Bertegas Perkara 152

Sabtu, 20 Februari 2010

Oleh DR. MOHD RIDHUAN TEE

Saya bergegas pulang ke ibu kota pada 15.2.2010 untuk memenuhi jemputan Gapena, Kalam dan Pena sebagai panelis Wacana Peradaban Bahasa Melayu sempena Hari Pejuang Bahasa 152 di Dewan Bahasa dan Pustaka. Walaupun sedang bercuti Tahun Baru Cina, berpegang kepada prinsip bila mana berlaku pertembungan antara kepentingan negara dengan kepentingan bangsa, maka kepentingan negara mesti diutamakan.

Namun, alangkah hampa rasa hati kerana bilangan peserta yang hadir kurang dari 200 orang, sedangkan perkara yang dibincangkan merupakan masalah dasar negara. Di manakah sensitiviti kita sebagai warganegara di bumi tercinta ini? Tarikh 15.2 dipilih kerana mengambil roh perkara 152 Perlembagaan Persekutuan mengenai kedudukan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan. Pelik sungguh memikirkan, kenapa berforum membincangkan sesuatu yang telah menjadi dasar negara? Kenapa tidak dilaksanakan sejak dahulu lagi?

Sungguh amat terharu memberikan pandangan dalam forum sebegini, apatah lagi mendengar beberapa pandangan panelis gandingan. Maklumlah Bahasa Melayu selaku bahasa yang termaktub dalam Perlembagaan tidak terdaulat di bumi sendiri. Kita sibuk dengan bahasa lain, terutama bahasa Inggeris berbanding bahasa Melayu. Menggambarkan seolah-olah bahasa sendiri tidak penting. Persoalannya, bagaimanakah kita boleh mengharapkan orang lain menghormati bahasa Melayu jika kita sendiri tidak serius untuk memartabatkan bahasa Melayu yang menjadi tunjang pembinaan sebuah negara bangsa?

Kita sanggup berbelanja sejumlah besar wang sehingga berbilion ringgit untuk memperkasakan bahasa Inggeris, tetapi sejauhmanakah sejumlah yang sama atau lebih, digunakan untuk memperkasakan bahasa Melayu? Kita juga sanggup berhabis membeli komputer serta segala kelengkapan makmal bahasa Inggeris dengan peralatan canggih bagi tujuan pengajaran dan pembelajaran bahasa Inggeris, tetapi adakah perkara yang sama disediakan untuk bahasa Melayu? Terkadangkala terlalu pahit juga untuk menyalah sekolah vernakular kerana bersikap acuh tidak acuh terhadap bahasa Melayu, sedangkan kita tidak serius menyediakan platform untuk memandaikan mereka dalam bahasa perpaduan ini.

Saya fikir tidak ada seorang pun yang akan menolak akan kepentingan bahasa Inggeris dalam mendepani arus modenisasi dan globalisasi. Adalah suatu tindakan yang bodoh jika kita menolak tuntutan belajar bahasa asing, kerana ia amat dituntut oleh agama. Tetapi janganlah terlalu ghairah dengan bahasa asing sehingga bahasa sendiri berdagang di bumi sendiri. Di manakah slogan Bahasa Jiwa Bangsa yang tersemat di sanubari selama ini?

Apakah bahasa Inggeris satu-satunya faktor yang akan menentukan kemajuan sesebuah negara atau sikap kita yang perlu berubah? Terkenang saya kepada beberapa buah negeri maju seperti Perancis, kita tidak akan dilayan jika berbahasa Inggeris di sana, tetapi negara mereka tetap maju. Di Jepun pula, selepas negara ini musnah dengan pengeboman Hiroshima dan Nagasaki 1945, mereka terus bangun dengan semangat kejepunannya. Hari ini, Jepun terus berada di persada dunia setanding dengan negara maju yang lain. Dalam kata lain, semangat sayangkan identiti dan bahasa jiwa bangsa telah melonjak negara mereka. Begitu juga dengan negara lain, mereka bangun dengan acuan jati diri dengan memperkasakan bahasa jiwa bangsa dari segala segi.

Kadangkala saya sendiri merasa terpukul, kenapa mesti sanggup bersusah payah mempertahankan bahasa Melayu, lagi pun ia bukan bahasa ibunda saya? Kenapa perlu berhadapan dengan kutukan dan kritikan bangsa sendiri hanya semata-mata mempertahankan bahasa orang lain? Setelah difikirkan balik, baru saya sedar, rupa-rupanya semangat cintakan tanahair dan Islam mengatasi segala-galanya sehingga terlupa asal-usul sendiri. Saya tidak nampak ini satu dosa seperti yang dilabelkan oleh ultra kiasu.

Jika bahasa Inggeris yang menjadi punca kelemahan anak bangsa kita, maka lakukan perubahan secara besar-besaran terhadap cara pengajaran dan pembelajarannya dari segi domain, kognitif, psikomotor, pedagogi dan berbagai aspek lagi, bukannya merubah asas sistem pendidikan itu sendiri.

Petikan: utusan Melayu

0 ulasan:

Catat Ulasan