Panduan Menjawab Alih Bentuk Teks STPM

Sabtu, 24 Julai 2010

Bagi calon-calon STPM, soalan Alih Teks ini menawarkan pilihan iaitu sama ada Soalan 6 atau Soalan 7. Anda perlu memilih satu soalan sahaja iaitu setelah membuat keputusan tentang teks yang anda rasakan dapat dijawab dengan baik. Walaupun jumlah markah bagi soalan ini cuma 15 markah, tetapi calon-calon perlu memberikan perhatian juga terhadap soalan ini kerana soalan ini berupaya untuk meningkatkan markah anda untuk Kertas 2. Jadi, janganlah anda membuat tanggapan bahawa soalan ini tidak penting, sebaliknya anda perlulah membuat latihan yang sistematik dan berterusan berdasarkan jenis teks yang telah dipilih dan pernah digunakan dalam peperiksaan STPM. Selain itu, anda juga perlu mencuba jenis-jenis teks yang lain sekiranya ada dan belum pernah ditanya dan digunakan dalam peperiksaan STPM sebelum ini. Oleh itu, berbincanglah dengan rakan-rakan dan guru anda tentang jenis-jenis teks tersebut. Jenis-jenis teks yang pernah digunakan dalam soalan STPM sebelum ini ialah teks iklan, undang-undang, prosa klasik, sajak, dialog drama dan cerpen.
Selepas meneliti jenis-jenis teks yang pernah digunakan dalam STPM itu, saya mendapati teks puisi tradisional tidak pernah digunakan lagi. Oleh itu, calon-calon STPM tahun ini perlulah memberikan perhatian yang lebih terhadap jenis teks puisi tradisional ini. Puisi tradisional ini pula terbahagi kepada beberapa jenis, seperti pantun, syair, gurindam, dan seloka.
Panduan umum untuk menjawab soalan Alih Teks adalah seperti yang berikut:
1. Baca teks asal itu sepintas lalu dan fahami maksudnya. Cuba fahami maksudnya dengan membaca teks tersebut dengan teliti agar anda mendapat gambaran awal untuk mengalih bahasa teks seperti syair kepada bentuk prosa bahasa Melayu Moden.
2. Alih teks tersebut kepada bentuk prosa biasa (ayat penyata) iaitu dengan menggunakan bahasa Melayu yang betul (baku) dalam bentuk prosa bahasa Melayu moden. Jangan terpengaruh oleh struktur bahasa Melayu klasik dan elakkan penggunaan struktur ayat pasif.
3. Tulis semua isi atau fakta yang terdapat dalam teks asal tersebut. Jika ada isi atau fakta yang tertinggal atau terpesong, sudah pasti anda akan memperoleh markah yang kurang. Pastikan isi atau fakta tersebut menepati isi teks yang asal.
4. Kekalkan penggunaan nama khas dan juga perkataan yang tidak perlu diubah seperti perkataan daripada bahasa istana.
5. Jangan buat ulasan atau memberikan pendapat semasa mengalih teks asal tersebut. Ingatlah bahawa bahawa anda cuma memindahkan bahasa teks tersebut sahaja, bukannya memberikan pendapat atau ulasan. Elakkan ayat yang berbentuk ulasan seperti ini, Petikan tersebut menerangkan...., kerana ayat tersebut dianggap sebagai ulasan.
6. Jangan salin keseluruhan teks asal kerana perkara itu tidak menunjukkan anda telah mengalih teks asal tersebut. Sekiranya anda melakukan perkara itu sudah pasti anda akan memperoleh markah yang minimum.
7. Tulislah ayat-ayat yang telah anda alihkan bahasanya itu dalam beberapa perenggan, mengikut kesesuaian kandungannya (biasanya tidak melebihi 3 perenggan).

8. Elakkan kesalahan bahasa yang lazimnya dilakukan oleh calon-calon STPM. Sekiranya calon melakukan kesalahan bahasa yang banyak, sudah tentu markah persembahan akan terjejas.
9. Selain markah bahasa, calon-calon juga perlu menitikberatkan aspek jalinan ayat yang telah dibina itu agar persembahannya menjadi lebih kemas, jelas dan mudah difahami oleh pemeriksa.

PENGUTUH HUJAH (siri 2)

Khamis, 22 Julai 2010

2. ANEKDOT


• Anekdot atau cerita dapat diguna bagi melukiskan contoh yang ingin dikemukakan.
• Anekdot jarang digunakan oleh pelajar kerana kurang didedahkan.
• Andai pelajar ingin menggunakannya, dalam penulisan karangan pastikan cerita yang
dipaparkan menjurus kepada matlamat isi.
• Contoh:

“ Budi bahasa budaya kita” cukup hamper dengan halwa telinga kita. Apatah lagi lagu temanya dinyanyikan oleh Dato’ Siti Nurhaliza. Mengapakah kempen budi bahasa diperlukan sedangkan masyarakat kita sudah sinonim dengan kesopanan dalam berbahasa ? Dengan menjengah sudut gelap masyarakat kota, sememangnya nilai demikian sudah dibawa laju oleh arus keegoan masing-masing. Baru-baru ini saya berada di Kuala Lumpur, Diseberang jalan, kelihatan seorang insan tua yang buta. Akan tetapi orang tua yang teraba-raba tersebut ditertawakan oleh sekumpulan anak muda.Adakah kejadian itu amalan budi bahasa Adakah kejadian itu amalan budi bahasa yang akan diwariskan kepada anak kita ?

Contoh frasa analogi :
-internet dicipta untuk kebaikan. Namun sikap segelintir pengguna yang kurang bertanggungjawab menyebabkan internet menjadi penyumbang kes jenayah siber. Analoginya, pisau dicipta untuk memudahkan suri rumah melakukan kerja, jika tangannya luka, adakah pisau yang harus dipersalahkan ?


(akan bersambung )

Pelajar cemerlang tak sertai kokurikulum sukar ke IPTA: Saifuddin

Isnin, 5 Julai 2010

2010/07/05
GEORGETOWN: Pelajar cemerlang mungkin berdepan masalah untuk diterima masuk ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA) di negara ini jika mereka tidak membabitkan diri dalam sebarang aktiviti kokurikulum di sekolah.

Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah, berkata kecemerlangan akademik semata-mata tidak menjamin pelajar mendapat tempat di IPTA. "Walaupun mendapat 90 peratus markah akademik tetapi aktiviti kokurikulum tidak ada langsung, pelajar mungkin menghadapi masalah untuk masuk ke universiti," katanya kepada pemberita selepas majlis sambutan pelajar baru di Universiti Sains Malaysia (USM) di sini hari ini.
Saifuddin berkata, langkah kementerian menekankan aspek kokurikulum kerana ingin melahirkan graduan yang bukan sahaja cemerlang daripada segi akademik sebaliknya turut mempunyai nilai insaniah.

Katanya, langkah itu juga sebagai persediaan untuk graduan memasuki alam pekerjaan kelak.

"Kalau nak kerja pun, kecemerlangan akademik itu hanya laluan awal untuk dipanggil temuduga. Tetapi ketika temuduga, aspek insaniah yang akan diambil kira," katanya.

Kementerian Pelajaran dan Kementerian Pengajian Tinggi mula melaksanakan dasar pengambilan dan pemilihan berasaskan prinsip meritokrasi dengan mengguna pakai 90 peratus markah akademik dan 10 peratus markah kokurikulum bagi kemasukan ke IPTA untuk pengambilan pelajar sesi 2007/2008.
Empat aspek utama diberi penekanan dalam pengiraan markah 10 peratus pencapaian kokurikulum iaitu kehadiran (50 peratus), peringkat pembabitan (20 peratus), pencapaian (20 peratus) dan jawatan disandang (10 peratus). - BERNAMA

MENULIS PERENGGAN PENUTUP-KHPK

Khamis, 1 Julai 2010

Menulis Perenggan Penutup dengan Menggunakan Teknik KHPK dan KHH



i. KHPK – (Kesimpulan, Huraian, Peribahasa, Kepentingan)

Perenggan Penutup Contoh 1

Oleh hal yang demikian, masalah rasuah perlulah ditangani oleh pihak berkuasa dengan kerjasama anggota masyarakat. (Kesimpulan) Pihak berkuasa hendaklah mengadakan kempen secara besar-besaran tentang keburukan dan kesan rasuah kepada masyarakat. (Huraian – Apa yang perlu dibuat) Hal ini demikian kerana, jika masalah rasuah tidak diatasi sudah tentu perkara ini akan merosakkan jentera pentadbiran negara. (Huraian – Apa kesannya) Jadi, sebelum nasi menjadi bubur, kita berharap agar masalah ini dapat ditangani dengan berkesan sebelum menjadi lebih serius. (Peribahasa) Sekiranya hal ini dapat direalisasikan, sudah pastilah masyarakat dan negara kita akan bebas daripada belenggu rasuah. (Kepentingan)

Perenggan Penutup Contoh 2

Oleh hal yang demikian, pelaburan asing memang penting untuk menjana ekonomi sesebuah negara. (Kesimpulan) Usaha-usaha yang serius hendaklah dipertingkat untuk menarik pelaburan asing agar hal ini akan menambahkan pelaburan ke dalam negara kita. (Huraian – Apa yang perlu dibuat) Sekiranya pelabur asing kurang membuat pelaburan di sesebuah negara sudah pastinya ekonomi negara tersebut sukar untuk berkembang. (Huraian – Apa kesannya) Hal ini demikian kerana, negara-negara tersebut mengalami masalah kekurangan modal untuk membangunkan negara mereka. (Huraian – Apa kesannya) Jadi, pihak yang bertanggungjawab dalam bidang pelaburan ini hendaklah mencari jalan (Peribahasa) bagi menarik lebih banyak pelabur asing untuk membuat pelaburan. (Kepentingan)


ii. KHH (Kesimpulan, Huraian, Harapan)

Perenggan Penutup Contoh 3

Kesimpulannya, semua pihak perlulah bekerjasama untuk membanteras masalah jenayah yang berlaku di negara kita. (K) Dengan kata lain, anggota masyarakat perlulah berganding bahu dengan pihak berkuasa iaitu melaporkan kejadian jenayah yang berlaku itu dengan segera. (H) Dengan cara itu, masalah jenayah ini sudah pasti dapat dikurangkan dan dibanteras daripada terus berleluasa di negara kita. (H)