KARANGAN CEMERLANG

Sabtu, 7 November 2009

Soalan Karangan:

Pada masa ini, timbul masalah rumah yang telah siap dibina tetapi belum dijual oleh syarikat pemaju perumahan. Huraikan pendapat anda tentang punca yang menyebabkan masalah tersebut berlaku dan kesan-kesannya.
Fenomena rumah yang tiada pembeli semakin kerap dilaporkan di media massa, tidak kira di bandar seperti Kuala Lumpur bahkan di pinggir kota juga turut mengalami masalah yang sama. Perkara ini seolah-olah tiada penyelesaian kerana semakin banyak perumahan baru muncul, bak cendawan tumbuh selepas hujan. Tindakan yang diambil oleh pihak berwajib pula bagaikan hangat-hangat tahi ayam sahaja. Akibatnya, banyak perumahan yang terbiar dan kosong tanpa penghuni yang boleh disalahgunakan oleh orang yang tidak bertanggungjawab. Jadi, masalah ini seharusnya mendapat perhatian yang sewajarnya daripada pihak yang bertanggungjawab agar dapat diselesaikan dengan segera. Sebenarnya, masalah ini bukannya berlaku dengan tiba-tiba tetapi banyak faktor penyebabnya yang akhirnya memberikan kesan kepada kita.
Rumah yang tidak dapat dijual oleh pemaju kebanyakannya disebabkan oleh ketiadaan Sijil Kelayakan Menduduki Rumah (CF). Sijil ini dikeluarkan oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan sebagai tanda kelulusan atau pemberitahuan bahawa sesebuah rumah selamat daripada bahaya dan boleh diduduki oleh penghuninya. Antara perkara yang perlu dititikberatkan dalam pemberian CF ini ialah kualiti bahan binaan yang digunakan dan ketahanan bangunan tersebut untuk menampung penghuni. Kadang-kadang, CF lambat atau gagal diberi, kerana ketidaksempurnaan kerja atau berlaku penipuan dalam meluluskan projek perumahan ini. Hal ini akan menyebabkan pengguna tidak mahu membeli rumah kerana mereka khuatir keselamatan dan nyawa mereka akan terancam.
Selain itu, kos rumah yang terlibat seperti harga yang diletakkan oleh pemaju terhadap rumah-rumah yang telah dibina itu tinggi dan mungkin terlalu mahal untuk individu yang berpendapatan sederhana dan rendah. Hal ini berlaku demikian kerana, bahan-bahan mentah yang digunakan seperti simen, rangka besi, dan pasir dibeli dengan harga yang mahal berikutan pemborong meletakkan harga mengikut pasaran semasa. Oleh itu, untuk mendapatkan pulangan modal, pemaju terpaksa meletakkan harga yang bersesuaian dengan kos pembinaan tersebut. Harga yang tinggi ini menyukarkan penduduk yang berpendapatan sederhana atau rendah untuk memiliki sebuah kediaman untuk mereka kerana khuatir bahawa perbelanjaan mereka melebihi anggaran yang sepatutnya. Oleh hal yang demikian, pemaju perlulah meletakkan harga yang berpatutan agar masyarakat Malaysia yang berpendapatan sederhana dan rendah mampu untuk memiliki rumah sendiri.
Kawasan perumahan yang tidak strategik turut mempengaruhi penjualan sesebuah rumah tersebut. Kebiasaannya, para pemaju perumahan akan menjadikan tanah atau kawasan baharu yang terletak di pinggir kota atau jauh dari bandar sebagai kawasan perumahan yang baharu. Hal ini berlaku demikian kerana, di kawasan tersebut terdapat tanah yang lapang, luas dan tiada lagi penduduk yang menghuninya. Walau bagaimanapun, kawasan perumahan yang baru itu selalunya tidak mempunyai prasarana atau kemudahan infrastruktur fizikal seperti jalan raya, pengangkutan awam, sekolah, kedai dan klinik. Selain itu, jarak yang jauh dari kota atau tempat kerja meningkatkan ketidakinginan masyarakat untuk membeli rumah itu. Akhirnya, kawasan perumahan baharu itu terus menjadi projek gajah putih iaitu terbiar tanpa pembeli, sekali gus akan merugikan pihak pemaju perumahan.Masalah ini akan menimbulkan kesan terhadap masyarakat dan juga negara amnya.
Masalah tersebut ialah masalah sosial dalam kalangan warga tempatan atau pun yang dilakukan oleh warga asing. Perkara ini disebabkan kawasan perumahan yang banya rumah kosong dan terbiar lebih mudah disalahgunakan oleh individu yang tidak bertanggungjawab seperti penagih dadah untuk melakukan aktiviti mereka kerana tiada orang untuk mengawasi dan memantau kawasan tersebut. Rumah-rumah kosong ini juga dijadikan tumpuan oleh pelajar-pelajar yang ponteng sekolah. Di samping itu, kawasan perumahan tersebut seolah-olah menggalakkan kegiatan-kegiatan yang tidak sihat dijalankan tanpa rasa segan silu oleh pihak yang tidak bertanggungjawab itu. Oleh itu, jawatankuasa penduduk di kawasan perumahan berhampiran dengan kerjasama pihak berkuasa tempatan terpaksa melakukan rondaan sebagai langkah berjaga-jaga untuk mengelakkan perkara-perkara yang tidak elok daripada berlaku.
Hasil kutipan cukai oleh kerajaan turut terkena tempiasnya apabila rumah-rumah tersebut tidak laku di pasaran kerana pihak pemaju tidak mendapat pulangan yang disasarkan akibat rumah yang dibina itu tidak dapat dijual sepenuhnya. Jadi, pihak pemaju tidak dapat membayar cukai keuntungan syarikat yang akan digunakan untuk membangunkan negara dan dapat dimanfaatkan oleh rakyat. Di samping pendapatan kerajaan akan menguncup, terdapat juga pekerja sesetengah syarikat perumahan yang terpaksa memberhentikan pekerjanya dan hal ini sudah tentu menimbulkan masalah kepada pekerja yang diberhentikan itu. Oleh itu, taraf hidup yang sepatutnya meningkat sejajar dengan peredaran zaman berlaku penurunan dan impaknya akan dirasai oleh rakyat Malaysia.
Kesimpulannya, pembangunan sesuatu kawasan yang disokong oleh pertumbuhan rumah-rumah baharu sepatutnya mampu dimiliki oleh penduduk tempatan. Walau bagaimanapun, hal ini tidak berlaku malahan jualan yang disasarkan tidak dapat dicapai akibat kesilapan pihak pemaju itu sendiri yang mengharapkan untung yang berlipat kali ganda. Harapan pemaju peruamahan tidak menjadi kenyataan, malahan masalah-masalah lain pula yang berlaku. Oleh hal yang demikian, pemaju perumahan hendaklah sentiasa memikirkan cara-cara untuk menjalankan promosi yang bersesuaian agar dapat menarik minat pembeli rumah untuk membeli produk mereka itu dengan kerjasama pihak kerajaan. Diharapkan juga, pada masa akan datang tiada lagi rumah yang terbiar kerana ketiadaan pembeli, dan rakyat Malaysia mampu memiliki rumah mereka sendiri.
Karangan ditulis oleh : Nadia A. Jalal (Pra-U Atas Sastera)
Kredit: Cikgu Mohd Khir Kassim

0 ulasan:

Catat Ulasan