SAYEMBARA DEKLAMASI PUISI

Selasa, 6 April 2010

PANDUAN MENGANJURKAN SAYEMBARA DEKLAMASI PUISI


PENDAHULUAN

Deklamasi sajak sudah mendapat tempat di negara kita. Oleh sebab kedudukannya baik tetapi keseniannya tidak dikenali, maka kita berada dalam keadaan tidak menentu. Kebanyakan orang yang mengikuti deklamasi sajak secara sepintas lalu memperoleh kesan bahawa deklamasi ialah penyampaian sajak dengan suara yang kuat dan garang. Ini ditambah dengan aksi yang berlebih-lebihan, misalnya berdiri terkangkang, tangan diangkat tinggi, muka dikerut-kerutkan, dan lain-lain seumpamanya. Kita tidak menolak sebarang tekanan suara dan sebarang aksi, dengan syarat apa-apa yang dilakukan itu bersesuaian dengan karya yang dipersembahkan.

Guru memerlukan pedoman, sama ada untuk memantapkan deklamasi masing-masing, ataupun menjadi hakim yang mempunyai pegangan semasa bertugas. Anggapan sesetengah orang bahawa panel hakim bebas memberikan penilaian tanpa sandaran adalah anggapan yang meleset dan tidak dapat dipertanggungjawabkan. Anggapan demikian menyebabkan peserta sayembara berada dalam keadaan tidak menentu, dan seratus peratus berserah kepada nasib.

PEMBAHAGIAN MARKAH

Seperti kebanyakan sayembara, markah penuh untuk sesuatu persembahan deklamasi ialah 100 yang dibahagikan kepada beberapa bahagian dan panel pusat GAPENA telah memperoleh pembahagian yang dianggap ideal dan tidak mudah dicabar. Pembahagian ini mungkin kelihatan masih umum di dalam kotak-kotak markah itu, tetapi menjadi jelas (walaupun tidak mungkin objektif sepenuhnya) apabila setiap bahagian didefinisikan serta dikemukakan contoh-contoh.

Yang di bawah ini ialah pembahagian markah seperti yang disebutkan.

Teknik ¦ 25 markah
Gaya ¦ 25 markah
Nada ¦ 25 markah
Suara ¦ 25 markah

Teknik
Teknik ialah cara menyampaikan isi. Definisi ini terlalu umum, dan jika kita membataskan lingkungannya, kita akan menganggap segala hal yang berkaitan dengan cara persembahan sebagai teknik. Untuk menentukan bahawa markah 25 itu wajar dengan lingkungan teknik, Maka panel penilai hendaklah menganggap perkara-perkara ini ialah teknik:

(a) Cara deklamator melangkah ke tempat yang ditentukan untuk dia mendeklamasikan sajak. Jika dia berlenggang secara hendak tak hendak, atau jika dia tersenyum tidak menentu dan melambaikan tangan kepada kawan-kawannya, atau berbuat sesuatu yang bertentangan dengan mood deklamasi, markah akan dipotong.


(b) Cara deklamator memulakan deklamasi. Jika permulaan itu terlalu asing berbanding keadaan sebelum ayat pertama diucapkan, markah akan dipotong.

(c) Gerakan tubuh badan hendaklah bersesuaian. Gerakan tangan, kepala, bahu dan lain-lain yang sesuai hendaklah berpadanan dengan deklamasi yang mantap.
(d) Gerakan bebas dibenarkan di atas pentas sahaja dan boleh menggunakan alat bantu yang bersesuaian dan tidak membahayakan.

Gaya
Gaya ialah penampilan keindahan yang matang. Definisi ini juga umum seperti definisi teknik, dan lingkungannya hendaklah ditentukan untuk mendapatkan keselarasan dalam penilaian. Sesiapa yang biasa dengan deklamasi akan mudah memahami maksud gaya, kerana dia dapat mengenal keindahan penyampaian karya. Deklamator yang mantap memperlihatkan keyakinan di atas pentas. Gaya berkaitan dengan keyakinan, kerana deklamator yang tidak yakin mungkin tidak berjaya memaparkan keindahan.

Untuk menentukan had gaya itu sesuai dengan 25 markah yang diperuntukkan, hal-hal ini hendaklah diberi perhatian:

(a) Keyakinan yang terbayang pada wajah deklamator.
(b) Mimik muka yang berubah-ubah, sesuai dengan maksud bahagian-bahagian sajak.
(c) Keberanian menatap penonton untuk memperoleh kesan perhubungan antara deklamator dengan audiens.


Nada
Nada ialah istilah yang dipinjam dari bidang muzik. Seperti yang dapat kita fahami dalam muzik, nada hendaklah sejajar dengan maksud sesebuah karya. Dalam sajak, nada merupakan hasilan motivasi. Ini bermakna, alasan terciptanya sesebuah karya menentukan nada karya itu.

Dalam deklamasi, deklamator hendaklah mengenal pasti nada karya yang akan dipersembahkannya. Dia hendaklah mempersembahkan karya yang bernada protes dengan intonasi yang sesuai dengan protes. Demikian jugalah nada-nada yang lain.

Seseorang deklamator tidak semestinya menggunakan suara yang tinggi dalam deklamasi. Ini disebutkan kerana sudah menjadi kebiasaan di mana-mana, sajak disampaikan dengan cara menekankan setiap kata. Deklamasi mungkin menepati deklamasi yang baik jika sajak yang dideklamasikan itu memuatkan kemarahan yang tidak terhingga.

Deklamator hendaklah mempelajari nada setiap sajak, dan nada itu hendaklah diterjemah ke intonasi dan tekanan ketika karya itu dipersembahkan. Panel hakim tentulah telah membaca karya-karya yang digunakan dalam sayembara, kerana tanpa berbuat demikian, panel hakim tidak dapat mengesan nada.

Sebutan dan Suara
Pada dasarnya, suara adalah anugerah Tuhan yang turut menentukan identiti seseorang. Kita mengenal suara seseorang seperti mana kita mengenal rupanya juga. Oleh sebab itu, ada kemungkinan muncul kebertuahan, iaitu suara yang baik akan "menghadiahkan" markah yang agak banyak.

Walau bagaimanapun, seseorang masih boleh berlatih untuk memperbaik suaranya. Dia boleh berlatih bersuara serak, bersuara dari dalam dan seumpamanya, untuk menimbulkan kesedapan orang mendengarnya.


Dalam penghakiman, panel hakim hendaklah mengambil perhatian terhadap penerbitan suara untuk disesuaikan dengan isi, gaya dan nada sajak. Perlu disebutkan, suara yang diada-adakan secara ketara (misalnya deklamator membesarkan ruang mulut untuk menerbitkan suara yang besar), tidak dapat dianggap suara yang baik. Oleh itu, jika didapati seseorang menerbitkan suara yang mengada-ngada, dan bertentangan dengan kematangan deklamasi, markah bahagian suaranya hendaklah dipotong.

Yang berkaitan dengan suara ialah sebutan. Deklamator hendaklah menggunakan
sebutan baku. Sebutan baku pun mungkin menimbulkan masalah kerana ada anggapan bahawa sebutan baku itu bermaksud sebutan yang mengikut ejaan seratus-peratus.

Sebenarnya, sebutan baku bahasa Melayu dikenal melalui tinjauan terhadap fonetik bahasa Melayu, di samping mengikut ejaan. Tidaklah betul anggapan bahawa bunyi hujung kata yang berakhir dengan huruf k dan t itu mesti ditebalkan. Sebenarnya, jika bunyi itu ditebalkan, timbul keadaan yang asing, kerana orang Melayu menyebut duduk, jebak, surut dan laut seadanya, tanpa menebalkan huruf k dan t yang mengakhirkan ejaan kata-kata itu. Dalam Sayembara Deklamasi Puisi Kebangsaan, sebutan yang menebalkan bunyi tertentu iaitu yang bertentangan dengan peraturan atau kebiasaan fonetik Melayu akan dianggap satu kelemahan. Markah bahagian tersebut akan dipotong.

Kelancaran
Kelancaran (termasuk kefasihan) amat dituntut dalam menentukan deklamasi yang baik. Oleh sebab deklamator telah menghafal puisi yang akan disampaikannya, (atau dia membawa teks, kerana ini diizinkan, walaupun tidak digalakkan), maka markah tidak diberikan untuk bahagian ini, sebaliknya jika berlaku kesilapan, markah akan dipotong. Maksud di sini, setelah markah diperoleh hasil penilai aspek-aspek yang telah dikemukakan di atas, jika terdapat kesilapan menyebutkan sepatah kata atau sejumlah kata (misalnya perkataan "telah" disebut "tidak", perkataan "jangan" disebut "jarang" dan seumpamanya), atau meninggalkan kata yang terdapat dalam teks asal, maka markah akan dipotong. Markah akan dipotong dengan banyaknya jika kesilapan itu (walaupun sepatah kata sahaja) menyebabkan keseluruhan maksud sajak berubah.

Perlu ditegas, bahawa markah juga akan dipotong jika deklamator menyebutkan sepatah atau sejumlah kata, kemudian disedari bahawa kata itu silap lalu disebutkan kata lain pula. Kelancaran terganggu kerana kesilapan demikian.

Untuk menentukan sajak dideklamasikan oleh deklamator itu tepat seperti yang terdapat dalam teks, panel penilai hendaklah menatap teks ketika deklamasi berlangsung. Jika terdapat kesilapan panel hendaklah memutuskan pemotongan markah dengan bijak sana, kerana terdapat jenis kesilapan yang tidak dapat dimaafkan.

Diubahsuai daripada "Pedoman Deklamasi Puisi untuk Sayembara Deklamasi Puisi Hari Kebangsaan 1996" oleh Rahman Shaari

0 ulasan:

Catat Ulasan