakan andaian. Data boleh dikutip secara berpasukan melalui guru sebagai penyelidik, murid dalam darjah yang terlibat atau rakan guru.

Langkah pemerhatian haruslah diberi penelitian yang terperinci supaya proses mengutip data berjalan dengan licin dan data yang dikutip menepati keadaan yang sebenar. Tentukan cara dan alat mengutip data sebelum pemerhatian dilakukan. Maklumkan juga kepada pihak yang terlibat dalam mengutip data iaitu murid dan rakan guru, perkara-perkara yang perlu dilakukan semasa mengutip data.

3.4 Merenung
Di peringkat refleksi, penyelidik cuba merumuskan apa yang telah difahami atau dipelajari tentang proses P&P berkaitan dengan amalan mengajarnya. Semasa merenung penyelidik cuba menilai, menghurai dan memikirkan dengan menyeluruh segala aspek berkaitan dengan permasalahan P&P serta reaksi penyelidik dan murid semasa kajian dilakukan. Selain daripada menghuraikan proses P&P, gurujuga boleh menyelami perasaannya sendiri tentang kesulitan, kejayaan, kelemahan, keseronokan, keinsafan dan sebagainya setelah melaksanakan kajian.



Jabatan Ilmu Pendidikan
Maktab Perguruan Sandakan
Beg Berkunci No. 31,
90009 Sandakan, Sabah.
Tel: 089-218610
Faks: 089-213814 Disediakan oleh:
Ng Kim Choy (M.Tech.Mgt.,B.A. (Hons.), Dip.Ed.),
Ketua Jabatan, Jabatan Ilmu Pendidikan, MPSS.

Menjaga warga emas - Tanggungjawab semua pihak

Selasa, 23 Februari 2010

Seorang ibu mampu menjaga 10 anak, namun 10 anak belum tentu mampu menjaga seorang ibu - ungkapan yang biasa didengar tetapi tidak semua memahami atau mungkin buat-buat tidak faham makna yang tersirat di dalamnya.
Kalau semua anak-anak memahami sudah pasti tidak timbul fenomena ibu bapa diabaikan dengan meletakkan tanggungjawab menjaga mereka pada pekerja rumah-rumah kebajikan.

Biarpun dikatakan belum berada pada tahap serius ia sedikit sebanyak telah mendorong pertimbangan kerajaan untuk kemungkinan memperkenalkan akta khas mewajibkan anak-anak menanggung kos sara hidup orang tua mereka.
Hal ini disuarakan sendiri oleh Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil tidak lama dulu.
Mungkinkah tanggungjawab menjaga dan menyara ibu bapa yang yang sepatutnya dilakukan secara senang hati oleh anak-anak akan dilihat menjadi satu paksaan melalui kewujudan akta itu sehingga melenyapkan nilai-nilai keikhlasan.
Wartawan Siti Zaleha Jorimai mendapatkan pandangan Pensyarah Fakulti Pembangunan Sosial dan Kemanusiaan Universiti Utara Malaysia (UUM) Zarina Mat Saad mengenai isu penjagaan ke ibu bapa dan warga tua serta kewajaran akta tersebut.

MENJAGA warga tua atau ibu bapa yang sudah lanjut usia bukan masalah individu, sebaliknya melibatkan semua pihak terutama institusi keluarga, masyarakat dan kerajaan.
Bahkan jika dilihat penggunaan terma penjaga itu sendiri, ia meliputi tanggungjawab semua pihak dan terdapat banyak bentuk penjaga.Pensyarah Jabatan Kerja-Kerja Sosial, Fakulti Pembangunan Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Utara Malaysia (UUM), Zarina Mat Saad berkata, masyarakat Malaysia secara tradisional masih mengamalkan sistem keluarga luasan iaitu isi rumah yang merangkumi ibu bapa, anak-anak dan datuk, nenek atau anggota keluarga yang lain.
Ini katanya, secara tak langsung memupuk rasa tanggungjawab, perasaan kasih sayang, sokongan dan ikatan kekeluargaan yang kuat oleh ahli keluarga terhadap warga tua. Namun menurut beliau, disebabkan arus pembangunan dan proses modenisasi, nilai tradisional tadi beransur-ansur menurun.
"Akibatnya masyarakat menjadi lebih individualistik dan hubungan kekeluargaan semakin renggang. Bagaimanapun keadaan ini bukanlah sesuatu yang serius kerana masih lagi wujud keluarga luasan di Malaysia,'' katanya.

Zarina berkata, mengikut statistik Jabatan Perangkaan 1998, sebanyak 58 peratus penduduk berumur tinggal di dalam isi rumah keluarga luasan. Kajian-kajian tentang persepsi generasi muda terhadap warga tua yang dijalankan di UUM pula mendapati kebanyakan mereka melihat warga tua atau proses penuaan itu dalam keadaan positif.
Katanya, sebagai anak-anak, kita seharusnya mempunyai tanggungjawab menjalankan tugas menjaga ibu bapa yang berumur. "Ia bukan sahaja tanggungjawab sosial tetapi ia adalah tuntutan agama. Anak-anak perlu menjaga ibu bapa mereka semasa ibu bapa mereka sihat seperti menjaga makan minum, pakaian, tempat tinggal selesa dan sebagainya".
"Menjaga ibu bapa ketika sakit, ketika diambang maut dan juga menguruskan jenazah ibu bapa juga tanggungjawab yang dituntut,'' katanya. Secara umumnya Zarina berpendapat, akta khas yang mewajibkan anak-anak menanggung sara hidup orang tua mereka masih tidak diperlukan buat masa ini.
Bagi beliau, kes pengabaian terhadap ibu bapa atau warga tua di negara ini belum berada pada tahap yang serius sehingga memerlukan akta khas.
"Lagipun di dalam tuntutan agama ia cukup jelas yang menuntut kita sebagai anak dan masyarakat menjaga orang yang berumur. Namun, ini bukan bermakna isu penjagaan keatas warga tua harus dipandang ringan.
"Kita juga sudah mempunyai Pelan Tindakan Dasar Warga Tua Negara yang menekankan kepada program-program untuk menggalakkan penjagaan warga tua di dalam keluarga mereka sendiri,'' katanya.
Bagaimanapun beliau berkata, beberapa tindakan atau tanggungjawab lain perlu dilaksanakan secara bersama bukan hanya diletakkan tanggungjawab tersebut kepada penjaga informal di rumah.
Bantuan
Beliau mengakui, sekarang ini kerajaan menyediakan pelbagai bantuan, program, dan insentif kepada penjaga yang menjaga warga tua. Namun, ada segelintir anak-anak yang mengambil jalan mudah menghantar ibu bapa mereka ke rumah-rumah orang tua dengan alasan sibuk bekerja dan sebagainya.
Ada juga anak-anak yang terdesak menghantar ibu bapa mereka ke rumah orang tua kerana tekanan dan desakan ekonomi.
Memang ada anak-anak menjaga orang tua mereka dengan rela hati dan penuh kasih sayang sehingga kadang-kadang mereka sendiri mengalami tekanan secara sedar atau tidak. Tugas menjaga bukan sahaja memerlukan tenaga, tetapi masa, dan sumber kewangan yang cukup di samping menjalankan tanggungjawab sosial yang lain.
Oleh itu, penjaga perlu juga mengawal tahap tekanan mereka supaya kesihatan fizikal dan mental mereka dalam keadaan terkawal. "Jika penjaga sendiri mengalami masalah fizikal atau mental bagaimana mereka hendak menjalankan tanggungjawab yang murni ini. Silap langkah, mereka sendiri yang menjadi pendera atau pengabai terhadap warga tua,'' katanya.
Beliau memberi beberapa tip yang boleh membantu penjaga mengurangkan tekanan ketika menjaga warga tua terutamanya warga tua yang memerlukan jagaan sepenuhnya seperti sakit atau nyanyuk.
Antara cadangan boleh dilakukan untuk mengatasi masalah pengabaian warga tua ialah; Menerapkan pendidikan tentang nilai-nilai kekeluargaan dan penjagaan warga tua di peringkat awal.
Sebagai contoh, melatih anak-anak yang masih muda rasa tanggungjawab dan sayang terhadap orang tua.
Selain itu, memperbanyakkan konsep penjagaan inter-generasi di mana agensi atau pusat penjagaan menyediakan penjagaan secara bersama iaitu pusat penjagaan untuk kanak-kanak dan warga tua.
"Dengan cara itu program atau aktiviti yang dijalankan boleh melibatkan warga tua dan kanak-kanak dapat memupuk rasa hormat dan sayang di antara mereka,'' katanya.

Dalam pada yang sama katanya, program-program atau insentif daripada kerajaan atau swasta untuk membantu penjagaan kepada penjaga perlu diwar-warkan agar mereka lebih sedar tentang sumber yang boleh didapati terutama mereka yang tinggal di luar bandar.
Perlu menyediakan satu sistem pendaftaran penjaga supaya segala bentuk bantuan dan program boleh disalurkan dengan mudah.
"Maknanya kita tahu siapa yang menjaga siapa di dalam masyarakat,'' katanya. Pihak berkuasa tempatan pula katanya, harus membentuk dasar memberi keutamaan perumahan kepada penjaga yang menjaga ibu bapa yang tua, di samping mewujudkan struktur perumahan yang sesuai untuk ibu bapa yang tua di bandar.
"Kita mungkin boleh mengambil contoh negara-negara maju seperti Amerika Syarikat, di mana mereka menyediakan perumahan atau bangunan untuk warga tua yang lebih suka hidup sendiri".

"Oleh itu, ibu bapa boleh tinggal di bandar berdekatan dengan anak-anak tetapi mungkin bukan di dalam satu rumah,'' katanya.
Majikan perlu katanya, perlu menyediakan persekitaran kerja yang lebih mesra kepada penjaga seperti waktu kerja yang fleksibel, sistem kerja dari rumah, atau ganjaran atau bantuan-bantuan kewangan yang lain.

KATA-KATA HIKMAT UTK KARANGAN

Sabtu, 20 Februari 2010

01. baik kaya ialah kaya hati,sebaik-baik bekal ialah takwa,seburuk-buruk buta ialah buta hati dan sebesar-besar dosa ialah berdusta.

02. Kecantikan yang abadi terletak pada keelokkan adab dan ketinggian ilmu seseorang, bukan terletak pada wajah dan pakaiannya. (Hamka).

03. Orang yang takut menghadapi kesukaran selamanya tidak akan maju. ~Horne

04. Yang dikatakan kawan bukanlah orang yang sentiasa memuji-muji kamu, tetapi adalah orang yang dapat menunjukkan kesalahan kamu.

05. Kalau hidup ingin merdeka, Tiada tercapai hanya berkata, Ke muka maju sekata, maju kita, Melemparkan jauh jiwa hamba. ~Usman Awang

06. "Dan berbuatlah kamu akan kebaikan supaya kamu mendapat kemenangan." ~Surah al-Hajj:77

07. "Maka sifat sabar itu adalah sikap yang baik, dan hanya Allah sajalah tempat meminta pertolongan" ~Surah Yusuf:18

08. Berunding cerdik dengan pandai, faham dua menjadi satu.

09. Yang paling kita perlukan dalam kehidupan ialah adanya seseorang yang selalu memberi semangat untuk melaksanakan hal-hal yang dapat kita kerjakan. ~Davey John Schwartz

10. "Peristiwa itu memberi pengajaran kepada saya mengenai bagaimana guru besar perlu bersikap profesional dan tidak menggunakan emosi dalam melakukan tindakan." ~Tengku Habsah Tengku Petera (Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan)

11. "Satu perkara yang menakutkan saya pada masa ini ialah peningkatan gejala rasuah. Secara umumnya, lebih tinggi rasuah yang ada, lebih kurang kemerdekaan yang dimiliki." ~Profesor Diraja Ungku Aziz

12. Sabar penghilang penat, tekun pembawa dekat.

13. Lebih berharga mutiara sebutir daripada pasir sepantai.

14. Terbang bangau sepanjang hari, ke tasik jua akhirnya dicari.

15. Biar kamu tidak cantik di mata penduduk bumi tetapi namamu menjadi perbualan penduduk langit.

16. Siapa yang banyak bicara, banyak pula salahnya; siapa yang banyak salah, hilanglah harga dirinya; siapa yang hilang harga dirinya, bererti dia tidak warak; sedangkan orang yang tidak warak itu bererti hatinya mati. ~ Saidina Ali Abu Talib

17. Sabda Rasulullah s.a.w: "Akhlak yang buruk merosakkan amal seperti cuka merosakkan madu."

18. Kita sering mengimbas kembali kenangan lalu tetapi jarang sekali berusaha untuk mengejar impian hari esok.

19. Manusia yang berbuat baik dengan mengharapkan sesuatu balasan bukanlah manusia yang jujur. Ketahuilah sesungguhnya pertolongan Allah itu dekat, asalkan kamu bersabar dan berpegang teguh dengan agama Allah. (surah Al-Baqarah:214)

20. Kekitaan yang erat tiada yang berat.

21. Belajarlah berdiri dahulu sebelum cuba untuk berlari.

22. Orang bakhil tidak akan terlepas daripada salah satu daripada empat sifat yang membinasakan iaitu; dia akan mati dan hartanya akan diambil warisnya, lalu dibelanjakan bukan pada tempatnya atau; hartanya akan diambil secara paksa oleh penguasa yang zalim atau; hartanya menjadi rebutan orang-orang jahat dan akan digunakan untuk kejahatan atau; adakalanya harta itu akan dicuri dan digunakan untuk berfoya-foya. - SAIDINA ABU BAKAR

23. Kekayaan yang hilang boleh dikejar dengan usaha yang bersungguh-sungguh. Kesihatan yang hilang boleh diperolehi dengan ubat-ubatan yang baik tetapi masa yang hilang sekali hilang akan terus hilang.

24. Jadilah seperti pohon kayu yang berbuah lebat, dibaling dengan batu dibalas dengan buah.

25. Tunjuk menjadi telaga budi, ajar menjadi suluh hati.