TEKNIK MERUMUSKAN KARANGAN

Selasa, 13 April 2010

LANGKAH PERTAMA: MEMBACA PETIKAN KARANGAN

Langkah pertama ialah membaca petikan karangan yang diberi dan memahami kandungannya. Bagaimanakah caranya membaca petikan karangan yang diberi?
Bagaimana pula cara untuk memahami petikan itu?

a. Mengenal erti perkataan-perkataan

b. Mengenal organisasi dalam karangan atau bagaimana idea-idea disusun oleh penulisnya


d. Keupayaan berfikir secara logik

1. Sebelum memulakan bacaan sesebuah petikan karangan, antara soalan yang mungkin ditanya ialah:

a. Adakah pembacaan itu untuk mengetahui sama ada bahan itu menarik atau tidak, patut dibaca dengan teliti atau tidak atau perlukah ditolak sahaja bahan bacaan itu kerana tidak perlu ketika itu?

b. Adakah pembacaan ketika itu semata-mata untuk mencari dan mendapatkan maklumat tertentu dengan secepat mungkin?

c. Adakah pembacaan untuk kefahaman yang seluruhnya supaya bahan yang dibaca dapat diingat dengan baik?

d. Adakah pembacaan itu dibuat untuk mengesan binaan-binaan karangan untuk kemudiannya dirumuskan?

e. Apakah tujuan pembacaan itu dibuat? Untuk mendapat maklumat, untuk menelaah, untuk membuat rumusan, untuk peperiksaan dan sebagainya?


2. Semasa membacanya pula, antara soalan yang mungkin ditanya ialah:

a. Apakah agaknya yang dihuraikan oleh penulis dalam karangannya?

b. Adakah penulis menghuraikan sesuatu seperti yang telah disangka oleh pembaca?

c. Adakah penulis mengajak pembaca berfikir secara mendalam tentang sesuatu hal atau adakah dia menghuraikan sesuatu tentang apa yang sudah pun diketahui oleh pembaca?

d. Bagaimanakah penulis mengorganisasikan tulisannya? Bagaimanakah pemerengganannya? Bagaimanakah isi utama dan isi-isi sampingan ditampilkan?
Bagaimana pula kesimpulannya?

e. Adakah penulis membuat kesimpulan yang muktamad, memberi suatu tafsiran
yang sempit atau sebaliknya, adakah dia memberi peluang kepada pembaca
membuat tafsiran sendiri?

3. Selepas membaca teks ,soalan-soalan yang mungkin ditanya ialah:

a. Dapatkah diceritakan semula atau dihuraikan semula kepada diri sendiri atau kepada orang lain tentang apa yang dibaca.

b. Dapatkah diberi satu tajuk bagi satu perenggan, bagi keseluruhan teks ataupun bagi sesuatu berita yang telah dibaca?

c. Dapatkah diingati isi-isi sampingan dan juga detail-detail, jika dirasakan perlu?

d. Jelaskan bagaimana idea-idea dalam teks itu terjalin hingga menjadi satu kesatuan?

e. Dapatkah isi yang telah dibaca itu disusun semula?

f. Dapatkah dirumuskan apa yang telah dibaca?


LANGKAH KEDUA: MENGANALISIS BINAAN KARANGAN

Telah dinyatakan sebelum ini bahawa sesebuah karangan akan terbina daripada tiga bahagian, iaitu bahagian pendahuluan, bahagian tubuh, dan bahagian penutup atau kesimpulan.

Biasanya para pelajar tidak menghadapi masalah untuk mengenal pasti isi utama
dan kesimpulan sesebuah karangan yang diberi. Masalah utama para pelajar ialah untuk menentukan isi-isi sampingan karangan itu. Antara bentuk isi-isi sampingan ialah;

a. Fakta
b. Pendapat
c. Perbandingan
d. Contoh atau kes
e. Pendapat penulis
f. Definisi

g. Pengalaman peribadi
h, Huraian mendalam
i. peribahasa



Panduan untuk memilih isi sampingan yang dikemukakan oleh Abdullah Hassan (1993) boleh digunakan oleh para pelajar.

i. Ambil satu contoh atau kes sahaja (yang dianggap paling penting) jika
terdapat lebih daripada satu contoh atau kes dalam karangan.

ii. Ayat-ayat yang memberi penjelasan lanjut terhadap sesuatu pendapat tidak
perlu diambil isinya.

iii Jenis-jenis isi sampingan yang perlu dikekalkan ialah:

a. Fakta-fakta utama
b. Contoh atau kes utama
c. Pendapat
d. Perbandingan

iv. Jika petikan karangan yang diberi tidak mengandungi banyak isi sampingan yang penting, barulah isi-isi sampingan yang kurang penting dimasukkan. Pemasukan isi-isi sampingan yang kurang penting itu perlulah dibuat berdasarkan keutamaan peranannya dalam karangan.

v. Apabila teks asal mengandungi banyak isi, cara mengeluarkan isi ialah
dengan mengekalkan isi-isi yang amat penting dan diikuti isi-isi penting,
dan diikuti kurang penting jika ada ruang.



LANGKAH KETIGA: MENULIS RUMUSAN KARANGAN

Ayat pertama yang perlu ditulis ialah isi utama karangan

Para pelajar perlu menggunakan perkataan atau ayat-ayat sendiri sewaktu menulis rumusan

Seelok- eloknya isi utama itu hendaklah ditulis dengan bahasa yang mudah supaya mudah difahami oleh pembaca.

Selepas menuliskan isi utama, barulah anda beralih kepada isi-isi sampingan.

Daripada pelbagai isi sampingan yang ada, pilihlah isi sampingan yang paling penting, diikuti yang penting, dan seterusnya jika ada ruang, isi yang kurang penting.

sebaik-baiknya isi-isi sampingan itu ditulis dalam sebuah perenggan.

Terdapat petikan karangan yang tidak mempunyai kesimpulan. Jika demikian para pelajar hendaklah menulis kesimpulan sendiri berdasarkan persoalan-persoalan yang dikemukakan dalam karangan tersebut.

LANGKAH KEEMPAT: MENYEMAK RUMUSAN KARANGAN

Langkah menyemak semula karangan amat penting, terutamanya untuk mengelakkan markah bahasa rumusan menjadi terlalu rendah.

Kesilapan ejaan perkataan, penggunaan ayat, tanda bacaan, imbuhan, dan segala aspek kebahasaan akan dapat diperbetulkan dengan membuat semakan ini.

Tanpa semakan, kesilapan itu akan menyebabkan markah bahasa rumusan para pelajar menjadi kurang.

Selain itu, para pelajar juga dapat memastikan panjang rumusan karangan itu menepati jumlah perkataan yang dikehendaki.

Seandainya jumlahnya lebih, maka dalam semakan ini pemotongan rangkai kata atau perkataan yang tidak perlu boleh dilakukan.

Sebaliknya jika jumlahnya terlalu kurang daripada batasan yang diberi, maka masa menyemak ini dapat digunakan untuk menambah isi-isi sampingan yang tertinggal.










Antara bentuk isi-isi sampingan ialah;

a. Fakta
b. Pendapat
c. Perbandingan
d. Contoh atau kes
e. Pendapat penulis
f. Definisi
g. Pengalaman peribadi
h, Huraian mendalam
i. Petikan
j. Perumpamaan, kata-kata hikmat, peribahasa.


Namun jenis-jenis isi sampingan yang boleh dikekalkan sebagai isi sokongan ialah :

a. Fakta-fakta utama
b. Contoh atau kes utama
c. Pendapat
d. Perbandingan

2 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

cikgu boleh tak tlg tunjukkan contoh? kadang petikan yg sy highligt sbgi isi rupanya contoh shja..tp apabila sy highlight petikan yg betul panjang plak isinya? takot jugak nak maen potong2 takot terpotong isi..cikgu tlg tunjukkan bgaimana cara untuk mengenali isi

Tanpa Nama berkata...

:)

Catat Ulasan