AYAT AKTIF & AYAT PASIF

Jumaat, 6 November 2009

Ayat pasif ialah ayat yang menekankan objek dan perbuatannya berbanding "ayat aktif" yang menekankan subjek atau si pelaku. Kedua-dua jenis ayat ini sebenarnya tidak mempunyai kelainan makna apa pun. Walau bagaimanapun, sasterawan dan penulis sering menggunakan ayat aktif dan ayat pasif secara sedar, bergantung kepada apa yang hendak ditekankan. Dalam hikayat-hikayat Melayu dan karya sastera Melayu lama lebih banyak menggunakan struktur ayat ayat pasif. Prof. St. Takdir Alisjahbana berpendapat bahawa kejadian itu disebabkan oleh cara hidup atau sikap pasif orang Melayu pada zaman silam. Walau agaimanapun, ahli bahasa Dr Awang Sariyan tidak bersetuju dengan pendapat itu, dan berasa bahawa pemilihan ayat pasif itu sebenarnya "mencerminkan budi dan peribadi orang Melayu yang tidak menekankan ego individu". Menurutnya, "barangkali dengan perubahan nilai hidup moden, penulis sekarang lebih banyak menggunakan ayat aktif yang menekankan pelaku".


Jenis-jenis Ayat pasif

1. Ayat pasif untuk pelaku pertama dan keduaProses membentuk ayat pasif diri pertama dan kedua adalah sama dan terdiri daripada dua langkah iaitu objek dipindahkan pada awal atau pangkal ayat, dan yang kedua ialah menggugurkan awalan meN. Sebagai contoh, Saya menghantar surat itu semalam (ayat aktif)akan menjadi; Surat itu saya hantar semalam.

a. Kesalahan yang biasa berlaku ialah apabila pengguna bahasa menggunakan aturan ayat pasif bahasa Inggeris apabila mereka menukarkan ayat aktif tadi kepada ayat pasif yang bersifat keinggerisan. Misalnya:Surat itu telah dihantar oleh saya semalam.Borang itu mesti diisikan oleh anda dahulu.Dalam bahasa Inggeris, ayat di atas memang boleh diterima:That letter was sent by me yesterday.The form must be filled by you first.

Sebenarnya, aturan di atas ini juga merupakan aturan ayat pasif untuk pelaku ketiga, umpamanya, ayat-ayat yang berikut adalah betul:Surat itu telah dihantar oleh Ali semalam.Borang itu mesti diisikan oleh pemohon dahulu.

Oleh itu, kesalahan ini juga boleh dianggap sebagai "kesalahan menggunakan aturan ayat pasif untuk pelaku ketiga".

b. Kesalahan tidak menggugurkan meN

Ayat aktif :Saya membeli kereta itu daripada Ali.
Ayat pasif : Kereta itu saya membeli daripada Ali. (salah)
Seharusnya: Kereta itu saya beli daripada Ali.Anda mesti menjawab soalan-soalan itu. ( aktif) sering dipasifkan menjadi;Soalan-soalan itu mesti anda menjawab.
Ayat pasif yang tepat: Soalan-soalan itu mesti anda jawab.


c. Kesalahan menyisipkan kata lain antara pelaku dengan kata kerja pasif


Frasa subjek dan kata kerja pasif merupakan satu ikatan yang tidak boleh dipisahkan. Oleh itu, jika anda menggunakan kata bantu atau kata nafi, kata itu tidak boleh disisipkan antara pelaku dengan kata kerja pasif.

Salah :Buku itu saya telah baca.
Betul : Buku itu telah saya baca.Salah : Buku itu saya tidak baca.

Betul : Buku itu tidak saya baca.
Salah : Kerja itu kamu mesti siapkan hari ini.
Betul : Kerja itu mesti kamu siapkan hari ini.


2. Ayat pasif untuk pelaku ketiga

Oleh sebab aturan ayat pasif untuk pelaku ketiga sama saja dengan aturan ayat pasif bahasa Inggeris, kesalahan ayat pasif ini jarang dibuat oleh mereka yang menjadikan bahasa Inggris sebagai pegangan. Kesalahan ayat pasif ini dibuat oleh kalangan yang sepatutnya fasih dalam bahasa Melayu tetapi suka menggunakan bahasa dengan cara yang mudah. Memang ada baiknya menggunakan bahasa yang mudah supaya semua orang mudah faham, tetapi bahasa yang mudah mesti juga mematuhi aturan.

Kesalahan yang biasa berlakuAyat-ayat berikut yang salah lazim diucapkan orang sehingga dianggap betul.

Salah : Buku itu Ahmad baca.
Betul : Buku itu dibaca oleh Ahmad.

Salah : Surat itu abang hantar semalam.
Betul : Surat itu dihantar oleh abang semalam.

Salah : Kerja itu mereka mesti siapkan hari ini.
Betul : Kerja itu mesti disiapkan oleh mereka hari ini.


3. Ayat pasif dengan imbuhan "ber"
Selain daripada digunakan dalam ayat aktif, awalan "ber" kadang-kadang juga digunakan dalam ayat pasif selepas "belum" dan "sudah" sebagai ganti untuk awalan "di":Penggunaan "ber" : Seluar saya belum berjahit.Penggunaan "di" : Seluar saya belum dijahit.Surat itu sudah bertaip.Surat itu sudah ditaip.

Pintu rumah sudah berkunci.
Pintu rumah sudah dikunci.

Walau bagaimanapun, kedua-dua awalan membawa konotasi yang berlainan. Awalan "di" membawa tanggapan bahawa kata kerja pasif itu dihubungkan dengan pelaku ketiga, sedangkan awalan "ber" tidak ada penekanan pelaku sama sekali. Ini disebabkan oleh imbuhan pasif "di" sering diikuti oleh "oleh", umpamanya "Seluar saya belum dijahit oleh seseorang". Bagaimanapun, penggunaan "ber" dalam bentuk ini juga membayangkan kekayaan gaya bahasa Melayu yang menyebabkan bahasa ini hidup dan menarik.


4. Ayat pasif "ter"


Awalan "ter" dalam ayat pasif biasanya berkaitan dengan keupayaan dan tanda selesainya sesuatu perbuatan atau perbuatan yang sedia berlaku.Menunjukkan keupayaan : Batu yang besar itu terangkat olehku.Menunjukkan perbuatan yang siap : Kedai itu tertutup sejak tadi.

Projek yang rumit itu terlaksana juga oleh usahawan baru. (keupayaan)
Buku ini terkarang oleh Awang Sariyan. (perbuatan yang siap)

Cita-cita ibu yang besar itu tertunai juga olehnya.
Perabot di ruang tamu itu tersusun.

Dalam penggunaan bahasa sekarang, bentuk ayat pasif sedemikian untuk menunjukkan keupayaan amat kurang, tetapi masih sah.


5. Ayat pasif "ke-an"

Ayat pasif yang menggunakan imbuhan "ke-an" sebagai ganti untuk "mengalami keadaan" ialah ungkapan yang tetap bentuknya dan tidak dapat diubah-ubah lagi. Walau bagaimanapun, dengan berdasarkan pola yang sedia ada itu, banyak lagi ayat pasif "ke-an" dapat dibentukkan.Penggunaan bentuk pasif "ke-an" : Kerana lewat bangun, saya ketinggalan bas.Maksud : Kerana lewat bangun, saya mengalami keadaan "ditinggalkan bas".Jiran saya kecurian malam tadi membawa maksud jiran saya mengalami keadaan "hartanya dicuri orang".Orang itu baru kematian suami. Maksud: Orang itu mengalami keadaan "suaminya mati".

6. Ayat pasif "kena"


Ayat pasif yang menggunakan kata "kena" sebagai ganti untuk awalan "di" lebih banyak digunakan oleh orang dalam pertuturan. Walau bagaimanapun, bentuk pasif ini boleh juga digunakan untuk gaya bahasa sebagai pilihan lain.Penggunaan "kena" : Pemandu itu kena saman.Penggunaan "di" : Pemandu itu disaman.Budak nakal itu kena pukul.Budak nakal itu dipukul.Pencuri itu kena tangkap.Pencuri itu ditangkap.

0 ulasan:

Catat Ulasan