JUSTIFIKASI MENOLAK PENGGUNAAN ISTILAH BAHASA MALAYSIA BAGI MENGGANTIKAN ISTILAH BAHASA MELAYU

Rabu, 13 April 2011

Artikel ini diambil daripada Laman Semanggol.com (Profesor Emeritus Abdullah Hassan)

Url artikel: http://semanggol.com/index.php?option=com_content&view=article&id=471:mempertahankan-bahasa-melayu&catid=40:isu-budaya&Itemid=76
----------

JUSTIFIKASI MENOLAK PENGGUNAAN ISTILAH BAHASA MALAYSIA BAGI MENGGANTIKAN ISTILAH BAHASA MELAYU (untuk Jawatankuasa Memertabatkan Bahasa Melayu)


Disediakan oleh:
Abdullah Hassan (Profesor Emeritus), Universiti Pendidikan Sultan Idris
Rusli Abdul Ghani, Dewan Bahasa dan Pustaka




ISUNYA


Berikutan daripada Surat Pekeliling Kerajaan Malaysia (Tarikh ??) dan juga pemakluman pihak pentadbiran Malaysia supaya menggunakan istilah Bahasa Malaysia bagi menggantikan istilah Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan, timbullah bantahan daripada pihak-pihak yang bimbang tentang kesan buruknya. Bantahan ini termasuk daripada Dewan Bahasa dan Pustaka (Minit Mesyuarat Jawatankuasa Bahasa Melayu ke 52, tarikh?) Namun, tidaklah diketahui tarikh bantahan Dewan Bahasa dan Pustaka itu disampaikan kepada pihak berwajib.


Ada tiga sebab utama, dan beberapa sebab sampingan.







SEBAB-SEBAB UTAMA


1. Tidak Menghormati Perlembagaan Persekutuan


Adapun bahasa Melayu itu dengan jelasnya dikanunkan namanya dan peranannya dalam Perlembagaan Persekutuan (Malaysia) seperti dalam petikan berikut:


“...Perkara 152(1) Bahasa Kebangsaan ialah bahasa Melayu dan hendaklah (ditulis) dalam tulisan yang diperuntukkan melalui undang-undang oleh Parlimen…”


Ini adalah nama yang sah bagi Bahasa Kebangsaan negara Malaysia. Sebagai suatu peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan, ia hanya dapat diubah melalui persetujuan Parlimen.


Perkara perubahan istilah nama bahasa Melayu ini kepada Bahasa Malaysia sebagai Bahasa Kebangsaan sudah dibangkitkan dalam mesyuarat Jawatankuasa Bahasa Melayu, Dewan Bahasa dan Pustaka. Wakil Jabatan Peguam Negara dalam Jawatankuasa tersebut memberi penjelasan, bahawa nama Bahasa Melayu yang dimaktubkan dalam Perlembagaan Persekutuan Malaysia tidak boleh diubah oleh sesiapapun, (hatta Perdana Menteri.) Ia hanya boleh diubah melalui persetujuan Parlimen. Dan sehingga kini keputusan sedemikian tidak pernah diambil oleh Parlimen.


Sebarang tindakan oleh mana-mana pegawai Kerajaan bagi mengubah istilah bahasa Melayu kepada bahasa Malaysia dengan tidak melalui Parlimen adalah tidak sah, malah dapat dikatakan sebagai tindakan yang bertentangan dengan peraturan Parlimen.


Oleh yang demikian, isunya bukanlah sama ada istilah Bahasa Melayu itu boleh digantikan dengan istilah Bahasa Melaysia, tetapi adalah kerana istilah bahasa Malaysia itu tidak wujud dalam Perlembagaan Persekutuan. Dan perkara yang tidak wujud itu tidaklah boleh diwujudkan melalui tindakan pentadbiran sahaja.


2. Hasrat Dalam Surat Pekeliling Am 1, 2006


Kandungan Surat Pekeliling A 1, 2006 jelas menyatakan sikap Kerajaan mempertahankan penggunaan istilah Bahasa Melayu.


Keratan daripada Surat Pekeliling Am Bilangan 1, 2006




SURAT PEKELILING AM BILANGAN 1 TAHUN 2006, KERAJAAN MALAYSIA
JABATAN PERDANA MENTERI, MALAYSIA


Ruj. Kami PM (S) 10034, Jld.9 22
Tarikh: Disember 2005


Semua Ketua Setiausaha Kementerian
Semua Ketua J abatan Persekutuan
Semua Ketua Pengurusan Badan Berkanun Persekutuan
Semua Y.B. Setiausaha Kerajaan Negeri
Semua Ketua Pengurusan Pihak Berkuasa Tempatan


SURAT PEKELILING AM BILANGAN 1 TAHUN 2006


LANGKAH-LANGKAH MEMPERKASAKAN PENGGUNAAN BAHASA KEBANGSAAN DALAM PERKHIDMATAN AWAM


TUJUAN


Surat Pekeliling Am ini bertujuan memaklumkan akan langkah-langkah untuk memperkasakan penggunaan Bahasa Kebangsaan yang baik, betul dan santun, serta memperluas penggunannya secara menyeluruh dalam Perkhidmatan Awam, sesuai dengan perkembangdn dan kemajuan negara yang pesat pada masa ini.


LATAR BELAKANG


2. Perkara 152, Perlembagaan Persekutuan dan Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67, memperuntukkan bahawa bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan hendaklah digunakan sebagai bahasa rasmi dalam pentadbiran negara. Bahasa rasmi yang dimaksudkan ialah bahasa yang digunakan dalarn semua maksud rasmi yang meliputi wacana lisan dan tulisan di peringkat Kerajaan Persekutuan, Kerajaan-Kerajaan Negeri, Badan-Badan Berkanun dan Pihak Berkuasa Tempatan. Wacana lisan rasmi termasuklah mesyuarat, taklimat, ucapan, cerarnah, syarahan, perbincangan pentadbiran dan yang seumpama dengannya. Wacana tulisan rasmi pula meliputi surat-menyurat pentadbiran, minit mesyuarat, memo, laporan, kertas cadangan, pekeliling dan sebagainya. Bahasa yang digunakan di tempat awam seperti pada papan iklan, papan tanda dan premis pemiagaan juga terangkum sebagai bahasa yang digunakan dalam urusan rasmi.




..............................................


(TAN SRI SAMSUDIN BIN OSMAN)
Ketua Setiausaha Negara






3. Asas Identiti Bangsa Dan Kaum


Salah satu daripada ciri yang dianggap asas dalam identiti sesuatu kaum atau bangsa, adalah bahasanya, di samping bangsanya, agamanya, wilayahnya, dan bentuk jasadnya.


Apabila kita menghilangkan satu daripada ciri asas ini (dengan menukar namanya), kita menyentuh sesuatu yang paling sensitif dalam identiti atau jati diri Melayu. Ini adalah suatu tindakan yang tidak bijak.


Isu ini jelas tidak bijak apabila, nama bahasa lain masih kekal. Orang Cina kekal dengan bahasa Cinanya, orang India (Tamil) dengan bahasa Tamilnya (walaupun tidak semua menuturkan bahasa Tamil.) Tetapi orang Melayu sudah hilang suatu ciri identitinya. Ini tentulah tidak adapat diterima oleh orang Melayu.


Malah, tindakan ini sudah ditafsirkan oleh orang Melayu sebagai menghilangkan jati dirinya sebagai peribumi atau penduduk asal daerah Melayu ini, dan dalam tindakan yang sama kita mengekalkan dan menebalkan ciri-ciri jati diri kaum Cina dan India. Adalah sangat diragukan, walaupun pada persepsi, yang bangsa Malaysia itu akan lahir daripada dasar begini. Akibatnya, Cina menjadi lebih Cina, India menjadi lebih India, dan Melayu menjadi lebur.


Tidak akan ada mana-mana bangsa yang mahu identitinya dicalar.




FAKTOR-FAKTOR SOKONGAN


Ada beberapa faktor lain yang juga menyokong bantahan penggunaan Bahasa Malaysia menggantikan Bahasa Melayu.


4. Dari Sudut Sejarah Bahasa


Bahasa Melayu adalah ahli kepada keluarga bahasa Austronesia yang sangat luas taburan wilayahnya: dari Pulau Easter di timur hingga ke Pulau Madagaskar di barat; dari Taiwan di utara hingga ke New Zealand di selatan. Ini adalah wilayah bahasa daripada keluarga rumpun Melayu-Polinesia, yang sekarang dipanggil Austronesia. Keluarga bahasa Melayu-Polinesia ini mengisi seluruh Lautan Pasifik dan Lautan India,


Sebelum wujudnya negara “Malaysia”, bahasa Melayu sudah lama wujud bersama-sama penutur jatinya dan tersebar di seluruh pelosok Nusantara. Bahasa Melayu mempunyai tradisi tulisan yang lama dan berisi literatur yang setanding, bahkan lebih agung daripada beberapa bangsa dan bahasa Eropah. (Prof. Hein Steinheuer, Profesor Pengajian Melayu dan Indonesia dari Universiti Leiden mengatakan sastera klasik Melayu mempunyai ribuan manuskrip dalam tulisan jawi, manakala bahasa Belanda tidak mempunyai sebanyak itu.)


Tatkala epik Beowulf dikarang dalam bahasa Inggeris tua pada abad ke-8, teks Melayu paling tua (682 TM) sudah terukir dengan skrip Pallava pada batu yang ditemui di Palembang, Sumatera. Tatkala Chaucer mengarang The Canterbury Tales, dalam bahasa Inggeris abad pertengahan, pada penghujung abad ke-14, batu bersurat Terengganu (1302 TM) sudah terakam dengan tulisan Jawi yang berasaskan skrip Arab. Sezaman dengan ini juga, sudah dikarang Hikayat Bayan Budiman (1371 TM) dan Hikayat Raja Pasai (1390 TM). Tidak mungkin teks-teks ini, dan teks hikayat serta teks agama yang banyak dihasilkan dalam abad ke-13 dan ke-19 itu dikenali sebagai teks Bahasa Malaysia.


Keputusan mengubah nama Bahasa Melayu kepada Bahasa Malaysia ini akan menghilangkan sejarah kesarjanaan Melayu dalam dalam sebuah peradaban besar dan panjang.


Nota: Sudah ada seorang pensyarah sastera di universiti tempatan yang melahirkan ungkapan “sastera Bahasa Malaysia zaman empayar Melaka” ... Beliau diketawakan.


5. Daripada Sudut Geopolitik


Bahasa Melayu adalah bahasa yang menjadi asas Bahasa Kebangsaan untuk Negara Brunei Darussalam, Indonesia, Malaysia dan Singapura. Dengan demikian, bahasa Melayu merentasi sempadan geopolitik dan bersifat supranasional dengan neka bahasa yang sedikit berbeza, tetapi bukan pada asasnya, di masing-masing negara.


Selain daripada itu, lebih daripada sejuta penutur bahasa Melayu mendiami wilayah Thai Selatan, Selatan Flipina, dan Kemboja.


Di samping itu ada kelompok-kelompok Melayu diaspora di Sri Lanka, Afrika Selatan, Australia Barat, Makkah, dll. yang semuanya merujuk kepada bahasa yang menjadi sebahagian daripada ciri penting dalam identiti atau jati diri mereka itu adalah bahasa Melayu, bukannya bahasa Malaysia.


6. Mengelakkan Kekeliruan Dalam Bidang Kesarjanaan


Bahasa Melayu dikaji, diteliti, diajar dan dipelajari di universiti-universiti di England, Belanda, Jerman, Perancis, Rusia, Ukraine, Amerika Utara, China, Korea, Jepun, New Zealand, Australia dan lain-lain. Bahasa Melayu lebih bersifat global berbanding dengan Bahasa Malaysia. Bahasa Malaysia hanya berlaku di Malaysia dengan fungsi utamanya sebagai unsur pemersatu. Bahasa Melayu berada di serata dunia dengan peranannya sebagai bahasa ilmu, bahasa tamadun tinggi dan bahasa perhubungan antarabangsa, setidak-tidaknya di peringkat serantau.


Upaya kesarjanaan baik di dalam negeri mahupun di institusi luar negara, dari dahulu sehingga sekarang, tertumpu pada korpus Bahasa Melayu dan pengajian Melayu, bukannya Bahasa Malaysia dan sama sekali bukan “Pengajian Malaysia.”


KESIMPULAN


Bantahan keras terhadap tindakan menggantikan Bahasa Melayu dengan istilah Bahasa Malaysia ini memang tidak dapat dikuantifikasikan. Namun ia perlu sangat diendahkan.


Sebenarnya ada banyak bantahan dalam kalangan pegawai Melayu dalam Kerajaan sendiri, tetapi oleh sebab 'takut' dikenakan tindakan maka bantahan mereka itu tidak kedengaran. Ada ramai juga ahli parti Kerajaan yang tidak setuju, namun mereka tidak bersuara atas kepentingan peribadi.


Namun, tidak akan ada mana-mana bangsa yang mahu identitinya dicalar. Oleh yang demikian, dalam usaha “memartabatkan” sesuatu bahasa, iaitu ingin meletakkan bahasa itu sebagai bahasa pengucapan peradaban, kita sebenarnya menyambung sebuah tradisi agung yang hidup dan berkembang beribu tahun lamanya. Tradisi ini tidak boleh diputuskan.


Kita mahu memartabatkan bahasa Melayu, bukannya bahasa Malaysia yang tidak ada tradisi seagung itu.