Ketidaktelitian Pelajar dalam Penulisan Karangan Bahasa Melayu

Sabtu, 31 Mac 2012

Makalah ini akan memperkatakan kelemahan yang dimaksudkan itu, berdasarkan latihan karangan murid yang  diminta untuk menjawab Soalan 3 Bahasa Melayu STPM 2010.
          Penglibatan sesetengah remaja dalam kumpulan samseng pada hari ini dikatakan berpunca daripada kegagalan ibu bapa melaksanakan tanggungjawab mereka. Sejauh manakah anda bersetuju dengan pendapat tersebut?
                Sekiranya dibaca dengan teliti, kehendak soalan tersebut jelas. Soalan itu meminta murid agar mengemukakan pandangan tentang pendapat yang mengatakan bahawa penglibatan sesetengah remaja dalam kumpulan samseng berpunca daripada kegagalan ibu bapa melaksanakan tanggungjawab mereka. Bagi soalan yang sedemikian, murid boleh menjawabnya melalui tiga pendekatan, iaitu:
1.    Bersetuju sepenuhnya dengan pendapat tersebut.
2.    Tidak bersetuju langsung dengan pendapat tersebut.
3.    “Bersetuju sebahagian” dan “tidak bersetuju sebahagian” dengan pendapat yang dikemukakan itu.

Jika bersetuju sepenuhnya, murid hendaklah mengemukakan semua isi tentang kegagalan ibu bapa melaksanakan tanggungjawab yang menyebabkan anak remaja mereka menyertai kumpulan samseng. Jika tidak bersetuju langsung, murid perlu mengemukakan isi lain, iaitu bukan faktor ibu bapa yang menyebabkan remaja menyertai kumpulan samseng. Seandainya memilih pendekatan yang ketiga, murid boleh mengemukakan beberapa isi tentang kegagalan ibu bapa dan beberapa isi tentang faktor lain. Dengan hal yang demikian, pendekatan yang ketiga ternyata lebih memudahkan murid untuk memikirkan isi bagi menulis karangan tersebut.
Walaupun soalan seumpama itu bukan lagi asing bagi murid, sebagai akibat kurang teliti menerima penjelasan guru, masih terdapat murid yang menulis perkara lain yang tidak dikehendaki. Sebagai contoh, terdapat segelintir murid yang turut mengemukakan satu dua isi tentang langkah untuk menangani budaya samseng dalam kalangan remaja. Dalam peperiksaan STPM, isi yang tidak tepat seperti itu tidak diberi apa-apa markah kerana pemeriksaan dilakukan berdasarkan ketepatan isi dan kejelasan pengolahannya. Bagi tajuk tersebut, sekiranya murid menulis lima isi, iaitu tiga isi tentang punca dan dua isi tentang langkah, dia diberi markah untuk isi punca sahaja. kesilapan yang sedemikian pasti menjejaskan markah karangan murid.
Ada juga segelintir murid yang menulis punca remaja menjadi samseng, bukannya punca mereka melibatkan diri dalam kumpulan samseng. Walaupun tiada perbezaan yang ketara dari segi isi, pengolahannya kurang tepat. Kelemahan sedemikian tidak mungkin berlaku sekiranya murid membaca soalan dan memikirkan isinya dengan teliti sebelum menulisnya.
Selain itu ada juga murid yang kurang teliti semasa mengemukakan isi karangan. Sebagai contoh, beberapa orang murid yang menulis karangan itu telah mengatakan bahawa penglibatan remaja dalam kumpulan samseng berpunca daripada undang-undang yang tidak ketat atau sikap pihak sekolah yang tidak mengambil berat tentang soal disiplin kerana terlalu menumpukan akademik. Isi sedemikian tidak tepat. Hal itu dikatakan demikian kerana dari segi realitinya, kerajaan sentiasa berusaha untuk membanteras gejala samseng, termasuklah mengenakan hukuman penjara terhadap anggota kumpulan samseng, tidak mengira orang tua atau remaja, sekiranya memang terbukti mereka melakukan kesalahan.
Pandangan bahawa pihak sekolah mengabaikan soal disiplin murid juga tidak tepat. Hal itu dikatakan demikian kerana hampir tiada sekolah yang sengaja membiarkan muridnya menyertai kumpulan samseng. Demikian juga sekolah yang tidak sekali-kali mengabaikan soal disiplin murid.
Daripada aspek yang lain pula, kebanyakan murid yang menyokong pendapat tersebut mengatakan bahawa ibu bapa pada hari ini tidak lagi bertanggungjawab kerana mereka hanya tahu bekerja tanpa mengambil berat soal anak. Pernyataan seumpama itu membawa maksud bahawa semua ibu bapa pada hari ini bersikap sedemikian. Apakah perasaan ibu bapa murid sekiranya mereka terbaca karangan anak yang menuduh mereka bersikap demikian? Bukankah lebih wajar sekiranya ditulis terdapat “segelintir” ibu bapa yang terlalu sibuk dengan kerjaya masing-masing hingga tiada masa untuk bersama-sama anak. Penulis yakin bahawa murid juga tidak bermaksud semua ibu bapa bersikap sedemikian, namun kerana kurang teliti, pendapat yang tersirat gagal disuratkan.
Petikan daripada Pelita Bahasa

3 ulasan:

❤___el-----vivi___❤ berkata...

kalau jenis soalan mcm ni ? blh ka kalau ndai bagi 50 50 ??? maksud saya...sebut kebaikan dan keburukaknya?

Tanpa Nama berkata...

itulah maknanya setuju sebahagian dan tidak setuju sebahagian.. 50-50

Tanpa Nama berkata...

ayat ni blh dibuat sebagai contoh?@@

Catat Ulasan