SYARAT SAYEMBARA / DEKLAMASI SAJAK
5.1 Deklamasi sajak yang dimaksudkan adalah pembacaan SAJAK (bukan menyanyikan sajak).
5.2 Puisi yang dideklamasikan dalam pertandingan ini adalah sajak hasil ciptaan bebas bertemakan Pendidikan Pencegahan Dadah. Peserta boleh mencipta sendiri sajak untuk dideklamasi atau mendeklamasikan sajak ciptaan orang lain.Peserta dinasihatkan mendapat kebenaran / memaklumkan terlebih dahulu kepada penciptanya. Skrip sajak yang dihantar kepada Urusetia juga dikehendaki dinyatakan penciptanya.
5.1 Panjang sajak yang akan dideklamasikan hendaklah antara 20 hingga 30 baris bagi Sekolah Rendah dan 30 hingga 40 baris bagi Sekolah Menengah. Setiap baris tidak kurang daripada 3 patah perkataan. Bagaimanapun, pencipta bebas menentukan jumlah perkataan dalam satu baris tetapi baris yang kurang daripada 3 patah perkataan tidak dikira sebagai sebaris.
5.2 Penilaian hanya dibuat terhadap deklamasi sahaja, bukan pada sajak.
5.3 Penyelaras di peringkat negeri / peserta hendaklah mengemukakan sajak yang akan dideklamasikan kepada Urusetia selewat-lewatnya seminggu sebelum tarikh persembahan. Maklumat pada butiran 4.3 di atas hendaklah disertakan.
5.4 Sajak hendaklah dideklamasikan dalam Bahasa Melayu sahaja.
5.5 Urusetia Sayembara akan memilih tiga (3) hingga lima (5) panel penilai bebas. Aspek yang akan dinilai ke atas setiap peserta merangkumi aspek TEKNIK, GAYA, NADA dan SUARA (masing-masing membawa 25 markah).
5.6 Keputusan menentukan kedudukan tempat peserta (Johan, Naib Johan dan seterusnya) akan berdasarkan kiraan AGREGAT daripada kedudukan yang telah diberikan oleh semua panel. Keputusan panel penilai adalah MUKTAMAD.
5.7 Perincian setiap aspek yang dinilai adalah sebagaimana berikut :-
5.9.1 TEKNIK
a) Teknik ialah gerakan kreatif deklamator. Gerakan ini mungkin sedikit sahaja tetapi ketara.
b) Penilai terhadap aspek teknik tertumpu kepada keberkesanan gerakan kreatif ini.
c) Sebagai contohnya, ada pendeklamator yang melangkah setapak ke hadapan, kemudian berundur setapak juga pada tempat yang sesuai. Terdapat pula pendeklamator yang bermula dengan duduk dan kemudian bangun. Gerakan-gerakan begini, jika sesuai (khususnya bersesuaian dengan puisi yang dideklamasikan), membantu menjadikan persembahan berkesan.
d) Alat bantu (prop) tidak dibenarkan dibawa semasa pertandingan. Selain itu, peserta juga tidak dibenarkan mendeklamasikan dengan bantuan teman. Ertinya, manusia tidak boleh dijadikan “alat bantu” dalam sayembara deklamasi ini.
e)Muzik juga teknik. Muzik latar adalah dibenarkan, tetapi hanya dalam bentuk rakaman sahaja. Iringan muzik secara terus (live) sama ada dimainkan oleh peserta sendiri atau dibantu oleh orang lain TIDAK dibenarkan.
5.9.2 GAYA
a)Gaya berkait rapat dengan keyakinan deklamator. Terdapat tiga alasan yang menjadikan deklamator kurang bergaya. Yang pertama, deklamator itu memang tidak cukup berani berhadapan dengan khalayak. Kedua, walaupun dia berani berhadapan dengan khalayak, namun dia tidak tahu tentang seni pentas dan ketiga, tingkat hafalannya tidak cukup. Ini membawa kepada deklamasi yang tidak menyakinkan.
b)Gaya termasuklah olahan/bahasa tubuh (body language), gerak tangan dan sebagainya yang bersesuaian dengan sajak yang dideklamasikan.
c)Mimik muka juga adalah gaya. mimik muka hendaklah sesuai dengan tema dan isi sajak yang dideklamasikan.
d)Selain itu, pergerakan mata deklamator juga diambil kira sebagai gaya mata orang pentas. Yang yakin/berani ditumpukan kepada penonton, manakala yang tidak yakin akan lari ke atas atau lantai pentas.
5.9.3 NADA
a)Nada yang dimaksudkan ialah nada yang ada dalam sajak. Terdapat beberapa nada yang popular seperti patriotik, marah, sinis, sedih, romantis dan sebagainya.
b)Setelah nada sajak dikenali dengan betul, pengucapannya pula perlu digandingkan dengan intonasi yang tepat iaitu turun naik dan tinggi rendah suara untuk dipadankan dengan maksud sajak. Jeda (tempat berhenti) juga perlu difahami betul-betul oleh pendeklamator untuk menjelaskan lagi maksud sajak.
5.9.4 SUARA
a)Suara adalah pemberian Tuhan yang sukar diubah. Walaupun demikian Deklamator yang bersemangat tinggi akan berusaha menerbitkan suara yang sesuai dengan sajak dapat dipaparkan melalui permainan kualiti suara. Deklamator hendaklah sedar bahawa suara boleh direndahkan, disederhanakan dan ditinggikan pada tempat-tempat yang sesuai. Yang dimaksudkan dengan kualiti suara ialah penerbitan suara yang berbeza-beza itu, yang dalam bidang muzik disebut bas, tenor dan soparno.
b)Penerbitan suara yang terasa dibuat-buat akan menyebabkan deklamasi kurang bermutu.
5.9.5 PENILAIAN ASPEK LAIN SECARA UMUM
(Termasuk markah bonus dan pemotongan markah)
a) Konsep Penghayatan
Kejayaan deklamator mengemukakan teknik, gaya, nada dan suara yang bersesuaian dengan sajak yang dideklamasikan adalah kejayaannya dalam penghayatan sajak itu.
b) Kelemahan dan Pemotongan Markah
Markah yang diberikan untuk aspek-aspek yang dinyatakan di atas akan muktamad jika tiada kelemahan dalam deklamasi. Markah akan dipotong jika terdapat kelemahan-kelemahan seperti yang akan dinyatakan di bawah ini. Jumlah markah yang akan dipotong tertakluk pada seriusnya kelemahan itu.
i) Salah atau Lemah Sebutan
Jika kata “payung” disebut “payon”, “keramat” disebut “keramak”, “cinta” disebut “cinte” dan seumpamanya, markah akan dipotong tidak lebih daripada tiga. Sebutan yang salah itu mungkin berulangkali, tetapi pemotongan hanya sekali.
ii) Ketersasulan
Apabila perkataan tertentu tersalah sebut dan disebut sekali lagi dengan tujuan pembetulan, markah akan dipotong juga kerana ketersasulan itu merosakkan kelancaran deklamasi. Pemotongan untuk sekali tersasul ialah tidak kurang daripada tiga markah.
iii) Tersalah Perkataan
Tersalah perkataan berbeza daripada tersasul, kerana dalam hal tersalah perkataan, tiada pembetulan dibuat. Deklamator mungkin tidak menyedari kesalahan itu dan mungkin juga membiarkannya demi menjaga kelancaran. Pemotongan untuk kesalahan begini tertakluk pada kesannya. Jika perkataan “telah” disebut “tidak” makna keseluruhan sajak berubah. Ini menyebabkan pemotongan mungkin sehingga 10 markah. Jika perkataan “tidak” disebut “tiada”, makna keseluruhan sajak tidak berubah. Markah yang dipotong hanyalah satu.
iv) Tertinggal Bahagian Tertentu
Deklamator yang kurang menghafal atau yang gentar di hadapan khalayak mungkin tertinggal baris tertentu, malah mungkin juga tertinggal rangkap tertentu. Ada yang tertinggal terus dan ada teringat kemudian lalu disebutkan semula. Hal ini menyebabkan bentuk, struktur dan mungkin maksud itu berubah. Oleh sebab kesannya besar, maka markah yang dipotong boleh mencecah angka 10, tertakluk kepada jumlah baris tertinggal atau serius tidaknya kesan.
v)Perlakuan Negatif Di Pentas
Perbuatan mengetuk mikrofon, membunyikan “emh” dan sebagainya kerana ada gangguan di kerongkong dan perbuatan-perbuatan lain yang menunjukkan sikap tidak profesional di pentas akan menyebabkan markah dipotong. Jumlah yang dipotong tidak kurang daripada tiga.
c)Pakaian deklamator adalah bebas tetapi hendaklah bersopan dan sesuai.
5.9.6 Semua perkara yang tidak dinyatakan dalam syarat-syarat ini adalah menjadi hak penganjur dan Urusetia Sayembara menentukannya dari semasa ke semasa.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
0 ulasan:
Catat Ulasan