OLEH HAL DEMIKIAN @ OLEH HAL YANG DEMIKIAN?

Isnin, 30 Mei 2011

Gramatis          = oleh hal yang demikian
Tidak gramatis = oleh hal demikian

Penjelasan lanjut sila rujuk : PELITA BAHASA ,OKTOBER 2010

HARGA MINYAK DAN DAYA SAING

Sabtu, 28 Mei 2011

SAMBIL pelbagai pihak membincangkan tentang keputusan kerajaan tidak menaikkan harga minyak, disel dan gas, ramai juga pakar ekonomi yang menyarankan pemotongan subsidi sepatutnya disegerakan kerana beban yang bakal ditanggung oleh kerajaan akan menaikkan lagi defisit negara.

Kita patut tanya mereka ini apakah rakyat biasa katakan di Kuala Tembeling atau Arau, Perlis faham apa erti defisit negara yang meningkat atau mereka lebih faham kalau harga minyak atau diesel dinaikkan.

Kenaikan harga minyak akan mendatangkan suatu impak yang menyeluruh kepada pelbagai jenis perkara daripada barang-barang makanan kepada pengangkutan dan lain-lain jenis perkhidmatan.

Lazimnya peniaga akan menaikkan harga barang-barang jauh lebih tinggi peratusannya daripada peratusan kenaikan harga tenaga. Kalau teh tarik dinaikkan daripada RM1.20 kepada RM1.50 suatu kenaikan sebanyak 40 peratus sedangkan harga satu tin susu pekat mungkin naik 10 sen daripada RM2.50, suatu kenaikan tak sampai 5 peratus.

Kita lihat perkara ini berlaku apabila harga gula dinaikkan, kuih yang tiga seringgit sudah jadi RM1.20 kenaikan sebanyak 20 peratus. Kenaikan yang meliputi pelbagai jenis keperluan rakyat sekiranya harga tenaga dinaikkan ini difahami oleh rakyat biasa.

Lagi pun kepada rakyat biasa, mereka melihat kerajaan mempunyai banyak sumber kewangan yang mendatangkan hasil kepadanya. Misalnya lihat sahaja berapa banyak syarikat milik kerajaan yang berderet di Bursa Malaysia dan yang tidak disenaraikan seperti Petronas.

Kebanyakan syarikat milik kerajaan ini membuat keuntungan dan selain daripada dividen yang diterima oleh kerajaan selaku hak miliknya, syarikat-syarikat ini juga membuat laba yang besar dan dividen hanya sebahagian kecil daripada keuntungan yang diumumkan syarikat.

Kerajaan juga dapat bahagiannya daripada cukai yang dibayar oleh syarikat. Selain itu ke mana pergi keuntungan syarikat tersebut. Mungkin sebahagian dilabur semula untuk perkembangan syarikat tetapi kalau kita ikuti laporan tahunan syarikat-syarikat, kita tahulah berapa banyak keuntungan keseluruhan syarikat milik kerajaan. Malangnya bagi yang tidak tersenarai kita tak tahu keuntungan atau kerugian mereka.

Suatu perkara lagi yang melemahkan hujah untuk memotong subsidi ialah golongan-golongan mewah yang sepatutnya tidak menikmati subsidi kerajaan. Ini termasuklah syarikat-syarikat seperti pengeluar tenaga bebas (IPP) yang tenaga yang dijana mereka tidak boleh digunakan tetapi Tenaga Nasional Berhad tetap kena membayar kepada mereka. Mereka ini juga mencatat keuntungan yang besar.

Mungkin perjanjian dengan mereka ini kena dikaji semula walaupun ada pihak-pihak tertentu yang mengatakan kita tidak patut melakukan sesuatu kepada pihak-pihak ini kerana kerajaan tidak akan dihormati kerana melanggar perjanjian yang dipersetujui, walaupun mungkin berat sebelah.
Sebarang rasionalisasi perlu memberi keutamaan kepada golongan pendapatan rendah termasuk petani dan nelayan.

Soal baja dan diesel dijual kepada orang lain selain daripada digunakan oleh pihak yang sepatutnya adalah soal penguatkuasaan dan kewujudan sesuatu sistem pengagihan dan pengedaran.
Apa jua barang yang kita bandingkan dengan negara-negara jiran kita semuanya harga di tempat kita jauh lebih rendah daripada di negara-negara jiran ini. Oleh itu keinginan pihak tertentu untuk menyeludup begitu tinggi. Mereka yang tertangkap ini tak usah didenda tetapi dimestikan masuk penjara kerana denda boleh dibayar oleh sesiapa tetapi penjara paling ditakuti.

Keengganan masyarakat pelabur untuk melabur dalam negara dikatakan sebagai suatu sebab untuk memastikan defisit kita tidak meningkat. Sebenarnya kalau kita perhatikan Laporan Daya Saing Dunia yang diterbitkan oleh Forum Ekonomi Dunia 2010/2011 yang mengambil kira prestasi 139 negara, kita duduk di tempat 26 jatuh daripada tangga 24 pada tahun lepas.

Faktor-faktor yang dikatakan menjadi masalah menjalankan perniagaan di negara kita ialah pertama birokrasi kerajaan yang kurang cekap, kedua kerumitan mendapatkan pembiayaan dan ketiga ialah dasar-dasar kerajaan. Selain daripada itu terdapat juga rasuah sebagai salah satu masalah yang dihadapi mereka yang berurusan dengan kita.

Untuk Laporan Daya Saing 2010/2011 yang diterbitkan oleh IMD, kedudukan kita jatuh daripada nombor 11 pada tahun lepas kepada nombor 16 tahun ini. Dalam huraiannya Prestasi Ekonomi naik daripada angka 8 kepada 7, malangnya Kecekapan Kerajaan jatuh daripada nombor 9 kepada 17 dan Kecekapan Perniagaan jatuh daripada nombor 4 kepada nombor 14. Kedua-dua faktor yang membuatkan penarafan kita jatuh sebanyak 6 tangga.

Terpulanglah kepada kita untuk terima atau tidak penarafan ini. Jangan bila kita naik, riuh sekampung bila kita jatuh, kita tidak mahu terima hakikat yang kita perlu berbuat sesuatu untuk membaiki prestasi kita.

Awam dan swasta adalah dua tunggak yang diperlukan untuk memastikan transformasi kita berjaya. Kalau sudah ada masalah dengan kedua-dua sektor, alamat kita akan berdepan dengan masalah mencapai hasrat untuk menjadi negara maju menjelang 2020. Soal defisit bukan suatu masalah besar asalkan tidak sampai paras negara Greece!


DATO’ SALLEH MAJID
 Beliau ialah bekas Presiden Bursa Saham Kuala Lumpur
(kini Bursa Malaysia)


SUMBER :  UTUSAN MALAYSIA ONLINE (28/5/1011)

KPM SENTIASA MEMPERTINGKAT PROGRAM PRA-UNIVERSITI

Jumaat, 27 Mei 2011

KEMENTERIAN Pelajaran Malaysia (KPM) ingin merujuk kepada surat pembaca bertarikh 19 Mac 2011 bertajuk 'Tingkatan enam perlu dirombak, Pelajar Prauniversiti 2010/2011, Ampang', 23 Mac 2011 'Perkasa semula tingkatan enam ,Hasron Nazri Hashim, Kuala Lumpur' dan 25 Mac 2011 'Kementerian patut hebah kelebihan masuk tingkatan enam, Insan Prihatin, Ampang, Selangor'.


Untuk makluman , KPM melalui Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM) sentiasa berusaha untuk memperkasakan program pendidikan tingkatan enam dengan merangka rancangan penjenamaan semula program pendidikan prauniversiti ini. Satu daripadanya ialah merombak sistem peperiksaan STPM daripada sistem terminal kepada sistem modular.

Sistem pentaksiran STPM secara modular akan dilaksanakan mulai sesi persekolahan tingkatan enam bawah pada 2012, bukan pada 2011 seperti yang dinyatakan oleh Pelajar Prauniversiti 2010/2011. Dalam sistem modular ini, penilaian terhadap pencapaian pelajar akan dijalankan pada setiap semester (ada tiga semester semuanya). Selain peperiksaan akhir berpusat pada setiap hujung semester, pelajar akan dinilai juga melalui kerja kursus yang dijalankan sepanjang pengajian. Dengan pelaksanaan sistem baru ini diharapkan pengajian tingkatan enam akan menjadi lebih menarik, dan dengan yang demikian, lebih banyak pelajar akan mengikuti pengajian peringkat prauniversiti ini.

Dari segi promosi, KPM sudah menghebahkan maklumat ini melalui laman web, media massa dan program turun padang untuk menyebarluaskan maklumat pelaksanaan sistem modular ini kepada warga pendidik pada semua peringkat.

KPM akan terus mempergiatkan usaha mempromosikan kelebihan tingkatan enam serta terus memperkasakan pendidikan tingkatan enam.

UNIT KOMUNIKASI KORPORAT,
KPM

Sumber : Berita Harian Online: 13 April 2011

MANFAATKAN CUTI ANDA

Khamis, 26 Mei 2011


[ Testi Ucapan4u ] [ Malaysia Tv Series ]


Selamat bercuti diucapkan kepada semua pelajar. Harapan saya agar cuti ini dipenuhi dengan aktiviti-aktiviti berfaedah.

KEHILANGAN KANAK-KANAK

Anekdot: Karangan ini ditulis oleh pelajar saya, asli dan tidak diedit oleh guru. Beliau amat berminat dalam bidang penulisan dan karangan ini ditulis sebagai memenuhi masa lapangnya.

Peristiwa hitam 20 Ogos 2007 menggemparkan negara Malaysia apabila kehilangan seorang kanak-kanak adik Nurin Jazlin Jazimin yang berusia 8 tahun telah diculik ketika bermain 200 meter dari rumahnya di nombor 29, Jalan PJS2C / 11 N, Taman Medan, Petaling Jaya Selangor.Peristiwa ini meruntun perasaan rakyat Malaysia kerana terbukti makhluk ciptaan Tuhan bertindak rakus dan membunuh seorang kanak-kanak yang tidak berdosa dan lebih menyayat hati apabila mayat kanak-kanak tersebut diletakkan di dalam sebuah beg sukan. Ini sekali gus mencerminkan generasi yang muflis dan tercabut akar tradisinya sehingga nilai berperikemanusiaan bertukar menjadi nilai yang nanar dan babar. Hal ini dapat diibaratkan seperti simpulan bahasa `` haruan makan anak’’.Demi mendepani realiti dunia baru yang pantas dan berkembang, kita haruslah membongkar kepincangan untuk mengenal pasti punca-punca dan langkah-langkah yang dominan untuk membendung tragedi ini kerana jangan sampai ``nasi sudah menjadi bubur’’.



Zaman muasir ini, kita mengetahui sikap masyarakat merupakan salah satu punca kehilangan kanak-kanak. Masyarakat hanya mementingkan diri sendiri dan tidak mengenal jiran sebelah-menyebelah. Ini adalah kerana nilai-nilai material semakin memberkas dan meluas dalam masyarakat. Sebagai contoh, sikap jiran yang tidak mementingkan anak jiran di sebelah ketika ibu bapanya keluar bekerja jelas ditonjolkan. Ini sekali gus menyebabkan kanak-kanak bermain tanpa pengawasan yang ketat. Umum mengetahui, kanak-kanak diibaratkan seperti akar sebuah pokok yang memiliki jiwa yang dipenuhi keseronokan dan tidak memiliki pemikiran yang matang. Dalam fragmen ini, masyarakat yang naif dengan mata kebendaan yang melalaikan menyelubungi sikap masyarakat dan menyebabkan mereka tidak mengambil tahu perkara yang berlaku disekeliling mereka. Hal ini seperti ``enau di dalam belukar yang melepaskan pucuk masing-masing.’’ Jelas di sini bahawa masyarakat yang tidak bertanggungjawab juga mendorong permasalahan ini. Benarlah kata-kata tokoh yang bijaksana Albert Einstein, `` Sungguh sedikit mereka yang melihat dengan mata mereka sendiri dan merasakan dengan hati mereka sendiri. Ini menjelaskan bahawa sikap mementingkan diri sendiri begitu meluas sehingga kesusahan orang lain tidak dapat dirasai walaupun berlaku berhampiran dengan kita.



Kini, kita sedang berhadapan dengan masyarakat yang memiliki nilai keinsanan yang syumul. Ketandusan masyarakat penyayang juga menyebabkan punca kepada tragedi kehilangan kanak-kanak. Kemerosotan nilai agama, kenanaran budi bahasa menyebabkan ramai masyarakat yang menjadi pemburu hendonisme atau melakukan segala kejahatan sehingga sanggup seseorang menculik kanak-kanak yang tidak berdosa. Kanak-kanak dijadikan lubuk emas atau sasaran penculik dan dijual kepada sindiket tertentu di negara jiran untuk dijadikan peminta sedekah dan buruh paksaan. Kita mengetahui kanak-kanak mempunyai hak untuk dilindungi iaitu Hak Melindundi Kanak-kanak dibawah akta Kanak-kanak 2001. Ini adalah kerana kanak-kanak berhak untuk mendapatkan kehidupan yang selesa daripada pengabdian atau penghambaan dan berhak untuk mendapatkan pendidikan yang sempurna. Segelintir masyarakat yang tidak bertanggungjawab maengambil jalan mudah untuk mendapatkan wang dan ini tebukti apabila kes kehilangkan adik Mohamad Nazrin atau Yin yang telah hilang di pusat membeli-belah Sogo pada tahun 2007 ketika sedang membeli-belah bersama-sama ahli keluarganya. Pembentukan masyarakat sakinah harus dipupuk dengan segera sebelum petanda kehancuran semakin meluas. Bak kata pepatah `` sediakan payung sebelum hujan’’.



Dalam dunia moden dengan lingkaran maklumat global seperti sekarang, ibu bapa telah menjadi begitu leka tentang tanggungjawab mereka untuk menjaga dan mengawasi anak-anak. Ibu bapa merupakan cerucuk utama dalam institusi kekeluargaan. Tragedi kehilangan kanak-kanak melontarkan soalan yang cukup penting dan pastinya sasaran tersebut menjurus kepada peranan ibu bapa. Kecuaian ibu bapa mengawasi anak-anak menyebabkan fenomena ini ``tidak lapuk dek hujan, tidak lekang dek panas’’. Ini adalah kerana peristiwa kehilangan kanak-kanak sentiasa menjadi topik utama di dada-dada akhbar tempatan di negara kita. Peranan ibu bapa mengundang kontroversi yang cukup luas dalam kes ini. Sebagai contoh, taman permainan kanak-kanak pada waktu ketika dahulu dikatakan tempat yang selamat untuk kanak-kanak bermain tetapi air yang tenang, jangan disangka tiada buaya kerana kini, taman permainan kanak-kanak menjadi sasaran utama penculik. Umum mengetahui, millineum baru ini pasti sahaja sarat dengan muatan cabaran reformasi dan kita haruslah berhati-hati dalam setiap langkah. Oleh itu, kecuaian yang melibatkan ibu bapa tidak harus dipandang enteng oleh semua lapisan masyarakat.



Pihak yang paling bertanggugjawab dalam memikul tugas ini ialah pihak polis. Pihak polis haruslah lebih kerap membuat rondaan di kawasan-kawasan perumahan, taman permainan dan pusat membeli-belah.Contohnya, pihak berkuasa haruslah membuat tangkapan atau menahan orang-orang yang disyaki. Selain itu, pihak berkuasa juga perlu menyediakan unit khas berkaitan dengan kanak-kanak hilang agar tindakan segera boleh diambil apabila berlaku kehilangan kanak-kanak. Sesungguhnya, sebagai serikandi nusa yang mendiami negara Malaysia, keamanan dan kesejahteraan rakyat dan negara perlulah diutamakan. Pihak berkuasa juga bertanggungjawab memasang kamera litar tertutup (CCTV) untuk menyelesaikan dan memudahkan pihak berkuasa menjalankan siasatan.Contohnya rakaman nombor pendaftaran Modenas Kriss yang meninggalkan beg berisi mayat Nurin Jazlin Jazimin yang banyak dibantu oleh rakaman kamera litar tertutup.Tragedi ini terbukti menagih komitmen dan pengertian yang serius semua pihak. Oleh itu, rakyat Malaysia harus menggembleng tenaga dalam mengekang penularan fenomena ini. Kita harus berkerjasama ``bagai aur dengan tebing’’.



Media massa juga memainkan peranan yang penting dalam membanteras kejadian kehilangan kanak-kanak. Pihak media massa harus mengadakan kempen atau penerang tentang kanak-kanak yang hilang. Ini sekali gus memberi kesedaran kepada masyarakat tentang kepentingan menjaga dan memberi perlindungan kepada anak-anak.Sejajar dengan perkembangan teknologi telekomunikasi dan alam siber, internet, media massa seperti televisyen telah mendominasi kehidupan sebahagian besar daripada masyarakat. Pendedahan oleh pihak media massa menghangatkan senario inidan memberi impak yang positif apabila rakyat Malaysia yang terdiri daripada berbilang kaum saling membantu dalam usaha mengesan kanak-kanak yang hilang. Ini menunjukkan manifestasi kesanggupan bangsa yang sedia menghulurkan bantuan. Contoh-contoh kempen yang diuar-uarkan oleh pihak media massa adalah seperti slogan kempen ``Yang Tua dihormati dan Yang Muda disayangi’’.Ini adalah kerana kita haruslah hidup dalam suasana yang harmoni ``serumpun bak serai dan sejunjung bak sireh’’.Justeru, peranan media massa juga pemangkin untuk membendung tragedi kehilangan kanak-kanak.



Tuntasnya, semua pihak seharusnya merasa terpukul dengan tragedi kehilangan kanak-kanak. Betapa kita mungkin sudah melupakan pengajaran daripada peristiwa ini. Selagi ``lelaki kucing’’ yang dikaitkan dengan beberapa kes yang sama sebelum ini atau sesiapa sahaja yang bertanggungjawab itu bebas, selagi itulah kita lebih terdedah dengan kejadian culik kanak-kanak. Kanak-kanak merupakan golongan yang sepaptutnya menerima perlindungan terbaik dan haruslah ditatang seperti minyak yang penuh Sesungguhnya, rakyat Malaysia tidak merelakan berulangnya kes penculikan Nurin Jazlin Jazimin yang berakhir dengan kematian mengerikan. Kanak-kank harus dilindungi kerana merekalah anak watan yang bakal mengotakan aspirasi negara pada masa akan datang. Ini adalah kerana ``pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara’’.Semua pihak harus menggembleng tenaga dan fikiran untuk membanteras kes ini daripada terus berleluasa.




HASIL : DORINA ANAK TULIS (6 Atas Bestari/09)

KARANGAN PELAJAR BITARA : ISU PEMBUANGAN BAYI

Selasa, 24 Mei 2011

Anekdot:

Karangan ini tidak diedit oleh guru. Karangan  berikut dihasilkan oleh pelajar saya ketika beliau menduduki  Peperiksaan Penggal 1/2010. Peperiksaan STPM 2010, beliau memperoleh  skor A bagi kertas BM.



Soalan;
Hampir setiap minggu media massa memaparkan kes pembuangan bayi. Kebanyakannya yang ditemui mati dalam keadaan yang menyedihkan dan ada yang bernasib baik ditemui dalam keadaan masih hidup. Telah banyak usaha yang dilakukan oleh kerajaan untuk menbasmi gejala ini. Namun usaha ini tidak menampakkan hasil,malah gejala ini semakin menjadi-jadi sehingga tidak dapat dibendung lagi. Bincangkan punca-punca dan langkah-langkah untuk membendung gejala buruk ini.

___________________________________________________________________________

Jawapan;

Sedasawarsa ini,isu pembuangan bayi semakin hangat diperdebatkan di negara kita. Hal ini dapat dilihat menerusi pemaparan oleh media massa hampir setiap saat dan ketika,laporan kes pembuangan bayi terus kepada rakyat. Akibatnya,gejala yang tidak bermoral seperti ini seolah-olah mencerminkan sikap segelintir masyarakat Malaysia yang selama ini bertopengkan syaitan. Segelintir belia,khasnya yang merupakan pelaku utama jenayah ini,jelas memperlihatkan identiti diri mereka yang sememangnya kian rapuh dirajai nafsu. Kita sering dihidangkan dengan berita kematian bayi yang amat menyayat hati,malah terdapat segelintir yang sanggup mengepam janinnya ke dalam tangki hanya untuk melupuskan bukti kelahiran,tanpa rasa bersalah sedikitpun. Penelitian punca-punca yang menunjangi kebejatan masalah ini serta langkah-langkah yang boleh diambil akan mewarnai fokus perbincangan kita.

Kita tidak dapat menyangkal bahawa pengaruh media massa merupakan faktor perdana kepada permasalahan ini. Dalam era ledakan teknologi maklumat ini,sebarang maklumat pornografi boleh dimuat turun dengan mudah menerusi jaringan internet,tanpa perlu bersusah payah untuk mendapatkan video cakera padat di pasaran. Walau bagaimanapun,masih terdapat sesetengah saluran televisyen yang memaparkan aksi lucah yang tidak ditapis terutamanya dalam drama bersiri barat. Nilai-nilai seperti ini jelas menolak unsur ketimuran dan remaja yang sememangnya mempunyai rasa ingin tahu yang menebal akan terdorong untuk meniru aksi yang telah ditonton oleh mereka bersama pasangan berlainan jantina. Kesannya pula akan dirasai oleh si gadis kerana keterlanjuran itulah yang mengundang kepada segala permasalahan. Remaja yang tidak berfikir panjang pula akan cuba menghapuskan kelahiran luar nikah itu dengan sebarang cara sekalipun membunuh. Maka,pengaruh media massa adalah sesuatu yang tidak dapat disangkal lagi dalam menunjangi permasalahan ini.

Seterusnya,keluarga yang bermasalah juga turut menyumbang kepada permasalahan sosial ini. Hal ini telah dibuktikan menerusi satu kajian yang mengatakan bahawa rata-rata remaja yang terlibat dalam penyakit sosial ini adalah mangsa keruntuhan institusi keluarga. Sikap ibu bapa yang terlalu obses mengejar materialistik bagi menampung kos sara hidup yang semakin tinggi telah menjadikan mereka lalai dalam menjalankan tanggungjawab terhadap anak-anak. Remaja yang dahagakan kasih sayang pastinya akan mencari jalan mudah dengan mencari hiburan yang mampu meleraikan kegersangan mereka,dan ini akan memandu mereka ke kancah maksiat. Setelah terjebak ke kancah sosial yang tiada penamatnya itu,pastinya kes mengandung anak luar nikah akan terjadi. Jalan singkat yang difikirkan,pastinya pengguguran mahupun membuang sahaja bayi tersebut kerana gusar akan dicemuh oleh masyarakat.

Selain itu,sudah terang lagi bersuluh,pastinya kurang penghayatan terhadap nilai agama dan tiada pengetahuan tentang batas-batas pergaulan merupakan pemacu kepada polemik ini. Asas didikan agama yang mapan dan cukup adalah elemen yang terpenting ke arah memacu kehidupan seseorang manusia. Penghayatan terhadap nilai-nilai agama pula mampu menjadi benteng kepada individu itu bertindak atas norma kehidupan manusia kerana individu tersebut sedar akan perkara yang tidak sepatutnya dilakukan seperti penzinaan yang pastinya akan mengundang kehamilan luar nikah. Maka,ketiadaan penghayatan terhadap nilai agama mampu mewujudkan polemik sosial ini.

Bagi membendung masalah ini dari terus menjadi barah dalam kalangan remaja kita,amnya,langkah yang spesifik,drastik dan holistik perlu diimplementasikan sewajarnya agar pemasalahan ini dapat diatasi. Perkara pertama yang perlu diberi perhatian adalah peranan ibu bapa remaja itu sendiri ke arah menyediakan didikan yang cukup terhadap anak-anaknya. Didikan haruslah diterapkan sejak kecil lagi sesuai dengan peribahasa ‘melentur buluh biarlah daripada rebungnya’. Pendidikan yang diberikan haruslah seimbang dari aspek rohani dan jasmani supaya setelah dewasa kelak mereka mampu menghadapi segala anasir-anasir luar. Perhatian yang sepenuhnya juga harus diberikan agar anak-anak tidak terasa terabai dan dihargai. Pemerhatian juga perlu dilakukan sentiasa terhadap aktiviti kanak-kanak supaya terkecuali dari melakukan sebarang gejala negatif seperti seks bebas,seterusnya pembuangan bayi.

Akhir sekali,pihak kerajaan dan badan bukan kerajaan juga perlu bekerjasama untuk membantu mengurangkan masalah ini. Baru-baru ini,cadangan penubuhan ‘Tabung DNA’ merupakan satu langkah yang perlu disokong oleh seluruh rakyat kerana menerusi pelaksanaan ini,ibu bapa yang terlibat dalam kes pembuangan bayi akan lebih mudah untuk dikesan kerana setiap bayi yang dilahirkan akan diambil sampel DNAnya untuk simpanan pihak hospital. Selain itu,pihak Kementerian Pelajaran dengan kerjasama badan-badan bukan kerajaan perlulah menggiatkan lagi program-program kesedaran yang sedia ada bermula dari sekolah rendah lagi agar kesedaran timbul lebih awal dalam diri pelajar. Hai ini dikatakan mampu menjadi perisai kepada mereka kerana telah mempunyai maklumat tentang perkara yang sepatutunya dilakukan. Jika perlu,pengenalan subjek pendidikan seks juga boleh diambil kira.

Kesimpulannya,isu pembuangan bayi ini haruslah diberi perhatian yang sewajarnya oleh setiap pihak supaya gejala ini tidak terus-menerus menjadi barah yang mampu menjejaskan imej negara satu hari kelak. Segelintir rakyat kita seolah-olah telah hilang pedoman diri sehingga sanggup menganiayai nyawa bayi yang tidak berdosa. Segala agenda dan langkah yang telah dirangka oleh kerajaan haruslah difahami dan dilaksanakan oleh semua pihak agar gejala pembuangan bayi tidak lagi menjadi nanah yang terus mencengkam kehidupan masyarakat.

Dihasilkan oleh NurAfizatul Azwa (6 Atas Arif, 2010)

* Karangan ini bersifat autentik iaitu dihasilkan ketika peperiksaan akhir penggal , tanpa proses edit oleh guru.

PANDUAN MENULIS KARANGAN ( siri 1)

Ahad, 22 Mei 2011

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Suka saya nyatakan bahawa, perkara yang akan saya bincangkan sebentar lagi merupakan pandangan peribadi berdasarkan pengalaman saya sendiri sebagai bekas pelajar Tingkatan 6 dan sekarang sedang mengajar Bahasa Melayu Tingkatan 6.

Terlebih dahulu , selamat menimba ilmu saya ucapkan kepada pelajar Tingkatan 6 Rendah, pastinya anda merasai betapa berbezanya pengalaman menulis karangan SPM dan STPM.

Sesungguhnya, menulis karangan sepanjang 650-700 patah perkataan merupakan cabaran yang maha hebat bagi kalian namun, ia tidaklah sesusah yang disangkakan.

Tidak percaya? Indikator saya amat mudah.

Pertama, semai dan tanamkan minat dalam penulisan karangan/esei. Ya, itulah keutamaan jika mahu mencapai kecemerlangan dalam bahagian A. Minat mengarang juga mesti disertai dengan minat membaca bahan ilmiah .Tidaklah memadai sekadar mendengar dan menonton rancangan TV berbentuk ilmiah .Pengalaman membaca tidak sama walhasilnya dengan pengalaman mendengar kerana anda akan diuji menulis bukannya ujian lisan. Ingat, pengalaman membaca akan mencorak gaya penulisan anda, impaknya besar kerana anda akan memperoleh diksi, frasa, idea, teknik kupasan /pengembangan idea dan hujah yang menarik dan bervariasi. Percaya atau tidak, penglaman membaca bahan ilmiah secara konsisten akan membentuk anda menjadi seorang yang kritis. Pemikiran kritis inilah perlu ada dalam diri seorang penulis yang hebat. Penulis yang kritis dan kaya pengetahuannya , tidak perlu dipaksa untuk menulis kerana mereka tidak sabar-sabar untuk melontarkan idea akal fikir dan mewarnakannya dengan gaya bahasa menarik diatas kertas.Nah! secara tidak langsung, anda tahu bahawa tugas untuk menulis karangan tidaklah terlalu rigid dan jumud.

Perlu diingat bahawa, segala yang dibincangkan tadi hanyalah pra-syarat utama dalam penulisan karangan. Terdapat beberapa kriteria lagi yang perlu anda penuhi jika mahu menghasilkan karangan yang mantap dan memenuhi aspek pemeriksaan. Antaranya aspek tatabahasa, kerelevenan isi, pengolahan dan lain-lain. (aspek-aspek ini akan dibincangkan dalam penulisan entri yang akan datang. Insya-Allah)

Mungkin berlegar di benak pemikiran anda bahawa kaedah tadi hanya releven bagi segelintir pelajar yang memiliki asas bahasa yang sudah sedia mantap di peringkat SPM. Baik, saya akan ungkaikan persoalan tersebut dan jawapannya akan saya huraikan pada coretan entri yang akan datang. Akhir kalam, bukan senang nak senang, bukan susah nak susah.

Sekian. Wallahua'lam

UNODC Tampil Manual Anti Pemerdagangan Manusia Baru

Sabtu, 21 Mei 2011

BERNAMA
29 Ogos 2009

DUBAI, 29 Ogos (Bernama) -- Pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Khusus Membanteras Dadah dan Jenayah (Unodc) melancarkan manual baru yang disasar untuk menangani sebarang kelemahan yang terdapat di peringkat pengamal undang-undang jenayah, dalam usaha mencegah dan memerangi kegiatan pemerdagangan manusia. Manual baru itu dilihat muncul pada masa yang kritikal, ketika ekonomi dunia yang tidak menentu kini menyebabkan lebih ramai yang terdedah kepada kemungkinan menjadi mangsa jenayah pemerdagangan manusia ini, kata Pengarah Pejabat Untuk Memantau dan Memerangi Pemerdagangan Manusia, Jabatan Negara Amerika, Luis CdeBaca pada majlis pelancaran dokumen itu di Bangkok. "Manual Anti Pemerdagangan Manusia bagi Pengamal Undang-undang Jenayah" itu menerangkan mengenai langkah-langkah yang boleh diambil di setiap fasa dalam tindak balas perundangan terhadap jenayah pemerdagangan manusia, di samping menjadi panduan praktikal serta bahan latihan buat pengamal undang-undang jenayah," kata Unodc.

Dengan merujuk kepada laporan pada bulan Februari 2009, badan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) itu berkata walaupun jumlah sabitan kes-kes jenayah pemerdagangan manusia semakin meningkat, namun ia tidak dapat menandingi jumlah peningkatan jenayah itu secara keseluruhan. Badan itu berkata antara masalah yang membataskan jumlah sabitan dalam kes-kes ini ialah kurangnya unudang-undang anti pemerdagangan manusia di sesetengah negara, ketidakupayaan menterjemah aspek perundangan jenayah ini kepada tindakan-tindakan tegas oleh pegawai penguatkuasa, tanggapan salah apabila menyamakan pemerdagangan manusia dengan migrasi haram, serta keengganan mangsa untuk bekerjasama dengan pihak berkuasa akibat diugut. "Manual ini menampilkan respons kepada cabaran-cabaran ini dalam usaha menjayakan sabitan terhadap pesalah jenayah pemerdagangan manusia," kata Unodc. Antara lain ia menampilkan pengalaman sebenar lebih 45 hakim, pendakwa, penyiasat, ahli akademik dan wakil pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan dari seluruh dunia, yang membentuk satu kumpulan pakar menghasilkan manual itu. CdeBaca dilantik sebagai Pengarah Pejabat Untuk Memantau dan Memerangi Pemerdagangan Manusia, Jabatan Negara Amerika oleh Presiden Barack Obama pada bulan Mei lepas


Sumber: Engkabang.net.
Kredit : cikgu Zul

PEMERDAGANGAN MANUSIA

Khamis, 19 Mei 2011

NOTA : ISU PEMERDAGANGAN MANUSIA

Oleh MOHD. NA'EIM AJIS

Pensyarah Kolej Undang-Undang,
Kerajaan dan Antarabangsa, UUM
Utusan Malaysia
01.10.2009



AKTIVITI perdagangan manusia merupakan antara jenayah tertua. Ia juga dianggap sebagai suatu industri universal dan tidak tertakluk kepada satu-satu negara untuk beroperasi. Laporan Perdagangan Manusia (TIP) oleh Jabatan Negara Amerika Syarikat menganggarkan, kegiatan perdagangan manusia di negara itu melibatkan keuntungan antara AS$1 bilion hingga AS$3 bilion (RM3.5 bilion hingga RM10.5 bilion) setahun. Dianggarkan sekitar 600,000 hingga 800,000 orang menjadi mangsa sindiket perdagangan manusia dengan sekitar 14,500 hingga 17, 500 daripadanya diperdagangkan di AS setahun. Sementara itu, Pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Khusus Membanteras Dadah dan Jenayah (UNODC) menganggap perdagangan manusia sebagai industri jenayah yang menjana keuntungan sekitar AS$5 bilion hingga AS$9 bilion (RM17.5 bilion hingga RM31.5 bilion) setahun.




Isu perdagangan manusia kini menjadi antara fenomena yang mengancam banyak negara. AS telah menggubal undang-undang perdagangan manusia iaitu Akta Perlindungan Mangsa Penyeludupan dan Keganasan 2000. Akta itu telah memperluaskan konsep perdagangan manusia dan mengenakan hukuman berat ke atas mereka yang terlibat. Malaysia juga telah meluluskan Akta Antipemerdagangan Orang 2007 (ATIP) bagi menangani isu tersebut. Kewujudan akta ini telah memberikan kuasa kepada kerajaan untuk mendakwa dan mengenakan hukuman dengan peruntukan penjara sehingga 20 tahun dan denda sehingga RM500,000. Sejajar dengan pengenalan akta tersebut, kerajaan turut menubuhkan Majlis Antipemerdagangan Orang (MAO) yang berfungsi untuk menyelaraskan dasar dan melaksanakan ATIP.



Walaupun Laporan Antipemerdagangan Orang 2007 (TIP) oleh Jabatan Negara Amerika Syarikat meletakkan Malaysia sebagai antara 16 negara berprestasi buruk dalam menangani isu ini, kewujudan ATIP dan MAO akan membuktikan komitmen negara dalam usaha membanteras fenomena ini. Persidangan Serantau Mengenai Penyeludupan, Perdagangan Manusia dan Jenayah Antara Negara di Bali pada Februari 2002 telah menunjukkan komitmen bersepadu antara negara-negara Asia Pasifik. Persidangan itu sepakat untuk membentuk kerjasama terutama dalam aspek perkongsian maklumat, kepakaran dan undang-undang yang seragam bagi memastikan aktiviti tersebut dapat dibendung di peringkat akar umbi. Mereka juga menganggap penyeludupan dan perdagangan manusia bukan sahaja melanggar hak sesebuah negara malah ia menimbulkan pelbagai masalah selain menjejaskan hubungan diplomatik antara negara.



Namun begitu, dalam memperkatakan mengenai isu ini, ramai yang masih keliru di antara konsep penyeludupan dan perdagangan orang. Menurut UN Convention Transnational Organised Crime (2000), penyeludupan ialah apabila seseorang memasuki sesebuah negara secara haram dengan melakukan pembayaran dalam bentuk wang atau faedah lain kepada pihak-pihak tertentu. Sementara itu, Seksyen 2, Akta Anti Pemerdagangan Orang 2007 pula mendefinisikan perdagangan orang sebagai perekrutan, pengangkutan, pemindahan, pelindungan, penyediaan atau penerimaan seseorang bagi maksud eksploitasi.



Bagi pengertian eksploitasi pula Seksyen 2 telah mendefinisikan ia sebagai segala bentuk eksploitasi sama ada seks, kerja atau perkhidmatan paksa, perhambaan atau amalan yang menyerupai perhambaan, pengabdian atau aktiviti yang menyalahi undang-undang atau pemindahan organ manusia. Daripada definisi di atas, terdapat beberapa perbezaan ketara antara perdagangan dan penyeludupan manusia. Hubungan antara penyeludup dan orang yang diseludup akan berakhir apabila seseorang itu dihantar ke destinasi yang dikehendaki oleh mangsa dan unsur pengeksploitasian tidak perlu dibuktikan sebagai sabitan kepada kesalahan tersebut. Apa yang pasti penyeludupan orang akan melibatkan rentas sempadan sesebuah negara secara haram. Kesanggupan mangsa untuk membayar sejumlah wang menunjukkan bahawa migrasi mereka adalah benar-benar terdesak dan mereka menjangka mendapat keuntungan berlipat kali ganda di negara destinasi.



Pada 1993, seramai 300 imigran dari China telah diseludup ke New York dengan menggunakan kapal Golden Venture. Setiap mereka membayar sebanyak AS$30,000 hingga AS$40,000 kepada ejen penyeludupan. Kebanyakan mereka telah berjaya mengaut keuntungan sehingga mampu membina rumah besar dan mewah di negara asal. Perdagangan orang pula tidak semestinya mereka yang terlibat perlu merentas sempadan sesebuah negara tetapi ia juga boleh berlaku secara domestik. Contohnya dalam isu kerja paksa. Ia tidak semestinya melibatkan pekerja asing sahaja tetapi boleh diambil kira nasib pekerja tempatan yang dieksploitasi oleh majikan. Status kemasukan mangsa perdagangan orang boleh berlaku sama ada secara sah atau tidak. Tetapi bagi aktiviti penyeludupan statusnya sudah tentu tidak sah. Apa yang penting dalam isu perdagangan orang ialah wujudnya unsur-unsur eksploitasi dan paksaan terhadap mangsa.



Oleh itu, jika dilihat dalam kes Siti Hajar Sadli, pembantu rumah Indonesia yang dikatakan telah didera oleh majikan bukan sahaja boleh menggunakan peruntukan dalam Kanun Acara Jenayah (KAJ) tetapi juga peruntukan dalam Akta Antipemerdagangan Orang 2007 (ATIP). Kesalahan perdagangan orang tidak melibatkan unsur-unsur sukarela antara mangsa dengan orang yang memperdagangkan. Ia juga tidak melibatkan sebarang bentuk ganjaran atau caj perkhidmatan seperti aktiviti penyeludupan. Untuk tujuan pendakwaan dan sabitan, mangsa perlu dibuktikan telah dipaksa dan dieksploitasi. Unsur-unsur paksaan dan pengeksploitasian boleh wujud sama ada sebelum, semasa atau selepas proses perdagangan orang itu berlaku. Dengan itu, adalah sukar pihak berkuasa untuk bertindak pada peringkat awal kerana ia perlu menentukan mangsa telah dieksploitasi atau sebaliknya.



Bagaimanapun, tidak dinafikan aktiviti penyeludupan boleh menjadi proses awalan kepada aktiviti perdagangan manusia. Ini kerana selalunya kesalahan penyeludupan orang mempunyai potensi untuk menjadi sebahagian aktiviti perdagangan manusia. Justeru itu, apa yang perlu dilakukan oleh kerajaan dalam menangani isu ini ialah komitmen jitu dan pelaksanaan strategik supaya ia tidak menjadi "tin kosong" dalam meningkatkan kecekapan sistem penyampaian kerajaan. Pelaksanaan perlu dilengkapi dan disokong dengan aspek perundangan yang tersusun, kakitangan yang komited dan kewangan yang mantap. Ini kerana tanpa elemen-elemen tersebut adalah sukar untuk kerajaan mencapai sasaran yang telah ditetapkan dalam pelan induk mengenai antiperdagangan orang. Apa yang pasti mangsa-mangsa perlu diberikan perlindungan sebaik mungkin tanpa mengira agama, gender, bangsa dan negara asal.



Di samping itu, setiap negara juga perlu menandatangani memorandum perjanjian di bawah PBB supaya kos pemulihan dan penguatkuasaan boleh ditanggung bersama jika salah seorang - mangsa atau penjenayah - melibatkan rakyat mereka. Perjanjian itu akan membuatkan semua negara lebih serius untuk menangani isu ini. Oleh itu, aktiviti ini boleh disekat sejak dari negara sumber lagi dan mengurangkan beban kepada negara destinasi serta menggalakkan migrasi secara sah.

Sumber :   http://www.scribd.com/doc/35535473/DILEMA-PERDAGANGAN-MANUSIA

AYAT (SIRI 3)

Rabu, 18 Mei 2011

Ayat Perintah / Suruhan


ayat yang digunakan untuk menyuruh atau memerintah seseorang supaya ber­buat sesuatu atau melakukan sesuatu.

Contohnya: AmbiIIah barang itu atau Jangan pergi.



Ayat Perintah Aktif

ayat perintah yang frasa kerjanya frasa kerja intransitif.

Contohnya: Pergilah atau Belajarlah atau Melompatlah atau Tersenyumlah.



Ayat Perintah Pasif

ayat perintah yang frasa kerjanya frasa kerja pasif.

Contohnya: Bacalah atau Bacalah buku itu.









Ayat Larangan Aktif

ayat perintah aktif yang disertai kata keterangan jangan atau usah.

Contoh­nya: Jangan pergi, Usahlah termenung, dan Tak usah mengganggu sesiapa.



Ayat Larangan Pasif

ayat perintah pasif yang disertai kata keterangan jangan atau usah.

Contoh­nya: Jangan ganggu gadis itu dan Usah risaukan hatinya.



Ayat Tunggal

ayat yang subjeknya hanya satu dan predikatnya hanya satu.

Contohnya: Kucing mengejar tikus itu.



Ayat Majmuk

ayat gabungan atau ayat pancangan yang terjadi atau berasal daripada dua atau beberapa ayat yang digabungkan atau dipancangkan.



Ayat Majmuk Gabungan

ayat yang terbentuk daripada sekurang-kurangnya dua ayat tunggal dan yang digabungkan dengan kata hubung se­perti atau, dan, lalu, maka, tetapi dan sebagainya.

Contohnya: Langit mendung lalu hujan pun turun.



Ayat Majmuk Pancangan

ayat yang berasal daripada dua atau beberapa ayat tunggal dan salah satu­nya dipancangkan pada ayat yang satu lagi.

Contohnya: Sebelum aku pergi ke Singapura, aku ingin berjumpa dengan ibu.



Ayat Majmuk Campuran

ayat majmuk yang terdiri daripada beberapa ayat gabungan serta ayat pancangan.

Contohnya: Ali serta kawannya sangat gembira kerana memperoleh markah yang sangat baik dalam peperiksaan.

BANDAR HILANG -FAKTA MENARIK BERKENAAN KESAN PEMANASAN GLOBAL

Selasa, 17 Mei 2011

Berikut merupakan fakta menarik berkenaan kesan-kesan pemanasan global dipetik dari sebuah surat khabar arus perdana.
Sumber : berita harian 18 Mei 2011.

Bandar 'hilang'


Oleh Mohamed Farid Noh

mfarid@bharian.com.my

2011/05/18


Paras air laut meningkat akibat pemanasan global ancam 7 kawasan di Malaysia




JOHOR BAHRU: Beberapa bandar di negara ini yang terletak di kawasan rendah, terutama berhampiran pantai berkemungkinan ditenggelami air laut dalam tempoh sembilan tahun akan datang berikutan fenomena paras air laut yang semakin meningkat akibat pemanasan global.
 
Jika fenomena itu berterusan secara konsisten dan tiada langkah pencegahan dirangka dari awal, antara kawasan berisiko tinggi ditenggelami pada tahun 2020 kelak ialah Batu Pahat, Melaka, Pulau Pinang, Miri, Klang, Selangor dan Pekan.
 
Kemungkinan mengenai kejadian itu ditemui pakar Fakulti Kejuruteraan Awam dan Alam Sekitar dari Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) hasil analisis data paras air laut yang direkodkan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) sejak 2004. Prof Ir Dr Abdul Aziz Abdul Samad yang juga Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) universiti itu, berkata data paras air laut yang dianalisis Pensyarah Jabatan Kejuruteraan Air dan Persekitaran, Dr Tan Lai Wai, mendapati sejak 2004 sehingga awal tahun ini, paras air laut negara meningkat secara purata 10 sentimeter (sm) setiap tahun.

AYAT AKTIF DAN AYAT PASIF

Isnin, 16 Mei 2011

Ayat Aktif

ayat yang subjeknya berperanan se­bagai pelaku dan jika ada objeknya maka objeknya itu berperanan sebagai penderita.

Contohnya: Bayi itu tidur atau Ali sedang membaca buku.



Ayat Pasif

ayat yang subjeknya berperanan se­bagai penderita kerana dikenai kesan kata kerja pasif. Contohnya: Buku itu (penderita) dibaca (kata kerja pasif) oleh Ali.

Ayat Pasif Diri Pertama

ayat yang terdapat kata kerja yang tidak berawalan men-. Kata kerja itu pula didahului oleh kata ganti diri pertama.

Contohnya: Buku itu sudah saya baca.



Ayat Pasif Diri Kedua

ayat yang terdapat kata kerja yang tidak berawalan men-. Kata kerja itu pula didahului oleh kata ganti diri kedua.

Contohnya: Wang itu hendaklah kau­simpan di dalam bank.



Ayat Pasif Diri Ketiga

ayat yang terdapat kata kerja pasif berawalan di-. Kata kerja itu pula diikuti frasa sendi yang terbentuk daripada kata sendi oleh serta frasa nama sebagai objeknya. Kata sendi oleh boleh di­gugurkan.

Contohnya: Dia dikejar oleh anjing atau Dia dikejar anjing.



Ayat Pasif Biasa

ayat pasif yang subjeknya di depan dan predikatnya di belakang.

Contoh­nya: Buku itu sudah saya baca.



Ayat Pasif Songsang

ayat pasif yang predikatnya di depan dan subjeknya di belakang.

Contohnya: Sudah saya baca (predikat) buku itu (subjek).



Ayat Perintah / Suruhan

ayat yang digunakan untuk menyuruh atau memerintah seseorang supaya ber­buat sesuatu atau melakukan sesuatu.

Contohnya: AmbiIIah barang itu atau Jangan pergi.



Ayat Perintah Aktif

ayat perintah yang frasa kerjanya frasa kerja intransitif.

Contohnya: Pergilah atau Belajarlah atau Melompatlah atau Tersenyumlah.



Ayat Perintah Pasif

ayat perintah yang frasa kerjanya frasa kerja pasif.

Contohnya: Bacalah atau Bacalah buku itu.









Ayat Larangan Aktif

ayat perintah aktif yang disertai kata keterangan jangan atau usah.

Contoh­nya: Jangan pergi, Usahlah termenung, dan Tak usah mengganggu sesiapa.



Ayat Larangan Pasif

ayat perintah pasif yang disertai kata keterangan jangan atau usah.

Contoh­nya: Jangan ganggu gadis itu dan Usah risaukan hatinya.

AYAT (siri 2)

Sabtu, 14 Mei 2011

Ayat Songsang


ayat yang predikatnya dikedepankan dan subjeknya dikebelakangkan.

Con­tohnya: Habislah wang saya atau Akan saya baca buku itu.



Ayat Songsang Terbahagi

ayat songsang yang predikatnya terbahagi iaitu satu di depan dan satu lagi di belakang dan subjeknya di tengah.

Contohnya: Tidak ke Iaut / nelayan itu / hari ini atau Telah saya terima / wang itu / daripadanya.



Ayat Penyata

ayat yang diucapkan dengan maksud membuat sesuatu penyataan atau memberikan keterangan tentang sesuatu hal, biasanya diakhiri dengan tanda noktah (.).

Contohnya: Orang itu guru atau Orang itu bukan guru atau Dia belum datang dan sebagaiiiya



Ayat Tanya

ayat yang dimaksudkan untuk menanyakan sesuatu.

Contohnya: Namanya siapa?



Ayat Tanya Biasa

ayat tanya yang subjeknya di depan dan predikatnya di belakang.

Contohnya: Orang itu siapa?



Ayat Tanya Songsang

ayat tanya yang predikatnya dikedepan­kan dan subjeknya dikebelakangkan.

Contohnya: Siapakah orang itu?

AYAT (siri1)

Jumaat, 13 Mei 2011

Ayat


bentuk bahasa yang terjadi dengan adanya sekumpulan kata yang tersusun kepada dua bahagian, iaitu subjek dan predikat.

Contohnya: Orang itu (subjek) guru (predikat).



Ayat Inti

ayat yang paling sederhana bentuknya dan menjadi dasar bagi ayat-ayat lain yang tidak terhitung banyaknya.

Contoh­nya: Rumah itu cantik sekali.



Ayat Transformasi

ayat yang berubah bentuknya daripada bentuk ayat inti yang menjadi asal atau dasarnya. Misalnya, ayat pasif, ayat tanya dan ayat perintah ialah ayat transformasi. Demikianlah juga ayat gabungan atau ayat pancangan.



Ayat Biasa

ayat yang subjek di depan dan pre­dikatnya di belakang.

Contohnya: Adik (subjek) tidur (predikat).

Pengurusan tak efisien punca kemusnahan alam sekitar

Khamis, 12 Mei 2011

Oleh Mohd Nazifi Nawawi

Kepesatan pembangunan tanpa perancangan strategik penyebab pencemaran, jejas kualiti hidup

Dalam usaha mengejar kemajuan dan meningkatkan taraf hidup penduduk, kegiatan ekonomi dan projek pembangunan sesebuah negara, tidak dapat dielakkan. Namun, timbul pula kesan negatif kepada alam sekitar daripada proses pembangunan dan pemodenan disebabkan manusia sering mengabaikan masalah alam sekitar yang timbul daripada proses pembangunan itu.

Semua kesan negatif ini semakin menggugat kesihatan manusia, sumber ekonomi dan kemandirian bumi. Untuk mengurangkan kesan negatif pembangunan ke atas alam sekitar, setiap aktiviti ekonomi dan pembangunan mesti diseimbangkan dengan usaha pengurusan dan pemeliharaan alam.




Pencemaran boleh ditakrifkan sebagai 'pembuangan benda atau bahan hasil daripada aktiviti manusia ke alam persekitaran yang akan menyebabkan terganggunya keselesaan atau kemandirian kehidupan'.

Takrifan pencemaran berdasar Akta Kualiti Alam Sekeliling, 1974 ialah 'pencemaran adalah sebarang perubahan sama ada secara langsung atau tidak langsung kepada sifat fizik, kimia, biologi atau aras radiasi mana-mana bahagian alam sekeliling dengan melepas, mengeluar atau meletakkan buangan hingga menjejaskan kegunaan berfaedah, yang menimbulkan sesuatu keadaan berbahaya atau mungkin berbahaya kepada kesihatan, keselamatan atau kebajikan awam atau organisma lain, tumbuhan dan haiwan."

Konsep pencemaran amat bergantung atau bersandar kepada sesuatu nilai atau pengukuran ditetapkan ke atas sesuatu faktor yang menimbulkan pencemaran itu sendiri. Tanpa nilai ini, konsep pencemaran menjadi kabur.

Misalnya, sungai menjadi tercemar hanya apabila didapati daripada pengukuran bahawa kandungan sesuatu bahan kimia di dalam sungai terbabit melepasi paras bahaya. Pencemaran dapat dikategorikan kepada pencemaran air, udara, bunyi dan tanah.

Pencemaran air bermaksud perubahan yang berlaku dari segi kandungan, keadaan dan warna sehingga tidak sesuai dan akan memberikan kesan terhadap manusia apabila digunakan. Pencemaran ini berlaku sama ada dari segi biologi dan kimia. Bahan pencemar pula boleh didapati dalam pelbagai bentuk iaitu gas, cecair dan pepejal.

Pencemaran air boleh berlaku di mana-mana saja tempat berair seperti sungai, laut, tasik dan kolam. Oleh itu, pencemaran air adalah pencemaran yang begitu meluas kerana sebahagian besar bumi diliputi air.

Pembuangan bahan buangan seperti sampah, minyak dan najis oleh sesetengah pihak atau individu adalah penyumbang kepada pencemaran air. Selain itu, penerokaan kawasan untuk tujuan pembangunan dan pembinaan juga menjadi punca pencemaran air.

Penerokaan dijalankan akan menyebabkan hakisan tanah berlaku dan seterusnya hakisan tanah ini akan memasuki sungai.

Mendapan akan terbentuk di mana mendakan ini akan menyebabkan paras sungai semakin cetek dan ia boleh meningkatkan risiko berlakunya pula banjir. Punca pencemaran air yang lain ialah daripada sisa bahan buangan industri seperti sisa toksik yang dibuang oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

Pemilik industri membuang sisa industri mereka ke dalam sungai kerana ini adalah jalan mudah dan cepat kerana tidak memerlukan kos pelupusan untuk sisa terbabit. Sikap tidak bertanggungjawab dan mementingkan keuntungan semata-mata, membutakan hati dan perasaan manusia terhadap alam sekitar.

Pengusaha industri umpamanya berusaha menjimatkan kos dengan mengambil jalan mudah membuang sisa industri ke dalam sungai walaupun menyedari kesannya terhadap sungai. Selain itu, kekurangan pengetahuan menyebabkan pemilik industri tidak mengambil berat serta cuba mengelak piawaian keselamatan ditetapkan sama ada berhubung dengan keselamatan manusia atau kestabilan alam sekitar.

Pembangunan tidak boleh dipersalahkan sebagai punca kemusnahan alam sekitar kerana pembangunan diperlukan untuk sesebuah ketamadunan yang maju. Sebaliknya, masalah dan kesan negatif yang timbul daripada pengurusan alam sekitar yang tidak efisien dan tidak berkesan perlu dipandang berat kerana sungai adalah sumber air paling utama.

Kepesatan pembangunan industri, perumahan dan pembukaan tanah baru menyebabkan banyak sungai yang hilang keupayaan untuk memainkan peranan semula jadinya. Sekiranya fenomena ini berterusan, tidak mustahil rangkaian sungai di seluruh negara akan tercemar.

Pencemaran udara pula berlaku apabila wujud bendasing dalam kepekatan udara yang mengganggu atau membahayakan manusia, tumbuh-tumbuhan, haiwan dan harta benda. Bendasing ini dalam bentuk habuk, asap, kabus, wap dan pelbagai jenis gas (antaranya karbon monoksida, nitrogen oksida, hidrokarbon dan sulfur oksida) atau sebarang campuran bahan ini.

Antara punca pencemaran udara adalah asap kenderaan diikuti stesen jana kuasa, pembakaran bahan api industri, pemprosesan industri dan pembakaran terbuka. Perokok yang menghembuskan asap rokok dan pembakaran sisa buangan di kawasan perumahan secara tidak terkawal juga memberi kesan kepada pencemaran udara.

Pembangunan tanpa perancangan yang strategik boleh membawa kesan buruk yang akan mengancam kualiti alam sekitar. Jumlah kenderaan di seluruh negara didapati meningkat hampir dua kali ganda sejak 1980. Keadaan ini berbahaya kepada alam sekitar kerana gas karbon monoksida daripada asap kenderaan boleh menjejaskan kesihatan manusia dan juga menipiskan lapisan ozon. Pencemaran alam sekitar melalui pencemaran udara ini ditimbulkan oleh sikap manusia itu sendiri.

Pencemaran bunyi ialah bunyi bising yang keterlaluan sehingga menyakitkan telinga. Antara puncanya ialah bunyi kenderaan bermotor. Pada kebiasaannya, setiap model kenderaan bermotor dicipta mengikut piawaian di bawah paras bahaya pencemaran bunyi. Namun, ada segelintir masyarakat yang gemar mengubah tahap bunyi kenderaan mereka sehingga menimbulkan ketidakselesaan orang awam.

Selain itu, industri juga adalah penyumbang ke arah pencemaran bunyi di mana bunyi ini datangnya daripada penggunaan jentera dan kenderaan. Industri yang berdekatan dengan kawasan perumahan dan tidak memenuhi syarat ditetapkan, akan menyebabkan pencemaran bunyi kepada penduduk terbabit. Aktiviti kuari juga menyumbang kepada pencemaran bunyi menerusi bunyi pemecahan batu, penggerudian dan pemunggahan batu ke lori.

Pencemaran tanah bermaksud perbuatan yang berlaku kepada sesuatu kawasan sehingga terjadinya perubahan warna, kesuburan dan hakisan. Pencemaran ini disebabkan bahan buangan sama ada dalam bentuk cecair atau pepejal. Bahan pencemar pula terdiri daripada pencemar organik dan kimia.

Antara punca pencemaran tanah ialah pembuangan bahan buangan daripada industri seperti minyak, sisa toksik dan sisa industri, pembuangan sampah merata-rata serta penggunaan racun serangga secara berlebihan.

Tidak dinafikan, ada manusia yang jarang menghargai nilai semula jadi flora dan fauna yang sangat menarik dan indah. Penebangan pokok dan industri pembalakan di kawasan terbabit, kononnya untuk menggerakkan industri hiliran bagi membangunkan ekonomi negara, memberi kesan negatif terhadap alam sekitar. Kesan penebangan mengubah sama sekali rupa bentuk di kawasan berkenaan.

Pencemaran tanah juga memberi kesan ke atas aktiviti manusia. Jika hampir kesemua tempat dicemari, manusia sudah tidak berpeluang lagi untuk melihat keindahan alam ini. Tanah yang dicemari tidak sesuai lagi untuk dijalankan aktiviti pertanian kerana bahan pencemar kimia akan membunuh dan mengganggu tumbesaran tumbuhan yang ditanam.

Penukaran tanah daripada hutan kepada pertanian menyebabkan berlakunya penebangan hutan secara meluas. Selain mengurangkan jumlah hutan asal dan biodiversiti hutan dan hidupan liar, penebangan hutan ini juga turut menyumbang kepada hakisan tanah, pemendapan, kerosakan cerun dan tanah runtuh di Malaysia.

Penebangan hutan yang berterusan dan kemusnahan hutan di kawasan tadahan air akan menjejaskan bekalan air dan kualiti sumber air, menjejaskan kemampuan pengambilan air bawah tanah dan akan menyebabkan lebih banyak berlakunya banjir di kawasan tanah rendah.

Pembangunan yang tidak dirancang dengan berkesan seperti pembalakan dan pembukaan tanah secara berleluasa, akan memberi kesan buruk terhadap alam sekitar contohnya berlaku hakisan tanah, perubahan iklim, kesan kepada rumah hijau dan banjir.

Kesimpulannya, Malaysia sememangnya sebuah negara yang berkembang pesat serta maju dalam pelbagai bidang. Namun, dalam kepesatan pertumbuhannya itu, ramai yang tidak menyedari ia juga membawa kesan sampingan terhadap alam sekitar.

Sebenarnya, punca utama kemusnahan alam sekitar adalah hasil perbuatan manusia sendiri yang tidak mempunyai nilai peka terhadap isu alam sekitar. Sayang pada alam sekitar, patuh kepada undang-undang dan bertanggungjawab boleh membantu meminimumkan pencemaran alam sekitar. Manusialah yang perlu rasional menangani keadaan ini.

Penulis ialah Pegawai Kawalan Alam Sekitar, Lembaga Urus Air Selangor

mengitari

Rabu, 11 Mei 2011

maksud: mengelilingi

Ayat: Pagar duri mengitari kem tentera itu.