Memaparkan catatan dengan label BAHAGIAN D. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label BAHAGIAN D. Papar semua catatan

PANDUAN MENJAWAB BAHAGIAN D

Isnin, 14 Jun 2010

Bagi pelajar-pelajar prauniversiti yang berada di Tingkatan 6 Atas, soalan ini sudah biasa anda jawab, tetapi bagi pelajar-pelajar prauniversiti yang baru memulakan pengajian di Tingatan 6 Bawah, soalan ini sudah tentu agak asing bagi anda. Bagi pelajar-pelajar praunversiti yang baru, soalan ini tiada pilihan dan mesti dijawab iaitu Soalan 8. Walaupun jumlah markah bagi soalan ini cuma 15, tetapi calon-calon perlu memberikan perhatian juga terhadap soalan ini kerana boleh membantu calon untuk meningkatkan markah Kertas 2. Selain itu, soalan ini juga kebiasaannya agak mudah dan tidaklah terlalu sukar untuk dijawab. Jadi, para pelajar perlulah membuat latihan yang bersistematik dan berterusan terutamanya berdasarkan soalan yang pernah ditanya dalam peperiksaan STPM. Antara jenis kesalahan bahasa yang popular dan biasa ditanya dalam soalan STPM ialah kesalahan dalam aspek morfologi dan sintaksis iaitu:

• Pengimbuhan, termasuklah imbuhan pinjaman seperti pra, dwi, dan anti
• Kata Ganti Nama Diri Pertama, Kedua dan Ketiga, Kata Ganti Tunjuk, Kata Ganti Tak Tentu, pemilihan kata yang sesuai (Diksi), Kata Hubung, Kata kerja Transitif dan Tak Transitif, Kata Sendi, Kata Penguat, dan Kata Pemeri
• Kata Majmuk, Kata Ganda, Hukum D-M, dan penjodoh bilangan.
• Frasa Sendi, Frasa Kerja Pasif, dan ayat tiada subjek (ayat tergantung).

Panduan umum untuk menjawab soalan Analisis Kesalahan Bahasa adalah seperti yang berikut:

1. Baca ayat-ayat dalam petikan itu sepintas lalu dan kenal pasti kesalahan bahasanya. Tandakan kesalahan-kesaslahan bahasa yang telah anda kenal pasti itu. Kenal pasti kesalahan kata, frasa, dan ayatnya. Kesalahan yang popular ialah kesalahan kata.
2. Biasanya terdapat sekurang-kurangnya 5 kesalahan bahasa dalam ayat-ayat tersebut dan kadang-kadang terdapat 6 hingga 7 kesalahan. Walau bagaimanapun markah yang diperuntukkan cuma untuk 5 kesalahan sahaja.
3. Selepas kesalahan bahasa tersebut anda kenal pasti, buatlah jadual iaitu tiga ruangan atau lajur, iaitu untuk ruangan Kesalahan, Sebab Kesalahan, dan Pembetulan.
4. Untuk lajur Kesalahan, nyatakan kesalahan tersebut. Kemudian tulislah alasan kesalahan tersebut dalam lajur Sebab Kesalahan dan tulis pula pembetulannya dalam lajur Pembetulan.

Kesalahan Umum yang Biasa Dilakukan oleh Pelajar•

- Jawapan tidak mengikut format, iaitu tidak ditulis di dalam jadual.
• Terlalu banyak sebab diberikan pada ruang Sebab Kesalahan menyebabkan pemeriksa sukar memahaminya.
• Ada juga Sebab Kesalahan yang diberikan itu secara umum dan tidak jelas atau kurang tepat.
• Gagal menggunakan peluang untuk mencari kesalahan ayat yang lebih daripada 5 kesalahan yang diminta.
• Terlalu banyak kesalahan bahasa yang disenaraikan. Sebenarnya yang betulpun dikatakan salah.

AYAT TERGANTUNG

Jumaat, 6 November 2009

Ayat tergantung ialah ayat yang tidak mempunyai subjek atau predikat. Ayat-ayat sebegini kerap ditulis oleh pelajar-pelajar terutama calon-calon STPM akibat kelemahan mereka dalam aspek tatabahasa.

1. Ayat tanpa subjek

Contoh ayat:- Dalam buku itu menghuraikan cara-cara membuat kuih-kuih tradisional masyarakat Melayu.

(Sepatutnya: Buku itu meghuraikan cara-cara membuat kuih tradisional masyarakat Melayu)

- Di negara kita mempunyai banyak destinasi pelancongan yang menarik.

(Sepatutnya: Negara kita mempunyai banyak destinasi pelancongan yang menarik.)

2. Ayat tanpa predikat

Contoh ayat:- Tindakan pihak berkuasa dalam menangani isu rasuah dalam kalangan pegawai kerajaan.

(Sepatutnya: Tindakan pihak berkuasa dalam menangani isu rasuah dalam kalangan pegawai perlu disegerakan)

- Golongan belia yang merupakan tunggak pembangunan negara.

(Sepatutnya: Golongan belia yang merupakan tunggak pembangunan negara tidak boleh dibiarkan begitu sahaja oleh pihak kerajaan)

3. Kesalahan frasa kerja transitif

- tidak diikuti oleh objek

Contoh ayat:- Kehadiran pihak tuan akan menyerikan lagi majlis kami.

(Sepatutnya: Kehadiran pihak tuan akan menyerikan majlis kami lagi.)

- Pemberita itu melaporkan dari Baikonur Cosmodrome, Khazastan.

(Sepatutnya: Pemberita itu melaporkan berita dari Baikonur Cosmodrome, Khazastan.)

4. Ayat yang bermula dengan kata hubung

Contoh ayat:- Justeru itu, semua pelajar dilarang membawa telefon bimbit ke sekolah.

- Manakala, semua peserta perlu melaporkan diri pada minggu depan.

5. Penggunaan kata tanya dalam ayat penyata

Contoh ayat:- Pelajar itu tidak tahu mengapa dia gagal dalam ujian itu.

- Mereka tidak pasti siapa yang terlibat kemalangan itu.

6. Kesalahan struktur ayat pasif

Contoh ayat:- Perkara itu saya belum putuskan lagi.

- Bas yang mereka naiki itu terlibat dalam kemalangan jalan raya.

7. Binaan idea ayat yang tidak berfokus

Contoh ayat:- Langkah itu juga merupakan suatu penyelesaian bagi negara dan memupuk generasi muda ke arah Wawasan 2020.

8. Komponen ayat yang tidak tepat

Contoh ayat:- Kita perlu mengurangkan pengambilan makanan seperti minyak dan lemak yang berkolesterol tinggi.-

Apabila bencana berlaku seperti banjir dan kemarau, banyak harta benda yang musnah.

9. Kesalahan ayat pancangan komplemen

Contoh ayat:- Kerajaan berusaha mengatasi masalah setinggan dalam kalangan penduduk bandar. (tiada kata hubung komplemen iaitu "untuk")

- Kami yakin pasukan hoki sekolah akan memperoleh kemenangan dalam perlawanan esok. (tiada kata hubung komplemen "bahawa")

10. Kesalahan ayat pancangan relatif

Contoh ayat:- Punca tidak kurang pentingnya dalam hal ini ialah pengaruh media massa. (Tiada kata hubung relatif "yang")

- Beberapa orang disyaki menjadi anggota kumpulan ajaran sesat telah didakwa di mahkamah.

Ayat yang sempurna datang daripada amalan banyak membaca dan penguasaan ilmu tatabahasa.

(sumber:kredit kepada cikgu Zu)