ANTARA BARU & BAHARU

Isnin, 5 April 2010

Perbezaan'Antara ‘Baru’ dengan ‘Baharu’

Baru' ialah kata bantu manakala 'baharu' ialah kata adjektif. 'Baru' kalau diterjemahkan ke bahasa Inggeris membawa maksud "just", manakala 'baharu' pula membawa maksud "new" . Dalam erti kata lain, 'baru' berkaitan dengan tempoh masa yang belum lama berlalu seperti dalam contoh berikut:

i. Mereka baru sahaja berkenalan.
ii. Dia baru tiba dari Pulau Pinang.
iii. Mesyuarat itu baru sahaja selesai.

Manakala 'baharu' (new ) pula merupakan kata adjektif yang menerangkan keadaan sesuatu yang berlawanan sifatnya dengan 'lama' atau 'buruk' seperti yang terdapat dalam contoh berikut: kereta baharu, baju baharu, majalah baharu, pelajar baharu, guru baharu, kaedah baharu, teknologi baharu dan sebagainya.

Dari segi morfologi, kata 'baru' tidak boleh menerima imbuhan tetapi boleh menerima bentuk gandaan, iaitu 'baru-baru' seperti dalam ayat: Baru-baru ini dia memenangi Hadiah Sastera Remaja. Manakala kata 'baharu' boleh menerima awalan teR- menjadi 'terbaharu', awalan mempeR- menjadi 'memperbaharu' dan apitan meN-...-i menjadi 'membaharui'.

Dari segi semantik, baharu juga boleh bermaksud moden. Kadang-kadang 'baharu' juga dipendekkan menjadi 'baru' dalam pengunaan harian. Bagaimanapun, ini tidak digalakkan.

0 ulasan:

Catat Ulasan