KEPUTUSAN STPM (2009) KEBANGSAAN DAN NEGERI

Jumaat, 26 Februari 2010

SMK St Paul kekal rekod





KUALA LUMPUR: Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) St Paul, Seremban terus mencatatkan keputusan cemerlang dalam keputusan peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) apabila lima pelajarnya mendapat Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) 4.0

Pengetuanya, Yap See Moi, berkata kejayaan lima pelajar itu membolehkan sekolah menerima anugerah daripada Jabatan Pelajaran Negeri Sembilan (JPNS) setiap tahun kerana berjaya mengekalkan rekod pencapaian cemerlang.

Katanya, beliau gembira dengan pencapaian sekolah yang diterajuinya dan berterima kasih terhadap semua guru dan pelajar yang berdedikasi dalam menunaikan tanggungjawab mereka.

Di IPOH, seramai 4,212 atau 95.75 peratus daripada keseluruhan 4,399 calon sekolah kerajaan di Perak mencatatkan keputusan lulus penuh.

Pengarah Pelajaran negeri, Mohd Radzi Abd Jabar, berkata 292 calon berjaya memperoleh 5P, 2,003 (4P), 866 (3P), 597 (2P) dan 454 (1P).

“Bilangan calon yang mendapat PNGK 4.0 pula berjumlah 48 orang, manakala 1,189 calon memperoleh PNGK antara 3.0 hingga 4.0 iaitu sebanyak 27.03 peratus daripada jumlah calon keseluruhan,” katanya.

Di KOTA BHARU, seramai 1,802 atau 27.52 peratus daripada 6,596 calon di Kelantan berjaya memperoleh keputusan 5P dalam keputusan peperiksaan STPM, berbanding 1,208 atau 20.51 peratus pada 2008.

Pengarah Pelajaran Kelantan, Mohd Ghazali Ab Rahman, berkata 20 daripada 56 sekolah bantuan kerajaan di negeri ini berjaya memperoleh kelulusan 100 peratus dalam STPM 2009, berbanding hanya 15 sekolah pada 2008.

Di KUCHING, keputusan peperiksaan STPM di Sarawak tahun lalu mengalami penurunan 0.16 peratus dengan seramai 5,228 calon atau 91.56 peratus lulus.

Pengarah Jabatan Pelajaran Sarawak, Datuk Dr Julaihi Bujang, berkata 16 calon mendapat A dalam semua mata pelajaran yang diambil dengan dua dari mereka dianugerahkan sebagai pelajar cemerlang Majlis Peperiksaan Malaysia.

Daripada jumlah mereka yang lulus, 77 calon mendapat keputusan lulus penuh 5P, 2,227 (4P), 1,202 (3P), 910 (2P) manakala 812 calon (1P).


Di KOTA KINABALU, Keputusan STPM di Sabah meningkat 1.68 peratus dengan 90.13 peratus calon atau 5,188 mendapat lulus penuh pada tahun lalu berbanding 88.45 peratus pada 2008.

Pengarah Pelajaran Sabah, Dr Muhyiddin Yusin, berkata daripada jumlah itu, 292 calon mendapat kelulusan penuh 5P, 1,898 orang (4P), 1,187 (3P), 968 (2P) dan 843 (1P).

Di KEDAH, 94.87 peratus daripada 3,506 calon yang menduduki STPM tahun lalu mendapat keputusan lulus penuh.

Pengarah Pelajaran Negeri, Shahidan Abd Rahman, dalam kenyataannya berkata, daripada keseluruhan keputusan itu, 18 calon berjaya memperoleh purata nilai gred keseluruhan (PNGK) 4.00.

“Pada tahun lalu, 14 sekolah mencapai kelulusan penuh 100 peratus dan sembilan daripadanya berjaya mencapai minimum PNGK 2.67 ke atas,” katanya.

Di KUANTAN, Pengarah Jabatan Pelajaran Pahang, Datuk Abdul Aziz Abdul Latiff, berkata 2,573 daripada 2,684 calon STPM 2009 di negeri ini mendapat kelulusan penuh sekurang-kurangnya satu mata pelajaran.

Beliau berkata, daripada jumlah itu, 401 calon atau 14.94 peratus lulus penuh 5P, meningkat sebanyak 4.7 peratus berbanding 256 calon (10.24 peratus) pada 2008.

Di KANGAR, seramai 547 daripada 598 calon yang menduduki STPM di Perlis tahun lalu, mencatat kelulusan penuh sekurang-kurangnya satu prinsipal.

Pengarah Pelajaran negeri, Mansor Lat, berkata jumlah itu yang mewakili 96.64 peratus daripada keseluruhan calon bukan saja meningkat 1.4 peratus, berbanding 2008, malah turut mengatasi pencapaian pe-ringkat kebangsaan iaitu 92.55 peratus.

Di JOHOR BAHRU, pencapaian pelajar dalam peperiksaan STPM 2009 di negeri ini yang mencapai keputusan cemerlang dengan PNGK 4.0 meningkat kepada 37 calon berbanding 34 orang pada tahun sebelumnya.

Pengarah Pelajaran Johor, Sufaat Tumin, berkata daripada 37 calon berkenaan, 24 daripada aliran sains manakala bakinya pelajar aliran sastera dan mereka adalah 5,221 calon yang lulus penuh atau sekurang-kurangnya mencapai satu prinsipal bagi mata pelajaran yang diambil atau 95.5 peratus.

0 ulasan:

Catat Ulasan