Memaparkan catatan dengan label RAHSIA KARANGAN BM 910/2. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label RAHSIA KARANGAN BM 910/2. Papar semua catatan

Ketidaktelitian Pelajar dalam Penulisan Karangan Bahasa Melayu

Sabtu, 31 Mac 2012

Makalah ini akan memperkatakan kelemahan yang dimaksudkan itu, berdasarkan latihan karangan murid yang  diminta untuk menjawab Soalan 3 Bahasa Melayu STPM 2010.
          Penglibatan sesetengah remaja dalam kumpulan samseng pada hari ini dikatakan berpunca daripada kegagalan ibu bapa melaksanakan tanggungjawab mereka. Sejauh manakah anda bersetuju dengan pendapat tersebut?
                Sekiranya dibaca dengan teliti, kehendak soalan tersebut jelas. Soalan itu meminta murid agar mengemukakan pandangan tentang pendapat yang mengatakan bahawa penglibatan sesetengah remaja dalam kumpulan samseng berpunca daripada kegagalan ibu bapa melaksanakan tanggungjawab mereka. Bagi soalan yang sedemikian, murid boleh menjawabnya melalui tiga pendekatan, iaitu:
1.    Bersetuju sepenuhnya dengan pendapat tersebut.
2.    Tidak bersetuju langsung dengan pendapat tersebut.
3.    “Bersetuju sebahagian” dan “tidak bersetuju sebahagian” dengan pendapat yang dikemukakan itu.

Jika bersetuju sepenuhnya, murid hendaklah mengemukakan semua isi tentang kegagalan ibu bapa melaksanakan tanggungjawab yang menyebabkan anak remaja mereka menyertai kumpulan samseng. Jika tidak bersetuju langsung, murid perlu mengemukakan isi lain, iaitu bukan faktor ibu bapa yang menyebabkan remaja menyertai kumpulan samseng. Seandainya memilih pendekatan yang ketiga, murid boleh mengemukakan beberapa isi tentang kegagalan ibu bapa dan beberapa isi tentang faktor lain. Dengan hal yang demikian, pendekatan yang ketiga ternyata lebih memudahkan murid untuk memikirkan isi bagi menulis karangan tersebut.
Walaupun soalan seumpama itu bukan lagi asing bagi murid, sebagai akibat kurang teliti menerima penjelasan guru, masih terdapat murid yang menulis perkara lain yang tidak dikehendaki. Sebagai contoh, terdapat segelintir murid yang turut mengemukakan satu dua isi tentang langkah untuk menangani budaya samseng dalam kalangan remaja. Dalam peperiksaan STPM, isi yang tidak tepat seperti itu tidak diberi apa-apa markah kerana pemeriksaan dilakukan berdasarkan ketepatan isi dan kejelasan pengolahannya. Bagi tajuk tersebut, sekiranya murid menulis lima isi, iaitu tiga isi tentang punca dan dua isi tentang langkah, dia diberi markah untuk isi punca sahaja. kesilapan yang sedemikian pasti menjejaskan markah karangan murid.
Ada juga segelintir murid yang menulis punca remaja menjadi samseng, bukannya punca mereka melibatkan diri dalam kumpulan samseng. Walaupun tiada perbezaan yang ketara dari segi isi, pengolahannya kurang tepat. Kelemahan sedemikian tidak mungkin berlaku sekiranya murid membaca soalan dan memikirkan isinya dengan teliti sebelum menulisnya.
Selain itu ada juga murid yang kurang teliti semasa mengemukakan isi karangan. Sebagai contoh, beberapa orang murid yang menulis karangan itu telah mengatakan bahawa penglibatan remaja dalam kumpulan samseng berpunca daripada undang-undang yang tidak ketat atau sikap pihak sekolah yang tidak mengambil berat tentang soal disiplin kerana terlalu menumpukan akademik. Isi sedemikian tidak tepat. Hal itu dikatakan demikian kerana dari segi realitinya, kerajaan sentiasa berusaha untuk membanteras gejala samseng, termasuklah mengenakan hukuman penjara terhadap anggota kumpulan samseng, tidak mengira orang tua atau remaja, sekiranya memang terbukti mereka melakukan kesalahan.
Pandangan bahawa pihak sekolah mengabaikan soal disiplin murid juga tidak tepat. Hal itu dikatakan demikian kerana hampir tiada sekolah yang sengaja membiarkan muridnya menyertai kumpulan samseng. Demikian juga sekolah yang tidak sekali-kali mengabaikan soal disiplin murid.
Daripada aspek yang lain pula, kebanyakan murid yang menyokong pendapat tersebut mengatakan bahawa ibu bapa pada hari ini tidak lagi bertanggungjawab kerana mereka hanya tahu bekerja tanpa mengambil berat soal anak. Pernyataan seumpama itu membawa maksud bahawa semua ibu bapa pada hari ini bersikap sedemikian. Apakah perasaan ibu bapa murid sekiranya mereka terbaca karangan anak yang menuduh mereka bersikap demikian? Bukankah lebih wajar sekiranya ditulis terdapat “segelintir” ibu bapa yang terlalu sibuk dengan kerjaya masing-masing hingga tiada masa untuk bersama-sama anak. Penulis yakin bahawa murid juga tidak bermaksud semua ibu bapa bersikap sedemikian, namun kerana kurang teliti, pendapat yang tersirat gagal disuratkan.
Petikan daripada Pelita Bahasa

PANDUAN MENULIS KARANGAN ( siri 1)

Ahad, 22 Mei 2011

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Suka saya nyatakan bahawa, perkara yang akan saya bincangkan sebentar lagi merupakan pandangan peribadi berdasarkan pengalaman saya sendiri sebagai bekas pelajar Tingkatan 6 dan sekarang sedang mengajar Bahasa Melayu Tingkatan 6.

Terlebih dahulu , selamat menimba ilmu saya ucapkan kepada pelajar Tingkatan 6 Rendah, pastinya anda merasai betapa berbezanya pengalaman menulis karangan SPM dan STPM.

Sesungguhnya, menulis karangan sepanjang 650-700 patah perkataan merupakan cabaran yang maha hebat bagi kalian namun, ia tidaklah sesusah yang disangkakan.

Tidak percaya? Indikator saya amat mudah.

Pertama, semai dan tanamkan minat dalam penulisan karangan/esei. Ya, itulah keutamaan jika mahu mencapai kecemerlangan dalam bahagian A. Minat mengarang juga mesti disertai dengan minat membaca bahan ilmiah .Tidaklah memadai sekadar mendengar dan menonton rancangan TV berbentuk ilmiah .Pengalaman membaca tidak sama walhasilnya dengan pengalaman mendengar kerana anda akan diuji menulis bukannya ujian lisan. Ingat, pengalaman membaca akan mencorak gaya penulisan anda, impaknya besar kerana anda akan memperoleh diksi, frasa, idea, teknik kupasan /pengembangan idea dan hujah yang menarik dan bervariasi. Percaya atau tidak, penglaman membaca bahan ilmiah secara konsisten akan membentuk anda menjadi seorang yang kritis. Pemikiran kritis inilah perlu ada dalam diri seorang penulis yang hebat. Penulis yang kritis dan kaya pengetahuannya , tidak perlu dipaksa untuk menulis kerana mereka tidak sabar-sabar untuk melontarkan idea akal fikir dan mewarnakannya dengan gaya bahasa menarik diatas kertas.Nah! secara tidak langsung, anda tahu bahawa tugas untuk menulis karangan tidaklah terlalu rigid dan jumud.

Perlu diingat bahawa, segala yang dibincangkan tadi hanyalah pra-syarat utama dalam penulisan karangan. Terdapat beberapa kriteria lagi yang perlu anda penuhi jika mahu menghasilkan karangan yang mantap dan memenuhi aspek pemeriksaan. Antaranya aspek tatabahasa, kerelevenan isi, pengolahan dan lain-lain. (aspek-aspek ini akan dibincangkan dalam penulisan entri yang akan datang. Insya-Allah)

Mungkin berlegar di benak pemikiran anda bahawa kaedah tadi hanya releven bagi segelintir pelajar yang memiliki asas bahasa yang sudah sedia mantap di peringkat SPM. Baik, saya akan ungkaikan persoalan tersebut dan jawapannya akan saya huraikan pada coretan entri yang akan datang. Akhir kalam, bukan senang nak senang, bukan susah nak susah.

Sekian. Wallahua'lam

MENILAI KARANGAN

Sabtu, 7 November 2009


KERELEVANAN


• Kesesuaian jawapan yang diberi oleh calon dengan kehendak soalan.

• Markah penuh untuk kerelevanan ialah 21.( 3m untuk pendahuluan, 15m untuk isi sampingan – 1 isi 3m, 3m untuk penutup atau kesimpulan )

• Pemarkahan terhadap aspek kerelevanan dibuat berdasarkan pertimbangan pemeriksa.
• Markah keutuhan bergantung kepada markah kerelevanan.
• Jawapan mestilah tidak terpesong.
• Kerelevanan juga ditentukan daripada isi-isi sampingan yang dikemukakan.

• Isi sampingan ialah termasuklah fakta, statistik, contoh, kes, definisi, hujah, pendapat, dan sebagainya yang menyokong isi utama.

• Sesebuah karangan akan dianggap kurang relevan jika isi-isi sampingan yang dikemukakan tidak menjurus kepada isi utama atau tidak mempunyai hubungan langsung.

• Kerelevanan jawapan juga dilihat dari segi format jawapan.

• Bentuk retorik ( juga boleh mempengaruhi kerelevanan jawapan pelajar.

( bincangkan , sejauhmanakah , jelaskan, berikan, ulaskan, berikan cadangan )


Cara an sesebuah karangan itu sentiasa relevan.


1. sentiasa bertanya kepada diri sendiri sewaktu menulis:

• adakah jawapan saya menepati kehendak soalan?

• Adakah isi utama saya menepati kunci soalan?

• Adakah isi-isi sampingan saya menjurus kepada isi utama?

• Adakah format karangan saya betul?




KEUTUHAN



• Keutuhan lebih tertumpu kepada aspek persembahan

• Dilihat secara keseluruhan

• Sesebuah karangan akan menimbulkan kesan yang menarik jika kesatuan ideanya jelas.( ada hubungan logika di antara isi utama dengan isi-isi sampingannya)

• Kedudukan isi utama begitu utuh kerana dibantu oleh isi-isi sampingan sebagai penyokong.

• Keutuhan juga dilihat dari segi struktur binaannya.( pendahuluan, tubuh karangan, dan penutup)

• Keutuhan dinilai dari segi kesepaduan karangan.( kesan keseluruhan yang diterima oleh pembaca ) Jika persoalan yang dikemukakan oleh penulis mudah difahami oleh pembaca, maka tulisan tersebut memiliki kesepaduan.

• Adanya jalinan ( hubungan yang erat ) di antara suatu perenggan dengan perenggan yang lain.

• Kesepaduan perenggan boleh dihasilkan melalui hubungan secara kronologis mengikut masa atau peristiwa atau hubungan sebab akibat atau hubungan logika

• Penggunaan rangkaikata yang dapat menjadi penghubung seperti selain itu, di samping itu, akibatnya, dalam soal ini, bagaimanapun, sehubungan dengan itu, dan sebagainya.