Mengajar + penerima, Mengajarkan + perkara

Selasa, 29 Jun 2010

Salah: mengajar puisi
betul: mengajarkan puisi (perkara)

Salah : mengajar karangan
Betul : mengajarkan karangan (perkara)

Salah : Cikgu Fuad mengajar bahasa Melayu
Betul : Cikgu Fuad mengajar kami (penerima) bahasa Melayu.

Salah : Cikgu Ana akan mengajar karangan esok.
Betul : Cikgu Ana akan mengajar kami (penerima) karangan esok.

Sumber : Pelita bahasa

Berdasar pada atau berdasar kepada

Penggunaan yang betul: berdasar pada (bergantung pada)

-Penggunaan kata sendi nama pada pula digunakan untuk menunjukkan maksud sandaran, seperti bergantung pada, atau berdasar pada.

-manakala kata sendi nama kepada membawa maksud sasaran, seperti "mengirim surat kepada..... " atau "surat ini ditujukan kepada..."

PANDUAN MENJAWAB BAHAGIAN D

Isnin, 14 Jun 2010

Bagi pelajar-pelajar prauniversiti yang berada di Tingkatan 6 Atas, soalan ini sudah biasa anda jawab, tetapi bagi pelajar-pelajar prauniversiti yang baru memulakan pengajian di Tingatan 6 Bawah, soalan ini sudah tentu agak asing bagi anda. Bagi pelajar-pelajar praunversiti yang baru, soalan ini tiada pilihan dan mesti dijawab iaitu Soalan 8. Walaupun jumlah markah bagi soalan ini cuma 15, tetapi calon-calon perlu memberikan perhatian juga terhadap soalan ini kerana boleh membantu calon untuk meningkatkan markah Kertas 2. Selain itu, soalan ini juga kebiasaannya agak mudah dan tidaklah terlalu sukar untuk dijawab. Jadi, para pelajar perlulah membuat latihan yang bersistematik dan berterusan terutamanya berdasarkan soalan yang pernah ditanya dalam peperiksaan STPM. Antara jenis kesalahan bahasa yang popular dan biasa ditanya dalam soalan STPM ialah kesalahan dalam aspek morfologi dan sintaksis iaitu:

• Pengimbuhan, termasuklah imbuhan pinjaman seperti pra, dwi, dan anti
• Kata Ganti Nama Diri Pertama, Kedua dan Ketiga, Kata Ganti Tunjuk, Kata Ganti Tak Tentu, pemilihan kata yang sesuai (Diksi), Kata Hubung, Kata kerja Transitif dan Tak Transitif, Kata Sendi, Kata Penguat, dan Kata Pemeri
• Kata Majmuk, Kata Ganda, Hukum D-M, dan penjodoh bilangan.
• Frasa Sendi, Frasa Kerja Pasif, dan ayat tiada subjek (ayat tergantung).

Panduan umum untuk menjawab soalan Analisis Kesalahan Bahasa adalah seperti yang berikut:

1. Baca ayat-ayat dalam petikan itu sepintas lalu dan kenal pasti kesalahan bahasanya. Tandakan kesalahan-kesaslahan bahasa yang telah anda kenal pasti itu. Kenal pasti kesalahan kata, frasa, dan ayatnya. Kesalahan yang popular ialah kesalahan kata.
2. Biasanya terdapat sekurang-kurangnya 5 kesalahan bahasa dalam ayat-ayat tersebut dan kadang-kadang terdapat 6 hingga 7 kesalahan. Walau bagaimanapun markah yang diperuntukkan cuma untuk 5 kesalahan sahaja.
3. Selepas kesalahan bahasa tersebut anda kenal pasti, buatlah jadual iaitu tiga ruangan atau lajur, iaitu untuk ruangan Kesalahan, Sebab Kesalahan, dan Pembetulan.
4. Untuk lajur Kesalahan, nyatakan kesalahan tersebut. Kemudian tulislah alasan kesalahan tersebut dalam lajur Sebab Kesalahan dan tulis pula pembetulannya dalam lajur Pembetulan.

Kesalahan Umum yang Biasa Dilakukan oleh Pelajar

- Jawapan tidak mengikut format, iaitu tidak ditulis di dalam jadual.
• Terlalu banyak sebab diberikan pada ruang Sebab Kesalahan menyebabkan pemeriksa sukar memahaminya.
• Ada juga Sebab Kesalahan yang diberikan itu secara umum dan tidak jelas atau kurang tepat.
• Gagal menggunakan peluang untuk mencari kesalahan ayat yang lebih daripada 5 kesalahan yang diminta.
• Terlalu banyak kesalahan bahasa yang disenaraikan. Sebenarnya yang betulpun dikatakan salah.

Kekeliruan tentang Rumusan Karangan STPM

Bagi pelajar Tingkatan 6 Bawah atau Prauniversiti Bawah, soalan rumusan mungkin masih mengelirukan mereka. Hal ini demikian kerana, murid-murid masih terpengaruh oleh soalan Rumusan SPM. Mereka lebih cenderung untuk mencari isi tersurat dan tersirat. Namun , nota ini juga mesti dibaca oleh pelajar Tingkatan 6 atas sebagai mengukuhkan pengetahuan.

Oleh itu, murid-murid perlulah membiasakan diri dengan soalan Rumusan STPM dan menyesuaikan format soalan Rumusan Karangan STPM.

Murid-murid hendaklah melupakan soalan Rumusan SPM dan memberikan fokus atau tumpuan terhadap Rumusan Karangan STPM. Dalam soalan Rumusan STPM, murid-murid perlu mencari Isi Utama, Isi Sokongan, dan Kesimpulan. Dalam soalan Rumusan SPM. murid-murid sudah diberikan fokus isi tersurat dan tersiratnya. Murid-murid juga perlu menulis pendahuluannya di samping kesimpulan yang perlu difikirkan sendiri oleh pelajar.

Bagi soalan Rumusan Karangan STPM pula, murid-murid tidak perlu memikirkan isi-isi tersiratnya. Semua isi, iaitu sama ada Isi Utama, Isi Sokongan atau Kesimpulan perlu dicari dan diambil daripada petikan yang disediakan. Perkara penting yang perlu diberikan penekanan oleh murid-murid ialah mencari Isi Utama yang tidak dinyatakan dalam soalan. Isi Utama mestilah dicari daripada perenggan pertama petikan. Selain itu, Isi Utama itu juga perlu penerangan dan penjelasan ringkas berdasarkan huraian dalam petikan.

Isi Sokongan pula perlu dicari dan diambil daripada perenggan-perenggan lain dalam petikan tersebut. Setiap Isi Sokongan juga memerlukan huraian atau penerangan ringkas. Kebiasaannya, terdapat 5 hingga 6 Isi Sokongan daripada setiap petikan Rumusan Karangan. Isi Sokongan merupakan isi-isi lain yang menyokong Isi Utama.

Setelah mendapat 5 atau 6 Isi Sokongan, murid-murid perlu mencari Isi Kesimpulannya pula yang terdapat dalam perenggan akhir petikan. Isi Kesimpulan juga memerlukan huraian atau penerangan ringkas yang perlu diambil daripada petikan.

Perbandingan antara Rumusan Karangan STPM dengan Rumusan SPM

1. STPM - Tiada fokus soalan
SPM - Ada fokus soalan
2. STPM - Tiada isi tersirat – semua isi ada dalam petikan
SPM - Ada isi tersirat
3. STPM - Ada isi Utama
SPM - Ada pendahuluan
4. STPM - Ada isi Sokongan
SPM - Ada isi tersurat dan tersirat
5. STPM - Ada isi Kesimpulan
SPM - Ada kesimpulan
6. STPM - Setiap isi perlu disokong dengan hujah atau bukti berdasarkan petikan
SPM - Isi perlu ringkas dan padat
7. STPM - Jumlah perkataan 180 – 190 perkataan
SPM - Jumlah perkataan tidak melebihi 120 perkataan
8. STPM - Perlu ditulis dalam 3 perenggan
SPM - Tiada format khusus tentang perenggan

CORETAN CUTI

Ahad, 6 Jun 2010

Cuti penggal pada tahun ini terlalulah panjang tempohnya. Menghitung hari untuk menghabiskan cuti dan menyemak kertas ujian. Merisik khabar pelajar nun disana, LaMaCu apa khabarnya ? Jawablah latihan tersebut seperti anda menjawab kertas STPM sebenar.